Khamis, 21 September 2017

2:178-179 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 2:178-179.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالأنْثَى بِالأنْثَى فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ ذَلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ فَمَنِ اعْتَدَى بَعْدَ ذَلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ (١٧٨) وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الألْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٧٩)

Ada dua kabilah dari kalangan orang-orang Arab saling berperang di zaman Jahiliah yang mendekati zaman Islam dalam jangka waktu yang tidak begitu lama. Dahulu di antara mereka terjadi pembunuhan dan pelukaan, yang terbunuh termasuk hamba-hamba dan kaum wanita.

Maka sebahagian dari mereka belum sempat menuntut sebahagian yang lain hingga mereka masuk Islam semuanya. Salah satu dari kedua belah pihak mempunyai keunggulan atas pihak lain yang menjadi lawannya dalam hal persenjataan dan harta benda (perbekalan).

Mereka bersumpah bahawa mereka tidak rela sebelum orang merdeka dari kalangan musuhnya dibunuh kerana membunuh hamba dari kalangan mereka, dan seorang lelaki dari kalangan musuh dibunuh kerana membunuh seorang wanita dari kalangan mereka.

Di masa Jahiliah Bani Nadir berperang melawan Bani Quraizz dan dapat mengalahkan mereka. Apabila seorang dari Bani Nadir membunuh seorang dari Bani Quraizz, maka si pembunuh tidak dikenakan hukum balasan, melainkan hanya membayar tebusan berupa seratus wasaq kurma. Tetapi apabila seorang Quraizz membunuh seorang Nadir, maka tebusannya dua kali ganda, iaitu dua ratus wasaq kurma; jika tidak, ia akan dikenakan hukuman qisas (dibunuh).

Maka Allah s.w.t. memerintahkan agar keadilan ditegakkan dalam hukum qisas, tidak boleh mengikuti jalan orang-orang yang merosak lagi menyimpang dan menentang hukum-hukum Allah di kalangan mereka kerana ingkar dan melampaui batas.

Untuk itu Allah s.w.t. berfirman,

"178. Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kalian qisas dalam hal orang yang dibunuh;" 

Diwajibkan atas kalian qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh. Khithab ayat ini ditujukan kepada semua kaum mukmin. Telah diwajibkan atas kalian berbuat adil dalam hukum qisas.

Kalian diwajibkan melaksanakan qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh secara sengaja dengan membalasnya secara serupa baik sifat maupun caranya sebagai bentuk keadilan. Qisas ialah mengambil pembalasan yang sama.

Kalian wajib ikut serta membantu pelaksanaan qisas jika diminta oleh wali si terbunuh, baik para wali si terbunuh lainnya maupun pembunuhnya. Jangan kalian menghalangi had ini dan menghalangi wali dari melakukan qisas sebagaimana yang biasa dilakukan di zaman jahiliyyah, iaitu melindungi para pelaku jenayah.

"orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba sahaya dengan hamba sahaya, dan wanita dengan wanita." 

Jika kes pembunuhan terjadi dengan sengaja, maka ketentuan hukumnya ialah seseorang dihukum mati kerana membunuh seseorang. Orang merdeka dengan orang merdeka, termasuk pula lelaki dengan lelaki. Hamba dengan hamba, wanita dengan wanita. Begitu juga harus sama dalam hal agamanya. Orang muslim tidak boleh dibunuh walaupun ia seorang hamba kerana membunuh orang kafir, walaupun orang kafir tersebut orang merdeka.

Janganlah kalian melampaui batas dan jangan kalian berbuat aniaya, sebagaimana orang-orang sebelum kalian berbuat melampaui batas kerana mereka mengubah hukum Allah yang berkaitan dengan qisas.

Demikian itu membuat mereka tidak menghukum mati lelaki kerana membunuh wanita. Mereka hanya membunuh lelaki kerana membunuh lelaki lainnya, dan wanita dibunuh kerana membunuh wanita lainnya.

Maka Allah s.w.t. memansukhkan sebahagian dari kandungan ayat ini dengan menurunkan firmanNya, "Jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata." (Al Maidah 5:45)

Dengan demikian, orang-orang yang merdeka dijadikan sama dalam hukum qisas dalam kes pembunuhan yang terjadi di antara sesama mereka dengan sengaja; kaum lelaki dan kaum wanitanya dalam kes jiwa dan pelukaan diberlakukan sama, tanpa membedakan jenis kelamin.

Hamba-hamba dijadikan sama di antara sesama mereka dalam kes pembunuhan yang disengaja. Begitu juga dalam kes di antara kaum lelaki dan kaum wanita. Wanita dibunuh kerana membunuh lelaki dan lelaki dibunuh kerana membunuh wanita.

Namun tidak termasuk keumuman ayat ini orang tua dan seterusnya ke atas. Oleh kerana itu, orang tua tidak dibunuh kerana membunuh anak sebagaimana diterangkan dalam As Sunnah. Hal ini, kerana tidak termasuk adil jika orang tua dibunuh kerana membunuh anaknya, padahal orang tua memiliki rasa sayang yang dalam kepada anaknya, di mana tidak ada yang membuatnya melakukan pembunuhan selain kerana ada kerosakan pada akalnya atau kerana disakiti dengan kejam oleh anaknya.

"Maka barang siapa yang dimaafkan padanya dari saudaranya sesuatu," 

Barang siapa yang mendapat suatu pemaafan dari saudaranya. Qisas itu tidak dilakukan, bila yang membunuh diberi suatu pemaafan dari ahli waris yang terbunuh. Pemaafan itu ialah ahli waris memilih menerima diat (ganti rugi atau tebusan) sesudah berhak menuntut darah dalam kes pembunuhan sengaja.

Maka qisas menjadi gugur dan maaf yang terbaik adalah dengan memaafkannya dengan begitu saja. Disebutkan "saudaranya" untuk mengajak memberikan maaf dan untuk memberitahukan bahawa pembunuhan itu jangan sampai memutuskan persaudaraan iman.

"maka itulah dengan cara yang baik," 

Hendaklah yang memaafkan mengikutinya dengan cara yang baik. Pihak si penuntut hendaklah mengikuti cara yang baik bila dia menerima diat, iaitu jangan mempersulitkan, mengada-adakan dan dalam menuntut diat tidak dengan kasar.

"dan membayar diat kepadanya dengan baik." 

Hendaklah membayar kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik. Iaitu hendaklah orang yang diberi maaf, iaitu si pembunuh menunaikan apa yang diminta atau membayar diat kepada pihak si terbunuh dengan cara yang baik juga, tanpa membahayakan dirinya dan tidak boleh menolak.

"Hal itu keringanan dari Tuhanmu dan rahmat." 

Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kalian dan suatu rahmat. Pembayaran diat diminta dengan baik, misalnya dengan tidak mendesak yang membunuh, dan yang membunuh hendaklah membayarnya dengan baik, misalnya tidak menangguhkannya dan tidak mengurangi jumlah diat, kerana balasan terhadap perbuatan baik adalah dengan berbuat baik pula.

Sesungguhnya Allah s.w.t. mensyariatkan kepada kalian pembayaran diat dalam kes pembunuhan sengaja adalah sebagai suatu keringanan dari Allah buat kalian dan merupakan suatu rahmat bagi kalian, yang membebaskan kalian dari apa yang berlaku di kalangan umat-umat terdahulu sebelum kalian, iaitu hukuman mati atau memaafkan secara begitu saja.

Pemaafan itu ialah menerima diat dalam kes pembunuhan sengaja. Yang demikian itu merupakan keringanan berbanding apa yang diwajibkan atas kaum Bani Israil dan umat-umat sebelum kalian. Diwajibkan atas kaum Bani Israil hukuman qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh tanpa ada pemaafan di kalangan mereka.

Allah s.w.t. telah memperkenankan bagi umat ini makan hasil diat yang belum pernah dihalalkan kepada seorang pun sebelumnya. Hukum yang berlaku di kalangan ahli Taurat hanyalah qisas dan pemaafan tanpa diat. Sedangkan dalam syariat ahli Injil, hanya maaf belaka yang dianjurkan kepada mereka. Maka Allah menjadikan bagi umat ini hukum qisas dan pemaafan serta diat.

"Maka barang siapa yang melampaui batas setelah itu, maka baginya azab yang pedih."

Orang yang melampaui batas di sini ialah ahli waris korban membunuh yang bukan si pembunuh, atau membunuh si pembunuh sesudah mengambil diat darinya atau sesudah dia setuju dengan diat. Padahal Allah telah menjelaskan hukum-hukum ini. Maka terhadapnya di dunia diambil qisas dan di akhirat baginya siksa Allah yang sangat pedih lagi menyakitkan dan sangat keras.

Nabi s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang tertimpa musibah pembunuhan atau pelukaan, maka sesungguhnya dia memilih salah satu di antara tiga perkara, iaitu, adakalanya mengqisas (pelakunya), adakalanya memaafnya, dan adakalanya mengambil diat. Dan jika dia menghendaki yang keempat, maka belenggulah kedua tangannya (lakukanlah qisas terhadapnya). Dan barang siapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya neraka Jahannam, dia kekal di dalamnya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Aku tidak akan memaafkan seorang lelaki yang membunuh (si pembunuh) sesudah dia mengambil diat (darinya)." Dengan kata lain, aku tidak mahu menerima diat darinya melainkan kujalankan hukum qisas terhadapnya, tanpa ampun.

"179. Dan bagi kalian dalam qisas kehidupan," 

Dalam qisas itu ada hidup bagi kalian. Di dalam pentasyri'an hukum qisas bagi kalian, iaitu membunuh si pembunuh, mengandungi hikmah yang besar. Dengan adanya syari'at qisas itu, terdapat jaminan kelangsungan hidup yang aman bagi kalian dan terpeliharanya nyawa.

Apabila seseorang yang hendak membunuh mengetahui bahawa jika dia membunuh seseorang, maka ia akan dikenai hukuman mati, nescaya dia akan mencegah dirinya dari melakukan niatnya itu. Demikian itu sama seperti menghidupkan yang lainnya. Begitu juga had-had dalam Islam lainnya, tujuannya untuk menjaga jiwa, harta, akal, kehormatan, agama dan menginsafkan pelakunya.

"wahai yang mempunyai akal, agar kalian bertakwa."

Allah s.w.t. menyukai hamba-hambaNya yang mahu menggunakan akal dan fikirannya untuk memikirkan hikmah di balik ketetapanNya yang bijak dan maslahat yang ada di dalam ketetapan itu. Semua menunjukkan kesempurnaannya, kesempurnaan hikmahNya, adilNya dan rahmatNya yang luas.

Orang yang mengenal Tuhannya, mengenal isi agama dan syari'atNya yang mengandung rahsia yang dalam serta hikmah yang indah akan taat kepada perintah-perintah Allah, merasa sangat buruk jika bermaksiat kepadaNya dan menghentikan hal-hal yang mungkar. Dengan begitu dia menjadi orang-orang yang bertakwa.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...