Selasa, 5 September 2017

28:44-46 Tafsir Surah Al Qasas, ayat 44-46.

وَمَا كُنْتَ بِجَانِبِ الْغَرْبِيِّ إِذْ قَضَيْنَا إِلَى مُوسَى الأمْرَ وَمَا كُنْتَ مِنَ الشَّاهِدِينَ (٤٤) وَلَكِنَّا أَنْشَأْنَا قُرُونًا فَتَطَاوَلَ عَلَيْهِمُ الْعُمُرُ وَمَا كُنْتَ ثَاوِيًا فِي أَهْلِ مَدْيَنَ تَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِنَا وَلَكِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ (٤٥) وَمَا كُنْتَ بِجَانِبِ الطُّورِ إِذْ نَادَيْنَا وَلَكِنْ رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ لِتُنْذِرَ قَوْمًا مَا أَتَاهُمْ مِنْ نَذِيرٍ مِنْ قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ (٤٦)

Allah s.w.t. telah menceritakan kepada RasulNya Nabi Muhammad s.a.w. kisah Musa a.s. dari awal hingga akhir, dan bagaimana permulaan wahyuNya kepada Musa serta pembicaraanNya dengan Musa secara langsung. Begitu juga berita-berita di masa lalu yang lain.

Beliau s.a.w. dapat menceritakan kisah-kisah masa lalu seakan-akan dia mendengar dan menyaksikannya sendiri. Padahal Beliau s.a.w. adalah seorang lelaki yang ummi, tidak dapat membaca dan menulis, lagi dilahirkan di kalangan kaum yang tidak mengetahui sesuatu pun tentang kisah tersebut.

Maka Allah s.w.t. mengesahkan bukti kenabian Nabi Muhammad s.a.w. dan mengingatkan manusia bahawa berita tersebut adalah berita murni dariNya. Tidak ada jalan bagi rasul untuk mengetahuinya kecuali dengan jalan wahyu. Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"44. Dan tidaklah kamu di sebelah barat ketika Kami sampaikan kepada Musa perintah," 

Semasa Allah s.w.t. berbicara langsung kepada Musa a.s., menyampaikan perintah kepadanya di pohon yang terletak di sebelah timur lembah suci Thuwa, Beliau s.a.w. tidaklah berada di sisi bukit yang terletak di sebelah barat lembah itu.

"dan tidak kamu termasuk orang-orang yang menyaksikan." 

Beliau s.a.w. juga tidak hadir di sana menyaksikan kejadian itu sehingga Beliau mengetahuinya. Allah lah yang menceritakan kepada Beliau melalui wahyuNya.

"45. Akan tetapi Kami menumbuhkan generasi-generasi, maka panjanglah atas mereka umur" 

Allah s.w.t. telah menciptakan beberapa umat setelah Musa a.s. Masa yang panjang telah berlalu. Mereka telah melupakan hujah-hujah Allah, apa yang telah diwahyukan oleh Allah kepada para nabi terdahulu, pesanan dan perjanjian.

Pengetahuan agama semakin pudar dan wahyu telah terputus. Maka Allah s.w.t. mengutus Beliau s.a.w. sebagai rasul serta mewahyukan kepada Beliau berita tentang Musa a.s. dan lainnya. Demikian itu adalah sebagai hujah dan bukti terhadap mereka.

"dan tidaklah kamu berada tinggal bersama penduduk Madyan kamu membacakan atas mereka ayat-ayat Kami," 

Beliau s.a.w. tidaklah tinggal bersama-sama penduduk kota Madyan seraya membacakan ayat-ayat Allah kepada mereka sehingga Beliau mengetahui kisah mereka dan nabi mereka Syu'aib a.s., lalu menyampaikannya.

"akan tetapi Kami, Kami adalah yang mengutus para rasul." 

Allah s.w.t. telah mengutus rasul-rasul. Dia mewahyukan hal tersebut kepada Beliau s.a.w. dan Dia utus Beliau kepada manusia sebagai rasul. Berita yang Beliau s.a.w. bawa baik tentang Musa a.s. maupun tentang umat-umat terdahulu adalah atsar (hasil) dari pengutusanNya kepada Beliau dan wahyu. Tidak ada jalan bagi Beliau s.a.w. untuk mengetahuinya jika Allah s.w.t. tidak mengutusnya.

"46. Dan tidaklah kamu di sebelah Gunung Tur ketika Kami menyeru," 

Beliau s.a.w. tidaklah berada di dekat Gunung Tursina ketika Allah s.w.t. memerintahkan Musa a.s. mendatangi orang-orang yang zalim (Fir’aun dan kaumnya) dan menyampaikan kepada mereka risalahNya serta memperlihatkan ayat-ayatNya.

"akan tetapi rahmat dari Tuhanmu," 

Beliau s.a.w. tidak menyaksikan sesuatu pun dari hal tersebut. Allah s.w.t. mengutuskan Beliau s.a.w., mewahyukan dan menceritakannya kepada Beliau s.a.w. sebagai rahmat dariNya kepadanya dan kepada semua hamba yang Beliau s.a.w. diutus kepada mereka.

"supaya kamu beri peringatan kaum yang tidak datang pada mereka dari pemberi peringatan dari sebelum kamu agar mereka, mereka mengambil pelajaran." 

Agar Beliau s.a.w. menyampaikan peringatan dan petunjuk dari Allah s.w.t. kepada kaum Quraisy yang tidak pernah didatangi oleh pemberi peringatan. Demikian itu adalah agar mereka mendapat pelajaran dan ingat.

Maka mereka dapat mengetahui kebaikan secara lebih rinci sehingga mereka dapat mengerjakannya. Mereka juga dapat mengetahui keburukan lebih rinci, sehingga mereka dapat meninggalkannya. Jika Beliau s.a.w. seperti ini kedudukannya, maka yang wajib dilakukan adalah segera beriman dan mensyukuri nikmat yang besar ini.

Namun, peringatan Beliau s.a.w. bukanlah hanya khusus kepada orang-orang Arab saja. Bahkan risalah Beliau untuk semua manusia; bangsa Arab maupun ‘Ajam (bukan Arab). Mula-mula tertuju kepada orang Arab kerana Beliau s.a.w. orang Arab.

Al Qur’an diturunkan dalam bahasa Arab dan orang yang mula-mula mendapat dakwah Beliau adalah orang-orang Arab. Oleh kerana itu, risalah Beliau s.a.w. kepada orang-orang Arab adalah sebagai asalnya, sedangkan selain mereka mengikuti.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...