Khamis, 7 September 2017

33:72-73 Tafsir Surah Al Ahzab, ayat 72-73.

إِنَّا عَرَضْنَا الأمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الإنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولا (٧٢) لِيُعَذِّبَ اللَّهُ الْمُنَافِقِينَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْمُشْرِكِينَ وَالْمُشْرِكَاتِ وَيَتُوبَ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا (٧٣)

Allah s.w.t. membesarkan masalah amanat yang dibebankannya kepada orang-orang mukallaf. Dia berfirman,

"72. Sesungguhnya Kami, Kami menawarkan amanat kepada langit, dan bumi, dan gunung-gunung," 

Allah s.w.t. telah menawarkan amanat dan akibatnya kepada makhluk-makhluk yang besar, iaitu langit, bumi dan gunung-gunung. Namun tawaran itu bukanlah paksaan.

Amanat adalah taklif, mengerjakan perintah, menjauhi larangan, segala persyaratannya, tugas-tugas agama, fardu-fardu, kewajiban-kewajiban, ketaatan, hukum-hukum had, memelihara kehormatan, mandi jinabah (menjaga kemaluan) dan sebagainya. Kemudian memikul amanat ini dan memeliharanya dengan sebaik-baiknya.

Akibatnya adalah jika mereka berbuat baik, taat, melaksanakan, menunaikan dan memelihara amanat ini, maka Allah s.w.t. akan memberi mereka disisiNya kurnia, kemuliaan, keutamaan, ampunan dan pahala yang baik di syurga. Jika mereka berbuat buruk, derhaka, meninggalkan, tidak memeliharanya, menyia-nyiakannya, maka Allah s.w.t. akan mengazab, menyiksa dan memasukkan mereka ke dalam neraka.

Ketika Allah s.w.t. selesai menciptakan makhlukNya, maka Dia menawarkan amanat dan akibatnya kepada tujuh lapis langit yang dihiasi dengan bintang-bintang dan para malaikat pemikul 'Arasy. Kemudian Allah s.w.t. menawarkannya kepada tujuh lapis bumi yang keras dan diikat dengan pasak-pasak yang kuat serta diperhalus dengan hamparan-hamparan yang rata. Kemudian Allah s.w.t. menawarkannya kepada gunung-gunung yang tinggi-tinggi lagi kukuh, keras dan kuat.

"maka mereka enggan untuk memikulnya dan mereka merasa takut darinya," 

Semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya. Langit telah dipikulkan bintang-bintang, semua penduduk langit, dan lain-lainnya. Bumi dan gunung-gunung telah ditanamkan semua pohon, semua sungai dialirkan padanya, penduduk bumi dan segala sesuatunya.

Maka mereka tidak suka dan merasa takut memikul tanggung jawab amanat ini tanpa adanya pelanggaran. Mereka tidak mempunyai kesabaran, kekuatan dan kemampuan untuk memikul tugas itu. Mereka semua tidak menginginkan pahala, tidak pula siksaan dan tidak mahu memikul suatu kewajiban pun.

Mereka khuatir tidak akan melaksanakannya dan menderhakai Allah s.w.t. Tetapi demi menghormati agama Allah, sebaiknya mereka tidak menerimanya. Tetapi mereka akan sentiasa taat kepada Allah. Mereka diciptakan hanya untuk tunduk patuh kepada perintahNya dan tidak akan menderhakaiNya dalam sesuatu pun yang diperintahkan kepada mereka.

"kemudian memikulnya manusia." 

Lalu Allah s.w.t. menawarkan amanat dan akibatnya itu kepada Adam a.s. Beliau rela memikulnya dan menerima amanat itu dengan penuh kesetiaan di atas kepala dan bahunya. Saat itu juga Allah s.w.t. memikulkannya kepadanya.

Oleh kerana Adam a.s. rela memikul amanat itu, Allah s.w.t. akan menolongnya dalam menjalankannya. Allah s.w.t. jadikan dua kelopak matanya sebagai hijab. Apabila merasa khuatir akan melihat sesuatu yang tidak halal atau kedua mata itu menyuruh untuk melakukan hal yang Dia benci, maka turunkanlah hijab itu atau pejamkanlah mata.

Allah s.w.t. menolongnya dengan memberi lisan yang diapit oleh kedua bibir sebagai pintu dan kunci. Apabila takut, kuncilah lisan. Apabila lisan menyuruh untuk melakukan hal yang Dia benci, maka katupkanlah.

Allah s.w.t. juga menolongnya dengan menjadikan bagi kemaluannya pakaian. Maka janganlah membukanya untuk hal-hal yang Dia benci. Janganlah membukanya kecuali terhadap apa yang Dia halalkan.

"Sungguh dia, dia sangat zalim sangat jahil." 

Adam a.s. bersedia memikul amanat dan akibatnya itu. Beliau mengambilnya dalam keadaan yang lemah, zalim lagi jahil. Maka dalam waktu yang tidak begitu lama kira-kira antara Asar dan malam hari pada hari itu juga, Adam a.s. melakukan pelanggaran, iaitu memakan buah khuldi.

Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh dalam memikirkan akibat urusannya. Amanat ini diterima oleh manusia kerana kelemahan, kebodohan, dan kezalimannya, kecuali bagi orang yang diberi taufik oleh Allah. Hanya kepada Allahlah kita memohon pertolongan. Dalam memikul tugas amanat itu, manusia terbahagi menjadi tiga golongan,

"73. Kerana Allah akan menyiksa orang-orang munafik lelaki, orang-orang munafik perempuan," 

Sesungguhnya Allah memikulkan amanat (taklif-taklif) kepada Adam a.s., hanyalah agar Allah mengazab kaum munafik. Mereka menampakkan dirinya bahawa mereka melaksanakan amanat itu baik zahir maupun batin, padahal tidak.

Zahirnya mereka menampakkan iman, sedangkan batinnya memendam kekufuran. Mereka melahirkan keimanan kerana takut kepada orang-orang mukmin, dan memendam kekufuran kerana mengikuti jejak para penganutnya.

"orang-orang musyrik lelaki, orang-orang musyrik perempuan;" 

Kaum musyrik tidak melaksanakan amanat itu sama sekali, baik zahir maupun batin. Zahir dan batinnya musyrik kepada Allah, iaitu mempersekutukanNya dengan yang lain dan menentang rasul-rasulNya.

"dan Allah akan menerima taubat atas orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin perempuan." 

Kaum mukmin melaksanakan amanat itu, baik zahir maupun batin. Allah s.w.t. akan menerima taubat mereka yang menjalankan amanat itu. Dia merahmati orang-orang yang beriman dari kalangan makhlukNya, iaitu mereka yang beriman kepada Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, dan para rasulNya lagi mengamalkan ketaatan kepadaNya.

"Dan Allah Maha Pengampun Maha Penyayang."

Allah s.w.t. mengakhiri ayat ini dengan dua namaNya yang mulia, yang menunjukkan sempurnanya ampunanNya, luasnya rahmatNya dan meratanya kepemurahanNya, tetapi sayangnya kebanyakan mereka tidak mahu mendapatkan ampunan dan rahmatNya kerana perbuatan nifak dan syiriknya.

Selesai tafsir surah Al Ahzab dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, wal hamdulillahi Rabbil ‘aalamin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...