Jumaat, 8 September 2017

37:50-61 Tafsir Surah As Saffat, ayat 50-61.

فَأَقْبَلَ بَعْضُهُمْ عَلَى بَعْضٍ يَتَسَاءَلُونَ (٥٠) قَالَ قَائِلٌ مِنْهُمْ إِنِّي كَانَ لِي قَرِينٌ (٥١) يَقُولُ أَئِنَّكَ لَمِنَ الْمُصَدِّقِينَ (٥٢) أَئِذَا مِتْنَا وَكُنَّا تُرَابًا وَعِظَامًا أَئِنَّا لَمَدِينُونَ (٥٣) قَالَ هَلْ أَنْتُمْ مُطَّلِعُونَ (٥٤) فَاطَّلَعَ فَرَآهُ فِي سَوَاءِ الْجَحِيمِ (٥٥) قَالَ تَاللَّهِ إِنْ كِدْتَ لَتُرْدِينِ (٥٦) وَلَوْلا نِعْمَةُ رَبِّي لَكُنْتُ مِنَ الْمُحْضَرِينَ (٥٧) أَفَمَا نَحْنُ بِمَيِّتِينَ (٥٨) إِلا مَوْتَتَنَا الأولَى وَمَا نَحْنُ بِمُعَذَّبِينَ (٥٩) إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (٦٠) لِمِثْلِ هَذَا فَلْيَعْمَلِ الْعَامِلُونَ (٦١)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal ahli syurga. Mereka mendapat kenikmatan dan kegembiraan yang sempurna kerana mendapat berbagai jenis makanan, minuman, bidadari, tempat duduk yang indah dan sebagainya yang belum pernah dilihat oleh mata, belum pernah didengar oleh telinga (beritanya) dan belum pernah terdetik di hati seorang manusia pun. Keadaannya senang dan gembira.

"50. Maka menghadap sebahagian mereka atas sebahagian yang lain bercakap-cakap." 

Mereka duduk di atas tahta-tahta kebesaran, saling berhadapan di tempat mereka minum-minum, berkumpul dan bergaul dengan ahli syurga lainnya. Sedangkan para pelayan berada di sekitar mereka menghidangkan kebaikan yang besar kepada mereka.

Mereka saling bertanya atau bercakap-cakap tentang sesuatu yang disukai untuk dibicarakan serta masalah-masalah yang terjadi perselisihan atau masih musykil. Kesenangan ahli ilmu adalah bertanya tentang ilmu dan mengkajinya, bahkan lebih nikmat daripada pembicaraan tentang dunia.

Ketika itu mereka mengetahui berbagai hakikat ilmiyyah di syurga yang tidak mungkin diungkapkan. Mereka juga berbicara tentang berbagai perkara yang terjadi di masa lalu, bagaimana kehidupan mereka dan penderitaan mereka sewaktu di dunia. Ini merupakan salah satu topik pembicaraan mereka.

"51. Berkata orang yang berkata di antara mereka, "Sungguh aku dahulu untukku teman.""

Iaitu teman semasa di dunia. Qarin bermaksud syaitan atau teman yang musyrik, dia menjadi teman orang mukmin ketika di dunianya. Tidak ada pertentangan antara kedua pendapat itu, kerana syaitan itu adakalanya dari makhluk jin yang suka menggoda jiwa manusia, adakalanya dari kalangan manusia sendiri yang dapat berkomunikasi dengannya. Kedua qarin itu saling membantu.

"52. Dia berkata, "Apa sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang membenarkan?""

Orang kafir hairan, tidak percaya, mencela, menganggap mustahil dan ingkar terhadap hari berbangkit, hari penghisaban dan hari pembalasan.

"53. Apabila kita telah mati dan kita menjadi tanah dan tulang belulang, apa sungguh kita sungguh diberi pembalasan?" 

Orang kafir tidak percaya bahawa manusia semuanya akan dibangkitkan, dihidupkan semula, dihisab dan mendapat pembalasan terhadap amal perbuatannya sesudah mati, walaupun sudah hancur menjadi tanah dan tulang belulang.

Orang kafir itu tetap mengingkari kebangkitan sampai dia mati, sedangkan orang mukmin tetap beriman kepada kebangkitan sampai dia mati. Kerana itu, dia mendapat kenikmatan di syurga, sedangkan kawannya menerima azab di neraka.

Di dalam syurga terdapat jendela pengintai. Apabila seorang ahli syurga hendak melihat keadaan musuhnya di neraka, maka ia melongokkan pandangannya melalui jendela itu ke arah neraka.

"54. Dia berkata, "Apakah kalian orang-orang yang melihat?""

Orang mukmin itu mengajak teman-temannya di syurga meninjau untuk melihat temannya yang dimaksudkan. Lalu mereka bersama-sama pergi mengikutinya untuk meninjau dan melihatnya.

"55. Lalu orang itu meninjau, lalu dia melihatnya di tengah-tengah neraka Jahim." 

Orang mukmin itu nampak temannya yang musyrik sedang diliputi azab neraka Jahim, batok kepalanya mendidih dan rupanya seperti bintang yang menyala-nyala kerana terbakar api neraka.

"56. Dia berkata, "Demi Allah, jika kamu hampir-hampir sungguh kamu celakakan aku.""

Orang mukmin mencela keadaan kawannya yang kafir. Dia benar-benar hampir mencelakakan orang mukmin itu dengan melemparkan berbagai syubhat agar dia diikuti. Makin bertambahlah rasa syukur orang mukmin kepada Allah s.w.t. yang menyelelamatkannya dari tipu daya kawannya.

"57. Dan jika bukan kerana nikmat Tuhanku, pasti aku termasuk orang-orang yang dihadirkan." 

Sekiranya orang mukmin menuruti kehendak orang kafir, pastilah dia menjadi orang yang senasib dengan orang yang diseret ke dalam azab neraka Jahim. Tetapi berkat kurnia, nikmat dan rahmatNya kepada orang mukmin, maka Dia memberinya petunjuk kepada iman, mengukuhkannya di atas Islam dan membimbingnya ke jalan mengesakan Dia.

Penduduk syurga dipersilakan makan dan minum dengan sedap sebagai balasan dari apa yang telah mereka kerjakan. Mereka mengetahui bahawa pemutus semua kenikmatan adalah maut. Lalu dikatakan kepada mereka bahawa mereka tidak akan mati lagi di dalam syurga. Kerana itu, mereka berkata,

"58. Maka apakah tidak kita akan mati?" 

"59. Kecuali kematian kita yang pertama dan tidaklah kita disiksa?" 

Orang mukmin merasa kagum dengan pemberian dan nikmat Allah s.w.t. kepada dirinya iaitu kehidupan yang kekal di dalam syurga dan bertempat di tempat yang terhormat tanpa mati dan selamat dari azab.

"60. Sungguh ini benar-benar ia keuntungan yang besar." 

Inilah kemenangan yang agung, kemenangan yang sebenarnya. Dengannya semua kebaikan diperolehi, begitu juga apa saja yang diinginkan oleh jiwa, dan dengannya semua yang dikhuatirkan serta hal yang tidak diinginkan terhindar.

Inilah puncak cita-cita dan akhir dari tujuan. Tuhan Pencipta langit dan bumi telah menaruh rasa ridha kepada mereka, dan mereka pun bergembira kerana dekat denganNya, merasakan nikmat dengan mengenalNya dan merasa senang melihatNya serta bergembira kerana mendengar firmanNya.

"61. Untuk seperti ini, maka hendaklah beramal orang-orang yang beramal." 

Hendaklah orang-orang di dunia berusaha dan beramal orang-orang yang mampu beramal agar mereka dapat meraih kenikmatan dan kemenangan seperti ini kelak di akhirat. Ia lebih berhak untuk diberikan sesuatu yang paling berharga dan diseriusi oleh orang-orang yang berakal.

Kerugian yang besar adalah jika waktu berlalu begitu saja tanpa diisi dengan amal yang dapat memasukkannya ke syurga, terlebih lagi orang yang mengisi hidupnya dengan dosa-dosa. Maka semoga Allah melindungi kita darinya, aamin yaa Rabbal ‘aalamin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...