Ahad, 10 September 2017

42:51-53 Tafsir Surah Asy Syura, ayat 51-53.

وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُكَلِّمَهُ اللَّهُ إِلا وَحْيًا أَوْ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ أَوْ يُرْسِلَ رَسُولا فَيُوحِيَ بِإِذْنِهِ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ عَلِيٌّ حَكِيمٌ (٥١) وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِنْ أَمْرِنَا مَا كُنْتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلا الإيمَانُ وَلَكِنْ جَعَلْنَاهُ نُورًا نَهْدِي بِهِ مَنْ نَشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (٥٢) صِرَاطِ اللَّهِ الَّذِي لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ أَلا إِلَى اللَّهِ تَصِيرُ الأمُورُ (٥٣)

Ketika orang-orang yang mendustakan para rasul berkata, “Mengapa Allah tidak berbicara langsung dengan kami?” kerana kesombongan mereka, maka Allah s.w.t. membantah mereka dengan ayat yang mulia ini, dan bahawa pembicaraan Allah s.w.t. hanyalah kepada makhluk pilihanNya. Ayat-ayat ini menerangkan tentang cara dan tingkatan wahyu bila dikaitkan dengan Zat Allah s.w.t.

"51. Dan tidak patut ada bagi seorang manusia bahawa Allah akan berbicara dengannya kecuali wahyu" 

Adakalanya Allah s.w.t. menyampaikan wahyu ke dalam hati rasul tersebut tanpa mengutus seorang malaikat dan tanpa berbicara secara langsung. Dia melemparkan sesuatu ke dalam diri Nabi s.a.w. yang tidak diragukan oleh Beliau bahawa hal itu berasal dari Allah s.w.t.

"atau dari belakang tabir" 

Di belakang tabir bermaksud seseorang dapat mendengar firman Allah, akan tetapi dia tidak dapat melihatNya, seperti yang terjadi pada Musa a.s. Allah s.w.t. berkata-kata kepadanya, lalu Musa a.s. meminta kepada Allah s.w.t. agar dapat melihat Zat Allah sesudah pembicaraan itu, tetapi pandangan Musa a.s. terhalang tabir dan tidak dapat melihatNya.

"atau mengutus utusan, lalu diwahyukan dengan izinNya apa yang Dia kehendaki." 

Adakalanya Allah s.w.t. mengutuskan malaikat Jibril a.s. dan malaikat lainnya kepada para nabi.

"Sungguh Dia Maha Tinggi Maha Bijaksana." 

Allah Mahatinggi zatNya, sifatNya dan perbuatanNya. Dia mengalahkan segala sesuatu dan semua makhluk tunduk kepadaNya. Dia Maha Mengetahui, Mahaperiksa lagi Maha Bijaksana. Dia menempatkan sesuatu pada tempatnya.

"52. Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu ruh dari perintah Kami." 

Demikianlah sebagaimana Allah s.w.t. telah mewahyukan kepada para rasul sebelum Beliau s.a.w. Ruh di sini bermaksud wahyu Al Quran. Al Qur’an disebut ruh kerana dengannya hati dan ruh menjadi hidup, demikian pula maslahat dunia dan agama menjadi hidup dengannya; kerana di dalamnya terdapat kebaikan dan ilmu yang banyak. Ia merupakan pemberian Allah murni kepada rasulNya dan kepada hamba-hambaNya yang mukmin tanpa sebab dari mereka.

"Tidaklah kamu mengetahui apakah kitab dan tidak iman," 

Sebelumnya kamu tidak memiliki pengetahuan tentang Al Qur'an dan berita kitab-kitab terdahulu. Kamu juga tidak memiliki iman dan amal terhadap syariat Allah. Kamu tidak mengetahuinya secara rinci, sebagaimana yang telah disyaratkan (diperintahkan) untukmu di dalam Al Qur'an. Bahkan kamu adalah seorang yang ummi (buta huruf), tidak boleh menulis dan membaca, lalu datanglah kitab ini kepadamu.

"akan tetapi Kami jadikan Al Qur’an cahaya Kami beri petunjuk dengannya siapa yang Kami kehendaki dari hamba-hamba Kami." 

Orang-orang beriman mengambil sinarnya untuk menerangi kegelapan kufur, bid’ah, dan hawa nafsu. Dengannya mereka mengenal hakikat dan dengannya mereka mendapat petunjuk ke jalan yang lurus.

"Dan sungguh kamu benar-benar kamu memberi petunjuk kepada jalan yang lurus."

Nabi Muhammad s.a.w. benar-benar membimbing manusia kepada jalan yang hak lagi lurus.

"53. Jalan Allah" 

Iaitu jalan Allah, iaitu syariat yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t. untuk dilaksanakan. Jalan tersebut menghubungkan kepada Allah dan kepada syurgaNya.

"yang milikNya apa yang dilangit dari apa yang di bumi." 

Allah s.w.t. Tuhan yang menciptakan, memiliki dan mengatur segala yang ada di langit dan di bumi. Semuanya adalah hambaNya. Dialah Hakim yang tiada hambatan bagi keputusan hukumNya.

"Ingatlah kepada Allah akan kembali semua urusan." 

Segala urusan baik maupun buruk kelak akan dikembalikan kepada Allah s.w.t. Dia akan merincinya dan menghukuminya. Maka Dia akan memberikan balasan sesuai amal yang dilakukan seseorang; jika baik maka dibalas dengan kebaikan dan jika buruk, maka akan dibalas dengan keburukan. Mahasuci lagi Mahatinggi Allah dari apa yang dikatakan oleh orang-orang yang zalim dan orang-orang yang ingkar dengan ketinggian yang setinggi-tingginya.

Selesai tafsir surah Asy Syura, wal hamdulillahi awwalan waa aakhiran, wa zhaahiran wa baathinan kerana kemudahanNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...