Ahad, 8 Oktober 2017

13:19-24 Tafsir Surah Ar Ra’d, ayat 19-24.

أَفَمَنْ يَعْلَمُ أَنَّمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ الْحَقُّ كَمَنْ هُوَ أَعْمَى إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الألْبَابِ (١٩) الَّذِينَ يُوفُونَ بِعَهْدِ اللَّهِ وَلا يَنْقُضُونَ الْمِيثَاقَ (٢٠) وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الْحِسَابِ (٢١) وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ (٢٢)جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ وَالْمَلائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِمْ مِنْ كُلِّ بَابٍ (٢٣) سَلامٌ عَلَيْكُمْ بِمَا صَبَرْتُمْ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ (٢٤)

Ada yang mengatakan, bahawa ayat ini turun berkenaan dengan Hamzah dan Abu Jahal, atau ‘Ammar dan Abu Jahal, wallahu a’lam. Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"19. Apakah orang yang mengetahui bahawasanya diturunkan kepadamu dari Tuhanmu benar seperti orang dia buta?" 

Sebahagian orang, ada yang berilmu lagi mengamalkannya. Mereka adalah manusia pilihan. Mereka meyakini bahawa Al Qur'an adalah kebenaran, perkara yang hak, tiada keraguan di dalamnya, tiada kebimbangan, tiada kebingungan dan tiada pertentangan di dalamnya.

Semua berita yang disebutkan di dalam Al Qur'an adalah benar. Sebahagian darinya membenarkan sebahagian yang lain, tiada sesuatu pun darinya yang bertentangan dengan lainnya. Semua perintah dan larangannya adalah adil.

Sebahagian orang yang lain tidak berilmu lagi tidak beramal. Mereka buta, tidak nampak petunjuk. Tiada petunjuk baginya ke jalan kebaikan dan dia tidak memahaminya. Seandainya dia memahaminya, dia tetap tidak akan tunduk, tidak akan membenarkannya dan tidak akan mengikutinya.

Antara keduanya terdapat perbedaan, bahkan seperti antara langit dan bumi. Sepatutnya manusia berfikir siapakah di antara kedua orang itu yang lebih baik keadaannya, dan siapakah yang diikuti jalannya. Akan tetapi, tidak semua orang dapat mengambil pelajaran.

"Sungguh hanyalah mengambil pelajaran orang-orang yang punya akal." 

Hanya orang berakal sihat dan berfikiran lurus saja yang menjadikannya sebagai nasihat dan memahaminya. Manusia pilihan yang memiliki sifat-sifat yang terpuji itu adalah,

"20. Orang-orang yang memenuhi janji Allah dan mereka tidak merosak perjanjian." 

Mereka memenuhi janji Allah s.w.t. yang diambil dari mereka sebelum mereka diciptakan, iaitu hendaknya mereka menyembahNya dan tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Mereka juga memenuhi setiap perjanjian yang mereka buat dengan Allah s.w.t. seperti sumpah, nazar dan sebagainya.

Mereka tidak melanggar perjanjian dengan tidak beriman atau dengan meninggalkan kewajiban. Mereka tidak sama dengan orang-orang munafik yang apabila mengadakan perjanjian, maka dilanggarnya; apabila bersengketa, curang; apabila berbicara, dusta; dan apabila dipercaya, khianat.

"21. Dan orang-orang yang menghubungkan apa yang Allah perintahkan dengannya supaya disambung," 

Ayat ini umum mencakup semua yang diperintahkan Allah untuk dihubungkan, seperti beriman kepadaNya, beriman kepada RasulNya, beribadah hanya kepadaNya saja dan menaati RasulNya. Mereka menghubungkan silaturrahim (hubungan kekerabatan) dan ukhuwwah (tali persaudaraan).

Mereka berbakti dan tidak menderhakai bapa dan ibu mereka, berbuat baik kepada isteri, kaum kerabat, sanak keluarga, kawan, hamba, kaum fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan bantuan, dengan mendermakan kebajikan dan memenuhi hak mereka secara sempurna, baik hak yang terkait dengan agama maupun dunia.

"dan mereka takut Tuhan mereka dan mereka takut buruk hisab." 

Mereka menghubungkan silaturrahim dan ukhuwwah kerana mereka merasa di bawah pengawasan Allah, takut kepada ancamanNya dan takut terhadap hisabNya di hari akhirat. Hisab yang buruk mencatat semua kejahatan tanpa ada satu pun yang tertinggal.

Kerana itu mereka mengerjakan amal-amal yang wajib mereka lakukan, menghindari perbuatan-perbuatan yang wajib mereka tinggalkan. Mereka tidak berani bermaksiat atau meremehkan apa yang diperintahkan Allah kerana takut kepada siksaNya dan berharap kepada pahalaNya.

"22. Dan orang-orang yang bersabar mencari keridhaan Tuhan mereka," 

Mereka tetap berada dalam jalan yang lurus dan istiqamah dalam semua perbuatan dan semua keadaan yang mereka alami. Mereka bersabar di atas ketaatan, sabar dalam memutuskan diri dari perbuatan-perbuatan yang haram dan dosa-dosa, sabar terhadap musibah dan tidak berkeluh kesah.

Mereka bersabar kerana mengharapkan ridha Allah dan pahalaNya yang berlimpah, itulah sabar yang bermanfaat. Sabar kerana mencari perhiasan dunia, seperti untuk berbangga-bangga, maka sabar tersebut tidaklah terpuji dan sia-sia.

"dan mereka mendirikan solat dan mereka menginfakkan apa yang kami beri rezeki kepada mereka" 

Mereka mendirikan solat dengan dengan memelihara batasan-batasannya, waktu-waktunya, syarat, khusyuknya dan pelengkapnya lahir maupun batin sesuai dengan apa yang dianjurkan oleh syariat.

Mereka menginfakkan sebahagian dari apa yang telah Allah s.w.t. rezekikan kepada mereka pengeluaran yang wajib seperti zakat dan kaffarat. Mereka memberikan kepada orang-orang yang wajib mereka biayai, iaitu anak, isteri dan kaum kerabat. Mereka juga menginfakkan pengeluaran yang sunat seperti memberi kepada kaum fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan bantuannya.

"sembunyi dan terang-terangan," 

Tiada suatu keadaan pun yang menghambat mereka untuk menginfakkannya, baik secara sembunyi-sembunyi ataupun terang-terangan, baik di waktu malam ataupun waktu siang.

"dan mereka menolak dengan kebaikan kejahatan," 

Mereka menolak tindakan bodoh dari orang lain dengan sikap hilm (santun), gangguan dengan kesabaran, memberi ketika tidak diberi, memaafkan ketika dizalimi, menyambung hubungan ketika diputuskan, membalas kejahatan dengan kebaikan dan tidak membalas orang menyakiti mereka.

"mereka itu bagi mereka kesudahan tempat."

Mereka akan mendapat akibat yang terpuji, kebahagiaan, kemenangan dan keuntungan yang besar di dunia dan di akhirat.

"23. Syurga 'Adn mereka memasukinya dan orang yang beramal soleh dari bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan anak cucu mereka," 

Al 'Adn ertinya tempat bermukim, iaitu syurga-syurga tempat tinggal. Di dalam syurga terdapat sebuah binaan atau kota yang disebut 'Adn. Di sekelilingnya terdapat banyak menara dan taman. Di dalam binaan 'Adn terdapat lima ribu pintu, dan pada tiap-tiap pintunya terdapat lima ribu buah tirai hibarah.

Di dalamnya terdapat para rasul, para nabi, para syuhada dan para imam pemberi petunjuk. Orang-orang lain berada di sekitar mereka sesudahnya, dan syurga-syurga lainnya berada di sekitarnya.

Allah s.w.t. menghimpunkan mereka bersama kekasih-kekasih mereka di dalam syurga, iaitu nenek moyangnya, pasangan-pasangannya dan anak cucunya yang layak untuk masuk syurga dari kalangan kaum mukmin, agar hati mereka senang.

Dalam hal ini Allah s.w.t. mengangkat darjat orang yang berkedudukan rendah ke tingkat kedudukan yang tinggi sebagai anugerah dariNya dan kebajikanNya, tanpa mengurangi darjat ketinggian seseorang dari kedudukannya. Mereka kekal di dalamnya, tidak akan dan tidak ingin pindah darinya, kerana mereka tidak melihat kenikmatan yang lebih dari itu.

"dan malaikat mereka masuk atas mereka dari tiap-tiap pintu." 

Apabila mereka masuk ke dalam syurga, para malaikat datang berduyun-duyun masuk ke tempat mereka dari setiap pintu untuk mengucapkan kepada mereka,

"24. Salamun 'Alaikum Bima Sabartum.”

Selamat masuk syurga, selamat sejahtera atau keselamatan dari Allah s.w.t. terlimpahkan kepada kalian berkat kesabaran kalian. Kedudukan mereka dekat denganNya, limpahan nikmat dariNya dan masuk ke dalam Darussalam. Maka hilangnya semua yang tidak diingini dan mereka mendapat semua yang diingini.

"Maka alangkah nikmatnya kesudahan tempat."

Alangkah baiknya balasan amal mereka di dunia dahulu. Oleh kerana itu, bagi mereka yang memiliki perhatian dalam untuk kebahagiaan dirinya, maka hendaknya ia berjihad melawan hawa nafsunya agar termasuk mereka yang disebut Allah s.w.t. sebagai orang-orang yang berakal sehingga mendapat keuntungan di akhirat.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...