Isnin, 9 Oktober 2017

17:61-65 Tafsir Surah Al Isra, ayat 61-65.

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلائِكَةِ اسْجُدُوا لآدَمَ فَسَجَدُوا إِلا إِبْلِيسَ قَالَ أَأَسْجُدُ لِمَنْ خَلَقْتَ طِينًا (٦١) قَالَ أَرَأَيْتَكَ هَذَا الَّذِي كَرَّمْتَ عَلَيَّ لَئِنْ أَخَّرْتَنِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ لأحْتَنِكَنَّ ذُرِّيَّتَهُ إِلا قَلِيلا (٦٢) قَالَ اذْهَبْ فَمَنْ تَبِعَكَ مِنْهُمْ فَإِنَّ جَهَنَّمَ جَزَاؤُكُمْ جَزَاءً مَوْفُورًا (٦٣) وَاسْتَفْزِزْ مَنِ اسْتَطَعْتَ مِنْهُمْ بِصَوْتِكَ وَأَجْلِبْ عَلَيْهِمْ بِخَيْلِكَ وَرَجِلِكَ وَشَارِكْهُمْ فِي الأمْوَالِ وَالأولادِ وَعِدْهُمْ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلا غُرُورًا (٦٤) إِنَّ عِبَادِي لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَانٌ وَكَفَى بِرَبِّكَ وَكِيلا (٦٥)

Allah s.w.t. mengingatkan tentang kerasnya permusuhan iblis la'natullah terhadap Adam a.s. dan keturunannya, dan keinginannya untuk menyesatkan mereka (manusia). Permusuhan itu merupakan permusuhan masa silam sejak Adam a.s. diciptakan.

"61. Dan tatkala Kami berfirman kepada malaikat, "Bersujudlah kepada Adam,""

Ingatlah ketika Allah s.w.t. memerintahkan kepada para malaikat agar bersujud kepada Adam a.s. sebagai penghormatan, bukan sujud ibadah.

"lalu mereka bersujud kecuali iblis. Ia berkata, "Apakah aku akan bersujud kepada orang yang Engkau ciptakan dari tanah?""

Maka bersujudlah mereka kepadanya kecuali iblis. Iblis membangkang dan sombong, tidak mahu bersujud kepada Adam a.s., kerana merasa lebih tinggi dan memandang Adam hina.

"62. Iblis berkata, "Apakah Engkau memandang ini yang Engkau muliakan atasku?""

Iblis berlaku biadap terhadap Tuhan Yang Mahaagung sebagai ungkapan rasa keingkarannya. Ia merasa dirinya lebih mulia daripada Adam a.s. kerana Allah s.w.t. menciptakannya dari api.

"Sungguh jika Engkau memberi waktu kepadaku sampai hari Kiamat, sungguh aku akan menyesatkan anak keturunannya kecuali sedikit."

Iblis meminta masa tangguh kepada Allah s.w.t. Sekiranya ia diberi kesempatan sampai hari kiamat, pasti akan ia menguasai, mengepung dan menyesatkan keturunan Adam a.s., kecuali sebahagian kecil dari mereka yang dijaga olehNya. Allah s.w.t. bersikap sabar dan memberi masa tangguh kepadanya.

"63. Dia berfirman, "Pergilah, maka barang siapa yang mengikuti kamu di antara mereka, maka sungguh Jahannam balasan mereka pembalasan yang cukup.""

Pergilah kamu. Lakukanlah apa yang kamu rancangkan. Sesungguhnya Aku telah memberikan masa tangguh kepadamu sampai hari (suatu) waktu yang telah ditentukan, iaitu tiupan yang pertama.

Barang siapa di antara mereka yang mengikuti kamu, maka sesungguhnya Aku telah menyediakan neraka Jahannam sebagai pembalasan yang cukup terhadap amal perbuatan kamu dan para pengikutmu dari kalangan Bani Adam. Maufuran ertinya cukup, penuh dan tanpa ada yang dikurangi.

"64. Dan perdayakanlah siapa yang kamu sanggup di antara mereka dengan suara kamu," 

Perdayakanlah mereka semampumu. Saut bermaksud suara, ajakan, seruan, hiburan, nyanyian dan alat muzik yang membuat mereka terpukau, terbuai, lupa diri dan dan semua seruan yang mengajak kepada perbuatan maksiat terhadap Allah s.w.t.

"dan kerahkanlah atas mereka dengan pasukan berkudamu dan pasukan pejalan kaki" 

Ajlaba bermaksud mengerahkan kemampuan dengan memekik memberi semangat. Kerahkanlah semua pasukanmu, baik yang berkuda maupun yang berjalan kaki, terhadap mereka. Kuasailah mereka dengan segala kemampuan yang kamu miliki. Hal ini merupakan perintah yang berdasarkan takdir.

Allah s.w.t. telah mengirim syaitan-syaitan itu kepada orang-orang kafir untuk menggoda dan menggugah mereka untuk melakukan perbuatan-perbuatan dengan anjuran yang sungguh-sungguh, dan menggiring mereka dengan penuh semangat untuk melakukannya.

Termasuk juga pasukan dari kalangan manusia dalam bermaksiat kepada Allah. Sesungguhnya syaitan mempunyai pasukan berkuda (berkenderaan) dan pasukan jalan kaki dari kalangan manusia dan jin. Mereka adalah orang-orang yang taat kepada perintah syaitan. Mereka termasuk pasukan syaitan.

"dan bersekutulah dengan mereka dalam harta dan anak-anak" 

Berserikatlah, bersekutulah atau masuk campurlah kamu dalam urusan harta dan anak-anak mereka. Hal ini mencakup semua maksiat yang terkait dengan harta dan anak-anak.

Apabila syaitan mencampuri urusan harta, mereka menghimpun harta benda dari hasil yang kotor, melakukan riba, mengambil harta tanpa haknya, dan harta hasil ghasb (rampasan). Mereka enggan membayar zakat, kaffarat dan hak-hak yang wajib.

Mereka membahagikan sebahagian harta mereka buat syaitan, iaitu membelanjakan harta ke jalan yang haram atau untuk perbuatan maksiat terhadap Allah s.w.t. Mereka mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.

Apabila syaitan mencampuri urusan anak-anak, mereka tidak membaca basmalah ketika makan, minum, masuk rumah, keluar rumah, berjima’ dan sebagainya. Mereka menamakan anak mereka dengan nama yang tidak disukai oleh Allah s.w.t.

Mereka tidak mendidik anak di atas kebaikan; di atas ‘aqidah yang benar, ibadah yang sahih dan akhlak yang mulia. Mereka memasukkan anaknya ke dalam agama yang tidak diridhai oleh Allah atau menjadikan anak-anaknya Majusi, Yahudi, Nasrani dan mewarnai mereka bukan dengan celupan Islam.

Termasuk dalam hal ini adalah lahir anak-anak dari hasil hubungan zina, membunuh anak-anak tanpa dosa, korban kedangkalan fikiran, ketiadaan pengetahuan mereka dan perbuatan-perbuatan lain yang dinilai sebagai perbuatan derhaka atau maksiat terhadap Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah s.w.t. telah berfirman, "Sesungguhnya Aku telah menciptakan hamba-hambaKu dalam keadaan hanif (cenderung kepada agama yang hak dan menolak agama yang batil), lalu syaitan datang kepada mereka dan menyesatkan mereka dari agamanya, serta mengharamkan kepada mereka apa-apa yang Aku telah halalkan bagi mereka.""

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Seandainya seseorang di antara mereka apabila hendak mendatangi isterinya mengucapkan, "Dengan nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah kami dari syaitan dan jauhkanlah anak yang Engkau rezekikan kepada kami dari syaitan," melainkan jika ditakdirkan bagi keduanya mempunyai anak dari hubungan itu, tentulah syaitan tidak dapat membahayakan anaknya selama-lamanya."

"dan beri janji mereka." 

Janjilah kepada mereka bahawa kebangkitan dan pembalasan itu tidak ada, atau sampaikanlah janji-janji palsu yang dihias.

"Dan tidak memberi janji kepada mereka syaitan melainkan tipuan."

Padahal syaitan itu hanya menjanjikan tipuan belaka kepada mereka. Allah s.w.t. menguji manusia dengan memberi kesempatan kepada iblis untuk menyesatkan manusia dengan segala cara dan kemampuan yang ada padanya; baik dengan perkataannya maupun tindakannya.

Apabila perkara hak telah terbukti kenyataannya, iaitu di hari Allah melakukan peradilan dengan hak, iblis (syaitan) akan berkata, "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepada kalian janji yang benar; dan aku juga telah menjanjikan kepada kalian, tetapi aku menyalahinya."

"65. Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidak bagimu atas mereka kekuasaan." 

Tetapi segala tipu daya syaitan itu tidak akan mampu menghadapi orang-orang yang beriman atau mukmin. Allah s.w.t. menyokong dan memelihara mereka dari fitnah atau godaan syaitan melalui PenjagaanNya. Mereka menjaga dirinya dengan beribadah kepada Allah, menegakkan keimanan dan bertawakkal.

"Dan cukuplah dengan Tuhanmu penjaga." 

Cukuplah Allah sebagai Penjaga, Pelindung, Pemelihara, Penyokong dan Penolong bagi orang yang bertawakkal dan melaksanakan perintahNya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya orang mukmin benar-benar dapat mengekang syaitan-syaitannya sebagaimana seseorang di antara kalian mengekang unta kenderaannya dalam perjalanan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...