Khamis, 12 Oktober 2017

21:87-88 Tafsir Surah Al Anbiya, ayat 87-88.

وَذَا النُّونِ إِذْ ذَهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَنْ لَنْ نَقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَنْ لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ (٨٧) فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَنَجَّيْنَاهُ مِنَ الْغَمِّ وَكَذَلِكَ نُنْجِي الْمُؤْمِنِينَ (٨٨)

Allah s.w.t. berfirman,

"87. Dan Zun Nun," 

Ingatlah kisah hamba dan rasulNya Zun Nun, iaitu Yunus ibnu Mata a.s., dengan menyebutkan kebaikannya dan memujinya. Allah s.w.t. mengutus Yunus a.s. kepada penduduk Nainawi, Neinawa atau Ninawa, iaitu suatu kota besar yang terletak di negeri Mausul.

Yunus a.s. menyeru mereka untuk menyembah Allah s.w.t., tetapi mereka menolak dan tetap tenggelam di dalam kekafirannya.

"ketika dia pergi dalam keadaan marah," 

Maka Yunus a.s. pergi meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah seraya mengancam mereka bahawa dalam waktu tiga hari lagi akan datang azab dari Allah. Mereka menyaksikan tanda-tanda datangnya azab itu dan mereka mengetahui bahawa nabi mereka tidak dusta dalam ancamannya.

Kaum Yunus a.s. akhirnya beriman. Mereka keluar menuju ke gurun bersama anak-anak mereka dengan membawa haiwan ternakan milik mereka yang mereka pisahkan antara induk dan anaknya.

Kemudian mereka berdoa memohon kepada Allah dengan merendahkan diri, bertaubat dan menyeruNya untuk meminta pertolongan. Semua ternakan unta dan anak-anaknya mengeluarkan suara lenguhan.

Akhirnya Allah s.w.t. angkat azab itu dan tidak jadi menurunkannya kepada mereka. Dia hilangkan dari mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia dan Dia beri kesenangan kepada mereka sampai kepada waktu yang tertentu.

Akan tetapi Yunus a.s. telah pergi meninggalkan kaumnya kerana marah kepada mereka padahal Allah s.w.t. belum mengizinkannya. Beliau pergi menaiki perahu bersama suatu kaum.

"lalu dia menyangka bahawa tidak akan Kami kuasa atasnya," 

Ketika mereka di tengah laut, datang ombak yang besar. Perahu itu berayun-ayun ke kiri dan ke kanan. Mereka merasa takut akan tenggelam kerana terlebih muatan. Untuk menyelamatkan mereka, seseorang terpaksa dilemparkan ke laut untuk meringankan beban muatan perahu.

Maka mereka melakukan undian untuk melempar salah seorang di antara mereka ke laut agar beban perahu semakin ringan. Undian jatuh ke tangan Yunus a.s., tetapi mereka enggan melemparkannya. Mereka mengadakan undian lagi. Undian jatuh ke tangan Yunus a.s. lagi. Mereka menolak. Lalu mereka mengadakan undian lagi. Undian tetap jatuh ke tangan Yunus a.s. Maka Yunus a.s. berdiri, melepaskan pakaiannya dan menjatuhkan diri ke dalam laut.

Allah s.w.t. hendak menyekap Yunus a.s. di dalam perut ikan paus. Saat itu Dia telah memerintahkan kepada ikan paus dari laut hijau membelah lautan hingga sampai di tempat Yunus a.s. menjatuhkan dirinya. Maka ikan itu datang menelan Yunus a.s.

Allah s.w.t. telah memerintahkan kepada ikan paus itu, "Janganlah kamu memakan secebis pun dari dagingnya, jangan pula mematahkan tulangnya, kerana sesungguhnya Yunus itu bukanlah rezeki makananmu, melainkan perutmu Aku jadikan sebagai penjara buatnya."

Yunus a.s. menyangka bahawa Allah s.w.t. tidak akan menyulitkannya, tidak akan mempersempitnya atau tidak akan memutuskan ketetapan takdir baginya dengan ditahan dan dimasukkan ke dalam perut ikan paus.

Zun Nun adalah nama ikan paus itu, lalu dikaitkan dengan nama Yunus a.s. kerana Beliau ditelan olehnya. Makna harfiyahnya ialah orang yang mempunyai ikan besar.

Ketika Yunus a.s. telah berada di dalam perut ikan besar, Beliau menyangka dirinya telah mati. Kemudian Beliau cuba menggerakkan kedua kakinya. Kedua kakinya bergerak, lalu ia bersujud di tempatnya, dan menyeru Allah s.w.t., "Wahai Tuhanku, aku jadikan di tempat yang tidak dapat dijangkau oleh manusia ini tempat bersujud kepadaMu."

"maka dia berseru dalam kegelapan," 

Zulumat bermaksud keadaan yang sangat gelap, iaitu kegelapan di dalam perut ikan paus, kegelapan lautan, kegelapan malam hari dan sebagainya. Ikan paus itu membawa Yunus a.s. menyelam hingga sampai di dasar laut.

Keadaannya sangat gelap. Yunus a.s. mendengar suara (bunyi). Beliau berkata dalam hatinya, "Suara apakah ini?” Lalu Allah s.w.t. menurunkan wahyu kepadanya, bahawa suara itu adalah suara tasbih haiwan-haiwan dan batu-batu kerikil di dasar laut. Maka pada saat itu juga Yunus a.s. mengucapkan,

"Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Mahasuci Engkau. Sungguh aku, aku termasuk orang-orang yang zalim." 

Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dan dapat menolong selain Engkau. Mahasuci Engkau dari segala aib dan kekurangan. Sesungguhnya aku mengakui kezaliman diriku kerana meninggalkan kaumku tanpa izinMu.

Maka doanya itu naik sampai di bawah 'Arasy. Suara tasbihnya terdengar oleh para malaikat. Mereka mendengar suara (tasbih) lemah yang telah dikenal di kedalaman yang jauh sekali dari negeri yang terasing lagi terpencil. Mereka bertanya tentangnya kepada Allah s.w.t.

Allah s.w.t. berfirman, "Tidakkah kalian ketahui suara itu?" Mereka bertanya, "Tidak, wahai Tuhanku, siapakah dia?" Allah berfirman, "Itu adalah suara hambaKu, Yunus. Dia derhaka kepadaKu, maka Aku sekap dia di dalam perut ikan di laut.”

Maka pada saat itu para malaikat memohon syafaat buat Yunus a.s. Beliau adalah seorang hamba yang soleh. Setiap malam dan siang hari dilaporkan ke hadapan Allah s.w.t. amal soleh darinya. Sampai waktu itu masih tetap dilaporkan ke hadapan Allah s.w.t. amalnya yang diterima dan doanya diperkenankan.

Para malaikat memohon kepada Allah s.w.t. agar Dia merahmati dan menyelamatkan Yunus a.s. semasa Beliau mendapat cobaan berkat amal yang dikerjakannya semasa Beliau senang.

"88. Lalu Kami perkenankan baginya dan Kami selamatkan dia dari kesedihan." 

Yunus a.s. tinggal di dalam perut ikan paus itu selama empat puluh hari. Kalau sekiranya Yunus a.s. tidak banyak mengingati Allah s.w.t., nescaya Beliau akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari berbangkit. Maka Allah s.w.t. kabulkan doanya.

Allah s.w.t. selamatkan Yunus a.s. dari kedukaan dan kegelapannya kerana kalimat yang diucapkannya itu. Dia memerintahkan kepada ikan paus itu agar mengeluarkan Yunus a.s. Lalu ikan paus itu memuntahkan dan melemparkan Beliau ke tepi pantai di daerah yang tandus. Sedangkan Beliau dalam keadaan sakit. Allah s.w.t. tumbuhkan untuknya sebatang pohon dari jenis labu.

"Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman." 

Hal ini merupakan janji dan khabar gembira dari Allah s.w.t. untuk setiap mukmin. Sebagaimana Allah s.w.t. telah menyelamatkan Yunus a.s., begitulah Dia menyelamatkan orang-orang mukmin dari musibah, penderitaan dan kesengsaraannya apabila mereka berdoa memohon pertolongan seraya bertaubat kepadaNya, terlebih lagi jika mereka mengucapkan doa yang disebutkan dalam ayat ini ini sebagai permulaan doanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang berdoa dengan doa Nabi Yunus, pasti diperkenankan baginya."

Doa itu khusus bagi Yunus a.s.dan umum bagi kaum mukmin semuanya. Itulah asma Allah yang teragung. Apabila asma Allah disebutkan dalam doa, pasti Dia memperkenankannya; dan apabila diminta dengannya, pasti Dia memberi, iaitu doa Yunus ibnu Mata.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...