Sabtu, 14 Oktober 2017

24:3 Tafsir Surah An Nur, ayat 3.

الزَّانِي لا يَنْكِحُ إلا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لا يَنْكِحُهَا إِلا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ (٣) 

Ayat ini diturunkan tatkala orang-orang miskin dari kalangan sahabat Muhajirin berniat untuk mengahwini para pelacur orang-orang musyrik, kerana mereka orang kaya-kaya. Kaum Muhajirin yang miskin menyangka kekayaan yang dimilikinya itu akan dapat menanggung nafkah mereka.

Di dalam sebuah kisah diceritakan bahawa ada seorang wanita rosak akhlak yang dikenali dengan nama Ummu Mahzul. Dia suka membeli lelaki untuk kepuasan hawa nafsunya dengan memberikan imbalan nafkah kepada lelaki yang disukainya. Lalu ada seorang lelaki dari kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. meminta izin kepada Beliau untuk mengahwini Ummu Mahzul. Maka Allah s.w.t. menurunkan ayat ke 3 surah An Nur.

Di dalam kisah yang lain diceritakan bahawa ada seorang lelaki bernama Marsad ibnu Abu Marsad. Dia adalah seorang lelaki yang bertugas membawa para tawanan perang dari Mekah ke Madinah. Di Mekah ada seorang wanita pelacur bernama Anaq. Marsad kenal baik dengan Anaq.

Marsad pernah berjanji akan membawa salah seorang tawanan yang berada di Mekah untuk dibawanya ke Madinah. Maka Marsad datang ke Mekah hingga sampailah di suatu tempat di Mekah di malam yang terang bulan. Anaq datang, dia nampak ada bayangan Marsad.

Ketika telah dekat, Anaq pun mengenalinya dan berkata, “Marsad?” Marsad menjawab, "Ya, aku Marsad." Anaq berkata, "Selamat datang, marilah menginap di rumahku malam ini." Marsad menjawab, "Wahai Anaq, Allah telah mengharamkan zina." Maka Anaq berkata, “Wahai penghuni khemah! Inilah orang yang akan membawa tawanan kalian.”

Ketika Marsad kembali bersama tawanan yang telah dijanjikan, dia dikejar oleh lapan orang. Marsad menempuh jalan Khandamah, lalu dia memasuki sebuah kebun. Sampailah dia di sebuah gua, lalu dia masuk ke dalamnya.

Lapan orang itu pun datang, kemudian berdiri di atas kepala Marsad dan mereka kencing sehingga menimpa ke kepalanya, namun Allah menjadikan mereka tidak nampak Marsad. Setelah itu mereka pulang. Maka Marsad kembali menemui tawanan itu dan membawanya di atas haiwan kenderaannya. Dia adalah seorang yang cukup berat.

Ketika Marsad sampai di tempat yang terdapat banyak rerumputan izkhir, dia melepaskan tali ikatan tawanan itu. Mereka bersama-sama membawa rerumputan izkhir itu ke Madinah. Maka Marsad datang kepada Rasulullah s.a.w. dan bertanya, “Wahai Rasulullah, bolehkah aku menikahi Anaq?"

Rasulullah s.a.w. diam dan tidak menjawab sepatah kata pun, hingga turunlah firman Allah s.w.t.,

"3. Lelaki pezina tidak menikahi kecuali wanita pezina, atau perempuan musyrik;" 

Allah s.w.t. memberitakan bahawa seorang lelaki pezina tidaklah mengahwini, menikahi, bersetubuh atau berzina melainkan hanya dengan perempuan yang pezina juga atau yang musyrik.

"dan perempuan pezina tidak menikahinya kecuali lelaki pezina atau lelaki musyrik,"

Perempuan pezina juga tidaklah dikahwini, dinikahi, disetubuhi atau berzina melainkan hanya dengan lelaki yang pezina juga atau yang musyrik. Tiada seorang pun yang mahu melayani hawa nafsu zina seorang pezina melainkan hanyalah seorang pezina atau seorang yang musyrik.

Lelaki pezina dan perempuan pezina bermaksud orang yang derhaka kerana perbuatan zinanya. Lelaki musyrik dan perempuan musyrik bermaksud orang yang meyakini bahawa zina itu tidak haram, menyekutukan Allah, tidak beriman kepada kebangkitan, tidak beriman kepada pembalasan dan tidak memegang teguh perintah Allah.

"dan diharamkan itu atas orang-orang yang beriman." 

Allah s.w.t. mengharamkan orang-orang mukmin melakukan perbuatan zina dan mengahwini pelacur-pelacur, atau mengahwinkan wanita-wanita yang terpelihara kehormatannya dengan lelaki yang lacur.

Orang-orang mukmin yang menikahi pezina atau menikahkan perempuan-perempuan mukmin dengan pezina, sedangkan Allah s.w.t. mengharamkannya, tidak lepas kemungkinan bahawa dia tidak berpegang teguh dengan hukum Allah dan RasulNya, dan tidak ada yang seperti itu kecuali orang musyrik.

Boleh jadi dia berpegang dengan hukum Allah dan RasulNya, tetapi dia memberanikan diri melakukannya, padahal dia tahu orang itu pezina. Maka pernikahan itu sesungguhnya zina, dan orang yang menikahinya juga pezina. Orang yang beriman kepada Allah dengan benar tidak akan melakukannya.

Nabi s.a.w. bersabda, “Tidaklah berzina seorang pezina sedangkan dia dalam keadaan mukmin.”

Seorang pezina bukanlah seorang mukmin (mutlak). Pezina walaupun bukan musyrik, dia tidak diberikan gelar yang terpuji, iaitu iman yang mutlak.

Hubungan suami isteri adalah hubungan yang paling kuat dan paling sepasang. Allah s.w.t. mengharamkan yang demikian kerana di dalamnya terdapat keburukan yang besar, mengotori kehormatan pelakunya dan kehormatan orang yang menemani dan mencampurinya. Ia tidak seperti dosa-dosa yang lain.

Di sana menunjukkan sedikitnya rasa kecemburuan, menghubungkan anak-anak yang bukan berasal dari suami, dan kerana pezina tidak akan menjaga pasangannya kerana sibuk dengan orang lain. Sebahagian ini sudah cukup menjadikannya haram.

Tidak sah akad nikah seorang lelaki yang memelihara diri dari perbuatan zina terhadap wanita rosak akhlaknya, selagi perempuan berkenaan masih tetap sebagai pelacur atau pezina. Begitu juga sebaliknya, iaitu menikahkan perempuan yang terpelihara kehormatan dirinya dengan seorang lelaki yang suka melacur. Hukumnya haram.

Namun, jika lelaki atau perempuan berkenaan telah bertaubat dengan sebenar-benarnya, maka akad nikah itu hukumnya sah.

Ada yang berpendapat bahawa pengharaman mengahwini pelacur atau pezina ini khusus bagi para sahabat Muhajirin yang miskin tadi. Tetapi menurut pendapat yang lain mengatakan pengharaman ini bersifat umum dan menyeluruh.

Segolongan ulama mengatakan bahawa ayat ini telah dimansukh oleh firmanNya, "Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kalian." (An Nur 23:32) Iaitu orang-orang yang sendirian dari kalangan kaum muslim.

Setelah diturunkan ayat ini, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Wahai Marsad, seorang lelaki pezina tidak menikahi kecuali seorang perempuan pezina atau perempuan musyrik; dan seorang perempuan pezina tidak dinikahi kecuali lelaki pezina atau lelaki musyrik. Maka janganlah engkau menikahinya.”

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...