Khamis, 19 Oktober 2017

28:47-50 Tafsir Surah Al Qasas, ayat 47-50.

وَلَوْلا أَنْ تُصِيبَهُمْ مُصِيبَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ فَيَقُولُوا رَبَّنَا لَوْلا أَرْسَلْتَ إِلَيْنَا رَسُولا فَنَتَّبِعَ آيَاتِكَ وَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (٤٧) فَلَمَّا جَاءَهُمُ الْحَقُّ مِنْ عِنْدِنَا قَالُوا لَوْلا أُوتِيَ مِثْلَ مَا أُوتِيَ مُوسَى أَوَلَمْ يَكْفُرُوا بِمَا أُوتِيَ مُوسَى مِنْ قَبْلُ قَالُوا سِحْرَانِ تَظَاهَرَا وَقَالُوا إِنَّا بِكُلٍّ كَافِرُونَ (٤٨) قُلْ فَأْتُوا بِكِتَابٍ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ هُوَ أَهْدَى مِنْهُمَا أَتَّبِعْهُ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (٤٩) فَإِنْ لَمْ يَسْتَجِيبُوا لَكَ فَاعْلَمْ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهْوَاءَهُمْ وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنَ اتَّبَعَ هَوَاهُ بِغَيْرِ هُدًى مِنَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (٥٠)

Allah s.w.t. mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w. untuk menegakkan hujah terhadap orang-orang kafir.

"47. Dan supaya tidak bahawa menimpa mereka musibah disebabkan perbuatan tangan mereka, lalu mereka berkata, "Tuhan kami, mengapa tidak Engkau mengutus kepada kami seorang rasul, maka kami akan mengikuti ayat-ayat Engkau dan jadilah kami termasuk orang-orang yang mukmin?""

Seandainya azab Allah s.w.t. datang menimpa mereka disebabkan kekafiran dan kemaksiatan yang mereka kerjakan, sebelum tegaknya hujah atas diri mereka, tentulah mereka akan beralasan bahawa belum pernah datang kepada mereka seorang rasul, utusan atau pemberi peringatan pun.

Oleh kerana itulah Allah s.w.t. mengutus Nabi Muhammad s.a.w., iaitu untuk menyingkirkan hujjah mereka dan agar mereka tidak berbicara seperti itu. Maka tiada alasan lagi bagi mereka.

"48. Maka tatkala datang kepada mereka kebenaran dari sisi Kami," 

Namun ketika datang kebenaran dari sisi Allah s.w.t., iaitu Al Qur’an melalui lisan Nabi Muhammad s.a.w., mereka mendustakan, memprotes, membangkang, ingkar, kafir dan tidak percaya kepada Allah.

"mereka berkata, "Mengapa tidak diberikan seperti apa yang diberikan Musa?""

Mereka bermaksud, mengapa tidak diberikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. mukjizat-mukjizat seperti yang telah diberikan kepada Musa a.s. dahulu, seperti tongkat yang berubah menjadi ular, tangan yang bercahaya, banjir, belalang, kutu, katak, darah, kebuluran, terbelahnya laut, dinaungi oleh awan, manna, salwa dan lain-lain.

Boleh juga maksudnya, mengapa tidak diturunkan kepada Muhammad s.a.w. kitab secara sekaligus sebagaimana kitab Taurat yang diturunkan secara sekaligus kepada Musa a.s. Padahal termasuk kesempurnaan Al Qur’an ini dan perhatian Allah s.w.t. kepada orang yang diturunkan Al Qur’an kepadanya adalah diturunkanNya kitab itu secara beransur-ansur untuk meneguhkan hati rasulNya dan menambah keimanan orang-orang mukmin.

Pengqiyasan mereka terhadap Al Qur’an dengan kitab Taurat adalah qiyas yang mereka batalkan sendiri, kerana mereka mengqiyaskan dengan kitab yang mereka sendiri ingkari dan tidak beriman kepadanya. Oleh kerana itu, Allah s.w.t. berfirman,

"Bukankah mereka ingkar dengan apa yang diberikan Musa sebelumnya?" 

Manusia dahulu juga telah ingkar kepada ayat-ayat yang besar yang disampaikan oleh Musa a.s.

"Mereka berkata, "Dua ahli sihir keduanya bantu membantu.""

Yang mereka maksudkan adalah Musa a.s. dan Muhammad s.a.w., Taurat dan Al Qur’an adalah sihir yang saling membantu dan saling membenarkan dalam sihirnya dan dalam menyesatkan manusia.

"Dan mereka berkata, "Sesungguhnya kami dengan masing-masing tidak mempercayai mereka.""

Maksud mereka tidak lain hanyalah untuk membatalkan yang hak dengan sesuatu yang bukan merupakan alasan. Mereka juga hendak membatalkan dengan sesuatu yang sebenarnya tidak dapat membatalkan. Ucapan mereka saling berlawanan dan bertentangan. Seperti inilah keadaan semua orang kafir tanpa terkecuali.

"49. Katakanlah, "Maka datangkanlah sebuah kitab dari sisi Allah dia lebih memberi petunjuk dari keduanya, aku mengikutinya, jika adalah orang-orang yang benar.""

Datangkanlah sebuah kitab dari sisi Allah yang lebih dapat memberi petunjuk daripada Taurat dan Al Qur'an, nescaya aku mengikutinya, jika kalian sungguh orang-orang yang benar dalam membela kebenaran dan menentang kebatilan dengannya.

Ini merupakan sikap insaf yang sempurna, iaitu mengikuti yang terbaik. Namun, tidak ada kitab yang lebih baik dan lebih hebat daripada keduanya. Tidak ada jalan bagi sesiapa pun untuk mendatangkan yang semisal dengan Al Qur’an, baik pengetahuannya, petunjuknya, penjelasannya dan rahmatnya bagi makhluk.

"50. Maka jika tidak mereka menjawab kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya hanyalah mereka mengikuti hawa nafsu mereka." 

Jika mereka tidak menjawab cabaranmu, tidak menjawab apa yang kamu katakan kepada mereka dan tetap tidak mahu mengikuti perkara yang hak, ketahuilah bahawa kekafiran mereka kepada dua kitab (Taurat dan Al Qur’an) dan dua rasul itu (Musa a.s. dan Muhammad s.a.w.) bukanlah kerana hendak mencari yang hak, hidayah dan memilih yang terbaik, akan tetapi mereka hanyalah mengikuti hawa nafsu mereka belaka tanpa dalil dan tanpa alasan.

"Dan siapakah yang lebih sesat dari orang yang mengikuti hawa nafsunya tanpa petunjuk dari Allah." 

Orang yang paling sesat adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya tanpa alasan yang diambil dari Kitabullah. Apabila disodorkan kebenaran, petunjuk dan jalan yang lurus yang menyampaikan kepada Allah dan syurgaNya, dia menolaknya, tidak mempedulikannya dan tidak mendatanginya.

Tetapi apabila disodorkan hawa nafsu, dia mengikutinya dan meninggalkan petunjuk. Padahal hawa nafsunya mengajak dirinya untuk menempuh jalan yang mengarah kepada kebinasaan dan kesengsaraan. Kezaliman, sikap melampaui batas, membangkang dan tidak menyukai kebaikan membuatnya ingin tetap di atas kesesatannya.

"Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kaum yang zalim."

Allah s.w.t. tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang sudah melekat dengan sikap-sikap tersebut. Mereka telah menutup untuk diri mereka pintu-pintu hidayah dan jalannya serta membuka pintu-pintu kesesatan dan jalannya.

Oleh kerana itu, mereka bingung dalam kesesatannya dan terombang-ambing dalam kesengsaraannya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...