Isnin, 23 Oktober 2017

34:1-5 Tafsir Surah Saba’, ayat 1-5.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِي الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيمُ الْخَبِيرُ (١) يَعْلَمُ مَا يَلِجُ فِي الأرْضِ وَمَا يَخْرُجُ مِنْهَا وَمَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا يَعْرُجُ فِيهَا وَهُوَ الرَّحِيمُ الْغَفُورُ (٢) وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لا تَأْتِينَا السَّاعَةُ قُلْ بَلَى وَرَبِّي لَتَأْتِيَنَّكُمْ عَالِمِ الْغَيْبِ لا يَعْزُبُ عَنْهُ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ فِي السَّمَاوَاتِ وَلا فِي الأرْضِ وَلا أَصْغَرُ مِنْ ذَلِكَ وَلا أَكْبَرُ إِلا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ (٣) لِيَجْزِيَ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَئِكَ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ (٤) وَالَّذِينَ سَعَوْا فِي آيَاتِنَا مُعَاجِزِينَ أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مِنْ رِجْزٍ أَلِيمٌ (٥)

Allah s.w.t. berfirman memuji diriNya,

"1. Segala puji bagi Allah yang milikNya apa yang di langit dan apa yang di bumi" 

Segala puji bagi Allah kerana sifat-sifatNya yang terpuji dan perbuatanNya yang baik, kerana semua sifatNya terpuji. Semua sifatNya adalah sifat sempurna, dan perbuatan-perbuatanNya juga terpuji kerana berjalan di antara kurniaNya yang patut dipuji dan disyukuri serta di antara keadilan yang patut dipuji dan diakui hikmahNya.

Segala sesuatu yang ada di langit dan apa yang ada di bumi adalah milikNya, hambaNya, ciptaanNya, berada di bawah kekuasaan dan pengaturanNya. Dia bertindak kepada mereka dengan segala pujian untukNya.

"dan milikNya segala puji di akhirat." 

Dia Yang Mahamulia. BagiNya segala puji di akhirat juga. Dialah Yang Memberi nikmat dan kurnia kepada penduduk dunia dan akhirat, Yang Memiliki semuanya itu, dan Yang Menguasai kesemuanya. Dialah yang berhak disembah selamanya lagi Yang dipuji sepanjang masa. BagiNyalah segala puji yang mutlak di dunia dan di akhirat.

"Dan Dia Maha Bijaksana Maha Teliti." 

Allah Mahabijaksana dalam kerajaan, pengaturan, ucapan, perbuatan, syariat, perintah, larangan dan takdirNya.

Dia Maha Mengetahui, Mahateliti dan mendalam pengetahuanNya tentang makhlukNya. Dia mengetahui perkara yang rahsia dan tersembunyi. Tiada sesuatu pun yang tersembunyi lagi samar bagiNya, dan tiada sesuatu pun yang ghaib (tidak kelihatan) olehNya.

"2. Dia mengetahui apa yang masuk dalam bumi, dan apa yang keluar darinya," 

Allah mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi seperti bilangan titisan air hujan yang tersebar di permukaan bumi, bilangan biji-bijian yang ditanam di seluruh permukaan bumi, haiwan yang tinggal di dalam tanah dan sebagainya.

Dia juga mengetahui apa yang keluar dari bumi, bilangannya, caranya dan spesifikasinya seperti tumbuhan, haiwan yang keluar dari sarangnya di bawah tanah dan sebagainya.

"dan apa yang turun dari langit, dan apa yang naik kepadanya." 

Allah mengetahui apa yang turun dari langit seperti hujan, rezeki dan sebagainya. Dia juga mengetahui apa yang naik ke langit seperti malaikat, ruh dan amal soleh.

"Dan Dia Maha Penyayang Maha Pengampun." 

Allah Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya, maka Dia tidak menyegerakan siksaanNya terhadap orang-orang yang derhaka. Dia Maha Pengampun terhadap dosa-dosa orang-orang yang mahu bertaubat kepadaNya dan bertawakal kepadaNya.

Di antara manusia ada segolongan orang yang tidak mengagungkan Tuhannya dengan pengagungan yang semestinya, bahkan mereka kafir kepadaNya, mengingkari kekuasaanNya untuk mengembalikan orang-orang yang sudah mati, dan mengingkari adanya hari Kiamat. Di samping itu, mereka juga menentang para rasulNya.

"3. Dan berkata orang-orang yang kafir, "Tidak akan datang kepada kami hari kiamat.""

Orang-orang yang kafir berkata kepada Allah, RasulNya dan kepada apa yang mereka bawa dari sisi Allah bahawa hari Kiamat itu tidak akan datang kepada mereka, tidak ada kehidupan selain kehidupan dunia, di mana mereka hidup kemudian mati dan setelah itu selesai.

Maka Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. membantah ucapan mereka dan bersumpah tentang benarnya kebangkitan.

"Katakanlah, "Ya, demi Tuhanku, pasti ia akan datang kepada kalian, Yang mengetahui yang ghaib.""

Ilmu (pengetahuan) Allah s.w.t. itu luas lagi merata. Dia mengetahui semua perkara-perkara yang ghaib dari penglihatan dan pengetahuan manusia. Hari kiamat itu pasti akan datang kepada kalian. Kalian mestilah mengakuinya dan membenarkan kebangkitan.

"Tidak tersembunyi dariNya seberat zarrah di langit, dan tidak di bumi, dan tidak lebih kecil dari yang demikian itu, dan tidak lebih besar," 

Allah s.w.t. mengetahui semuanya, tidak ada sesuatu pun yang samar atau ghaib dariNya walaupun sebesar zarrah, debu atau semut terkecil baik di langit maupun di bumi, baik yang lebih kecil dari itu atau yang lebih besar dari itu.

"kecuali dalam kitab yang nyata." 

IlmuNya meliputi segala sesuatu, penanya lebih dulu berjalan. Semuanya tertulis dalam kitab yang jelas, iaitu Lauh Mahfuz.

Oleh kerana itu, walaupun semua tulang telah bercerai-berai dan lenyap serta tercabik-cabik dagingnya, Dia mengetahui ke mana perginya. Dia mampu mengembalikan dan menghidupkan kembali semua tubuh yang telah mati sebagaimana Dia menciptakannya pada yang pertama kali. Hal itu tidaklah menghairankan bagiNya.

"4. Supaya Dia memberi balasan orang-orang yang beriman dan mereka mengerjakan amal soleh." 

Hikmah dari kebangkitan itu adalah supaya Allah memberi balasan nikmat kepada orang-orang yang berbahagia (iaitu kaum mukmin). Mereka beriman dengan hati mereka, mereka membenarkan Allah dan RasulNya dengan pembenaran yang pasti dan mereka mengerjakan kebajikan sebagai bentuk pembenaran terhadap iman mereka.

"Mereka itu bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia." 

Mereka memperoleh ampunan terhadap dosa-dosa mereka, disebabkan iman dan amal mereka. Dengan ampunanNya semua keburukan dan hukuman terhindar. Mereka mendapat syurga kerana ihsan mereka. Mereka mendapat semua yang diharapkan dan dicita-citakan.

"5. Dan orang-orang yang mereka berusaha pada ayat-ayat Kami melemahkan," 

Hikmah dari kebangkitan itu juga adalah supaya Dia mengazab orang-orang yang celaka (iaitu orang-orang kafir). Mereka berusaha untuk menentang ayat-ayat Allah s.w.t., menghalang-halangi jalan Allah dan mendustakan utusan-utusanNya.

Mereka mengganggap bahawa mereka dapat melemahkan orang yang membawanya dan Tuhan yang menurunkannya. Mereka mengganggap bahawa mereka dapat melemahkan dan menggagalkan azab Allah s.w.t.

"mereka itu bagi mereka azab dari siksa yang pedih." 

Mereka itu akan mendapat azab dari jenis yang sangat pedih baik bagi badan maupun hati mereka.

Tidaklah sama orang-orang yang beriman, bertakwa, mengerjakan amal yang soleh dan menghuni syurga dengan orang-orang yang berbuat maksiat, kerosakan di muka bumi dan menghuni neraka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...