Isnin, 23 Oktober 2017

37:62-74 Tafsir Surah As Saffat, ayat 62-74.

أَذَلِكَ خَيْرٌ نُزُلا أَمْ شَجَرَةُ الزَّقُّومِ (٦٢) إِنَّا جَعَلْنَاهَا فِتْنَةً لِلظَّالِمِينَ   (٦٣) إِنَّهَا شَجَرَةٌ تَخْرُجُ فِي أَصْلِ الْجَحِيمِ (٦٤)طَلْعُهَا كَأَنَّهُ رُءُوسُ الشَّيَاطِينِ (٦٥) فَإِنَّهُمْ لآكِلُونَ مِنْهَا فَمَالِئُونَ مِنْهَا الْبُطُونَ (٦٦) ثُمَّ إِنَّ لَهُمْ عَلَيْهَا لَشَوْبًا مِنْ حَمِيمٍ (٦٧) ثُمَّ إِنَّ مَرْجِعَهُمْ لإلَى الْجَحِيمِ (٦٨) إِنَّهُمْ أَلْفَوْا آبَاءَهُمْ ضَالِّينَ (٦٩) فَهُمْ عَلَى آثَارِهِمْ يُهْرَعُونَ (٧٠) وَلَقَدْ ضَلَّ قَبْلَهُمْ أَكْثَرُ الأوَّلِينَ (٧١) وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا فِيهِمْ مُنْذِرِينَ (٧٢) فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُنْذَرِينَ (٧٣) إِلا عِبَادَ اللَّهِ الْمُخْلَصِينَ (٧٤)

Allah s.w.t. berfirman,

"62. Apakah yang demikian itu lebih baik hidangan atau pohon zaqqum?" 

Manakah yang lebih baik sajian dan pemberiannya, semua makanan, minuman, isteri-isteri dan kenikmatan lainnya di syurga atau pohon zaqqum yang tumbuh di dalam neraka Jahanam.

Sebahagian ulama mengatakan bahawa zaqqum bermaksud pohon tertentu yang cabang-cabangnya menjalar ke seluruh tempat di neraka Jahanam. Sebagaimana pohon Tuba yang ada di syurga. Di setiap binaan di syurga terdapat suatu cabang dari pohon tersebut.

"63. Sungguh Kami menjadikannya fitnah bagi orang-orang yang zalim." 

Allah s.w.t. menceritakan tentang pohon zaqqum sebagai ujian atau cobaan terhadap manusia. Orang-orang yang beriman akan membenarkannya. Orang-orang yang menzalimi diri sendiri dengan kufur dan kemaksiatan akan mendustakannya. Di akhirat nanti, zaqqum itu akan menjadi azab atau siksaan bagi mereka.

Abu Jahal la'natullah mengatakan bahawa sesungguhnya zaqqum itu adalah buah kurma yang dicampur dengan mentega, lalu disantap sebagai makanan.

Ketika disebutkan pohon zaqqum, maka orang-orang yang sesat merasa kehairanan dan mengatakan, "Teman kalian (Nabi Muhammad s.a.w.) ini memberitakan bahawa di dalam neraka terdapat pohon, padahal api itu membakar pohon." Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"64. Sesungguhnya ia pohon keluar dari dasar neraka Jahim." 

Sebenarnya zaqqum itu adalah pohon yang tumbuh dari dasar neraka yang menyala marak menjulang. Pohon yang berduri itu hidup dari api dan diciptakan dari api.

"65. Dahannya seakan-akan seperti kepala-kepala syaitan." 

Buah zaqqum itu paling buruk, mengerikan dan menjijikkan seolah-olah kepala syaitan-syaitan. Rambut syaitan itu berdiri tegak menjulang ke langit. Pohon tersebut diserupakan dengan kepala syaitan, walaupun kepala syaitan tidak dikenal oleh mukhatab (lawan bicara) kerana telah dimaklumi bahawa syaitan itu sangat buruk penampilannya.

"66. Maka sungguh mereka benar-benar memakan darinya," 

Orang-orang yang sesat lagi mendustakan benar-benar memakan sebahagian dari buah pohon zaqqum itu. Padahal rasa, bau dan citra buah itu sangat buruk. Ia tidak menggemukkan dan tidak menghilangkan lapar. Akan tetapi kerana rasa lapar yang dahsyat dan tidak ada makanan lain membuat mereka terpaksa memakannya.

"maka mereka memenuhi darinya perut-perut." 

Mereka memenuhi perutnya dengan buah zaqqum. Maka terkelupaslah kulit wajah mereka kerananya. Seandainya seseorang yang kenal bersua dengan mereka, tentulah dia mengetahui mereka melalui kulit wajah mereka yang melekat pada buah zaqqum itu. Inilah makanan penghuni neraka, makanan yang paling buruk.

Rasulullah s.a.w. membaca ayat ini, kemudian Beliau bersabda, "Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Seandainya setitis zaqqum dimasukkan ke dalam laut dunia, tentulah ia merosakkan (mencemari) penghidupan seluruh penduduk bumi, maka bagaimana pula dengan orang yang pohon zaqqum adalah makanannya?"

"67. Kemudian sungguh bagi mereka atasnya pasti diberi minum dari air yang sangat panas." 

Sesudah makan buah zaqqum itu mereka dijadikan merasa haus. Lalu mereka meminta minum. Maka mereka disajikan dengan air yang sangat panas seperti besi yang mendidih, dicampur dengan nanah dan keringat busuk yang keluar dari farji dan mata penduduk neraka.

Maka ahli neraka berkenaan sangat membencinya. Apabila air itu didekatkan kepadanya, maka kulit wajahnya terpanggang, daging wajahnya terbakar, kulit kepalanya terkelupas dan terjatuh pada air itu. Apabila dia meminumnya, semua ususnya hancur luluh sehingga keluar dari duburnya.

Lalu dia berjalan sedangkan isi perutnya keluar dalam keadaan hancur dan kulitnya luruh. Kemudian dia dipukul dengan gada-gada besi, maka semua anggota tubuhnya berentakan dan mereka menjerit seraya menyerukan kata-kata kecelakaan bagi dirinya.

"68. Kemudian sungguh tempat kembali mereka benar-benar kepada neraka Jahim." 

Selanjutnya tempat peristirahatan mereka sesudah meminum air mendidih itu benar-benar ke neraka yang menyala-nyala dengan sangat hebatnya agar mereka merasakan azabnya yang pedih dan panas yang dahsyat. Tidak ada kesengsaraan yang melebihinya.

"69. Sungguh mereka mendapati bapa-bapa mereka sesat." 

Sesungguhnya Allah s.w.t. balas mereka dengan siksaan tersebut, kerana mereka ketika di dunia sebenarnya telah mendapati nenek moyang mereka dalam keadaaan sesat.

"70. Maka mereka atas jejak mereka sangat tergesa-gesa." 

Yuhra'un bermaksud tergesa-gesa, terburu-buru, seperti berlari dan seperti kerbau dicucuk hidungnya. Mereka terburu-buru dalam kesesatan dan meneruskan amalan nenek moyang mereka tanpa ilmu, dalil dan bukti. Mereka tidak memperhatikan ajakan para rasul, peringatan kitab-kitab dan ucapan para penasihat, bahkan mereka membantah.

"71. Dan sungguh telah sesat sebelum mereka kebanyakan orang-orang terdahulu." 

Telah sesat juga sebelum kaum Quraisy itu sebahagian besar dari umat-umat terdahulu. Mereka menjadikan tuhan-tuhan lain bersama Allah.

"72. Dan sungguh Kami telah mengutus kepada mereka pemberi peringatan." 

Allah s.w.t. telah mengutus kepada mereka para rasul yang memperingatkan bahawa sesatnya jalan mereka, memperingatkan mereka akan azab dan pembalasan Allah terhadap orang yang kafir kepadaNya dan menyembah selainNya. Namun, mereka berkelanjutan dalam mendustakan dan menentang rasul-rasul mereka.

"73. Maka perhatikanlah bagaimana jadinya akibat orang-orang yang diberi peringatan." 

Kesudahan mereka adalah kebinasaan, kehancuran, kehinaan dan terbukanya aib. Oleh kerana itu berhati-hatilah. Janganlah tetap terus di atas kesesatan agar tidak ditimpa seperti yang menimpa generasi terdahulu.

Semua yang diberi peringatan itu tidak seluruhnya sesat. Di antara mereka sedikit sekali yang beriman, mendapat petunjuk dan berbuat ikhlas.

"74. Kecuali hamba-hamba Allah yang ikhlas." 

Hamba-hamba Allah yang disucikan dari sebarang syirik dan dosa-dosa dikecualikan dari azab. Mereka diselamatkan, ditolong dan dimenangkanNya. Mereka ini adalah orang-orang mukmin. Allah s.w.t. bersihkan mereka dan mengistimewakan dengan rahmatNya kerana keikhlasan mereka sehingga akhir kesudahan mereka adalah kebahagiaan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...