Rabu, 25 Oktober 2017

40:36-37 Tafsir Surah Al Mu’min (Ghafir), ayat 36-37.

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا هَامَانُ ابْنِ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَبْلُغُ الأسْبَابَ (٣٦) أَسْبَابَ السَّمَاوَاتِ فَأَطَّلِعَ إِلَى إِلَهِ مُوسَى وَإِنِّي لأظُنُّهُ كَاذِبًا وَكَذَلِكَ زُيِّنَ لِفِرْعَوْنَ سُوءُ عَمَلِهِ وَصُدَّ عَنِ السَّبِيلِ وَمَا كَيْدُ فِرْعَوْنَ إِلا فِي تَبَابٍ (٣٧)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang sikap Fir'aun yang menentang, melampaui batas, keingkarannya dan kebohongan yang dilakukannya dalam mendustakan dakwah Musa a.s. agar mengakui Allah Rabbul ‘alamin yang bersemayam di atas ‘ArsyNya dan berada di atas semua makhlukNya.

"36. Dan berkata Fir'aun, "Wahai Haman, bangunlah untukku bangunan yang tinggi agar aku sampai pintu-pintu.""

Fir'aun memerintahkan kepada menterinya yang bernama Haman agar membangunkan sebuah menara tinggi yang dibuat dari batu bata, iaitu tanah liat yang dibakar.

"37. Pintu-pintu langit, maka aku melihat kepada Tuhan Musa dan sesungguhnya menyangka dia seorang pendusta." 

Menara tinggi itu tujuannya supaya Fir'aun dapat naik ke pintu-pintu langit atau jalan-jalan menuju ke langit, agar dia dapat melihat Allah s.w.t. Dia tidak percaya bahawa kita mempunyai Tuhan, bahawa Tuhan kita itu di atas langit.

Ini menggambarkan kekafiran dan keingkarannya. Dia tidak percaya bahawa Musa a.s. diutus oleh Allah s.w.t. kepadanya dan tetap mengganggap Musa a.s. sebagai seorang pendusta.

"Dan demikianlah dijadikan indah bagi Fir’aun buruk perbuatannya," 

Begitulah dijadikan terasa indah bagi Fir'aun perbuatan buruknya itu. Syaitan sentiasa menghiasnya, mengajak dan memperindahnya sehingga Fir’aun melihat perbuatannya sebagai sesuatu yang baik, mengajak kepadanya dan berbantah-bantahan layaknya sebagai orang yang benar, padahal dia adalah manusia yang paling membuat kerosakan.

"dan dia dihalangi dari jalan;"

Fir'aun tertutup dari jalan yang benar disebabkan kebatilan yang dihias kepadanya. Perbuatannya itu hanyalah bertujuan untuk mengelabui rakyatnya, bahawa dia melakukan suatu usaha yang dijadikan sarana baginya untuk mendustakan Musa a.s.

"dan tidaklah tipu daya Fir’aun kecuali dalam kerugian."

Tabab ertinya kerugian. Rancangan jahat Fir'aun terhadap yang hak, membayangkan kepada manusia bahawa dia berada di atas yang hak dan bahawa Musa a.s. berada di atas yang batil itu tidak ada manfaatnya apa-apa selain kesengsaraan di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...