Khamis, 26 Oktober 2017

47:25-29 Tafsir Surah Muhammad, ayat 25-29.

إِنَّ الَّذِينَ ارْتَدُّوا عَلَى أَدْبَارِهِمْ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْهُدَى الشَّيْطَانُ سَوَّلَ لَهُمْ وَأَمْلَى لَهُمْ (٢٥) ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا لِلَّذِينَ كَرِهُوا مَا نَزَّلَ اللَّهُ سَنُطِيعُكُمْ فِي بَعْضِ الأمْرِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِسْرَارَهُمْ (٢٦) فَكَيْفَ إِذَا تَوَفَّتْهُمُ الْمَلائِكَةُ يَضْرِبُونَ وُجُوهَهُمْ وَأَدْبَارَهُمْ (٢٧) ذَلِكَ بِأَنَّهُمُ اتَّبَعُوا مَا أَسْخَطَ اللَّهَ وَكَرِهُوا رِضْوَانَهُ فَأَحْبَطَ أَعْمَالَهُمْ (٢٨) أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ أَنْ لَنْ يُخْرِجَ اللَّهُ أَضْغَانَهُمْ (٢٩)

Allah s.w.t. berfirman,

"25. Sesungguhnya orang-orang yang kembali ke belakang mereka setelah menjadi jelas bagi mereka petunjuk," 

Iaitu orang-orang yang meninggalkan keimanan dan kembali kepada kekafiran. Mereka murtad setelah petunjuk itu jelas bagi mereka. Mereka membenci dan menolaknya. Hal itu terjadi bukanlah kerana ada dalil yang mengalihkan mereka darinya.

"syaitan merayu pada mereka dan memanjangkan angan-angan bagi mereka." 

Syaitan telah menjadikan mereka mudah berbuat dosa dan memandang baik perbuatan mereka. Syaitan memanjangkan angan-angan mereka, iaitu membujuk dan memperdaya mereka.

"26. Demikian itu kerana mereka, mereka berkata kepada orang-orang yang mereka benci apa yang Allah turunkan," 

Penyesatan oleh syaitan itu kerana sesungguhnya orang-orang munafik itu telah mengatakan secara rahsia kepada orang-orang Yahudi yang terang-terangan memusuhi Allah dan RasulNya.

"Kami akan mematuhi kalian dalam sebahagian urusan,"

Iaitu dengan membantu memusuhi Nabi s.a.w. dan melemahkan semangat kaum muslimin dari berjihad. Boleh juga maksudnya adalah mereka akan mematuhi dalam sebahagian urusan yang sesuai dengan hawa nafsu mereka. Syaitan mendukung dan menasihati orang-orang yang benci kepada Kitabullah untuk kebatilan dalam batin mereka.

Memang demikianlah sikap orang-orang munafik, mereka menampakkan apa yang bertentangan dengan yang mereka simpan di dalam batin mereka. Oleh kerana itu, Allah s.w.t. menghukum mereka dengan kesesatan serta tetap berada di atas sesuatu yang membawa mereka kepada kesengsaraan dan azab.

"dan Allah mengetahui rahsia-rahsia mereka." 

Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui semua rahsia, perbuatan mereka dan apa yang mereka sembunyikan dalam hati mereka. Oleh kerana itu Dia menampakkannya, membuka aib mereka dan menerangkan kepada hamba-hambaNya yang mukmin agar mereka tidak tertipu dengannya.

"27. Maka bagaimana apabila mewafatkan mereka malaikat, mereka memukul wajah mereka dan punggung mereka?" 

Mereka sekarang terlepas dari bencana kejahatan mereka. Alangkah dahsyatnya nasib mereka sewaktu mereka berada dalam tekanan-tekanan sakaratul maut. Malaikat maut datang mencabut nyawa mereka, sedangkan ruh mereka membangkang untuk meninggalkan jasadnya. Lalu malaikat maut mencabutnya secara paksa sambil memukul wajah dan belakang badannya agar mahu keluar.

"28. Demikian itu kerana mereka mengikuti apa yang menimbulkan kemurkaan Allah" 

Azab yang mereka peroleh itu kerana sesungguhnya mereka mengikuti kekafiran, kefasikan dan kemaksiatan.

"dan membenci keridhaanNya, maka Dia menghapus amal perbuatan mereka." 

Azab yang mereka peroleh itu juga kerana mereka membenci apa yang menimbulkan keridhaanNya, sebab itu Allah menghapus segala pahala amal mereka.

"29. Atau apakah mengira orang-orang yang dalam hati mereka penyakit bahawa tidak akan Allah menampakkan kedengkian mereka?" 

Dalam hati orang-orang munafik ada penyakit syubhat dan syahwat. Adgan adalah bentuk jamak dari dagn, iaitu kedengkian yang tersembunyi di dalam hati terhadap Islam dan para pemeluknya yang berjuang menegakkan syiarnya.

Mereka menyangka bahawa Allah s.w.t. tidak akan menampakkan kedengkian dan permusuhan mereka kepada Nabi s.a.w. dan kaum mukmin. Ini adalah sangkaan yang tidak sesuai dengan kebijaksanaanNya.

Allah s.w.t. membuka perihal mereka dan menampakkannya hingga orang-orang yang mempunyai pandangan hati dapat melihatnya dengan jelas. Dia memisahkan antara yang benar dengan yang dusta, dengan adanya ujian dan cobaan.

Orang yang tetap teguh dan tetap beriman ketika ada ujian, maka dia adalah orang mukmin yang hakiki. Adapun orang yang kembali ke belakang (murtad) dan dia tidak sabar terhadapnya, maka ketika ujian datang dia keluh kesah, melemah imannya, keluar rasa dengki dalam hatinya dan kelihatan kemunafikannya. Hal ini tentu sesuai dengan kebijaksanaanNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...