Jumaat, 27 Oktober 2017

54:33-40 Tafsir Surah Al Qamar, ayat 33-40.

كَذَّبَتْ قَوْمُ لُوطٍ بِالنُّذُرِ (٣٣) إِنَّا أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ حَاصِبًا إِلا آلَ لُوطٍ نَجَّيْنَاهُمْ بِسَحَرٍ (٣٤) نِعْمَةً مِنْ عِنْدِنَا كَذَلِكَ نَجْزِي مَنْ شَكَرَ (٣٥) وَلَقَدْ أَنْذَرَهُمْ بَطْشَتَنَا فَتَمَارَوْا بِالنُّذُرِ (٣٦) وَلَقَدْ رَاوَدُوهُ عَنْ ضَيْفِهِ فَطَمَسْنَا أَعْيُنَهُمْ فَذُوقُوا عَذَابِي وَنُذُرِ (٣٧) وَلَقَدْ صَبَّحَهُمْ بُكْرَةً عَذَابٌ مُسْتَقِرٌّ (٣٨) فَذُوقُوا عَذَابِي وَنُذُرِ (٣٩) وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِنْ مُدَّكِرٍ (٤٠)

Allah s.w.t. berfirman,

"33. Telah mendustakan kaum Lut peringatan." 

Kaum Nabi Lut a.s. berbuat syirik dan mengerjakan hal yang dibenci, iaitu mendatangi sesama jenis. Itu merupakan suatu perbuatan keji yang belum pernah dilakukan oleh seorang penduduk alam pun selain mereka.

Allah s.w.t. mengirimkan rasuINya, Lut a.s. kepada mereka. Beliau telah mengajak mereka beribadah hanya kepada Allah s.w.t. dan melarang mereka berbuat syirik serta perbuatan keji itu. Tetapi mereka mendustakannya, menentangnya, tetap di atas syirik dan perbuatan kejinya.

Kerana itulah maka Allah s.w.t. membinasakan mereka sehancur-hancurnya. Belum pernah Allah s.w.t. menghancurkan suatu umat dengan kehancuran seperti yang Dia timpakan kepada mereka.

"34. Sungguh Kami kirimkan atas mereka angin yang berbatu," 

Allah s.w.t. mengembuskan kepada mereka badai yang membawa batu-batu dari tanah keras yang dibakar. Tiada seorang lelaki pun dari kalangan kaum Lut a.s. yang beriman kepadanya, hingga isterinya sendiri juga ditimpa azab yang menimpa kaumnya.

"kecuali keluarga Lut. Kami selamatkan mereka sebelum fajar." 

Lut a.s. keluar dari kota tersebut bersama anak-anak perempuannya di penghujung malam hari, kerananya mereka selamat dari apa yang menimpa kaumnya.

"35. Nikmat dari sisi Kami. Demikianlah Kami beri balasan orang yang bersyukur." 

Allah s.w.t. menyelamatkan Lut a.s. dan anak-anaknya tanpa kekurangan suatu apa pun. Demikian itu adalah nikmat dariNya. Begitulah Allah s.w.t. memberi balasan kepada orang-orang yang beriman. Mereka bersikap syukur kepada Allah dan beribadah kepadaNya.

"36. Dan sungguh dia memperingatkan mereka azab Kami, maka mereka mendustakan peringatan." 

Sesungguhnya sebelum azab itu menimpa mereka, Lut a.s. telah memberi peringatan akan pembalasan dan azab Allah jika mereka tetap dalam perbuatan kejinya.

Akan tetapi, mereka tidak percaya, tidak mahu mendengar dan tidak mempedulikan peringatan itu. Bahkan mereka meragukan dan mendustakan ancaman dan peringatan itu.

Sehingga sampailah masanya mereka dibinasakan, Malaikat Jibril, Mikail, dan Israfil datang kepada mereka dalam rupa lelaki yang tampan sebagai ujian buat kaum Lut a.s. Maka Lut a.s. menerima mereka sebagai tetamunya dan menjemput mereka masuk ke rumahnya.

Akan tetapi, isteri Lut a.s. yang sudah tua lagi berwatak buruk mengirim berita kepada kaumnya tentang tetamu yang menginap di rumahnya, bahawa mereka tampan-tampan. Maka di petang itu bergegaslah kaum Lut a.s. dari segala penjuru datang dan menyerbu rumahnya untuk melakukan perbuatan keji dengan para tetamu itu.

"37. Dan sungguh mereka membujuknya dari tetamunya, lalu Kami butakan mata mereka," 

Mereka telah membujuk Lut a.s. agar menyerahkan para tetamunya kepada mereka. Maka Lut a.s. mengunci pintu rumahnya sehingga terjadilah dorong-mendorong pintu. Mereka berusaha untuk memecahkan pintu rumah Lut a.s., sedangkan Beliau menolak pintu dan menghalang mereka agar mereka tidak nampak tetamunya.

Lut a.s. menunjukkan kaum wanita mereka untuk mereka kahwini, jika mereka hendak berbuat secara yang halal. Tetapi mereka tidak mempunyai selera dan keinginan terhadap wanita. Mereka tetap menginginkan lelaki.

Keadaan di malam itu sangat genting. Mereka tidak dapat ditahan lagi. Mereka pasti masuk dan dapat memecahkan pintu itu. Maka keluarlah Malaikat Jibril dan memukul mata mereka dengan hujung sayapnya, hingga mata mereka semuanya buta. Menurut suatu pendapat, mereka semuanya masuk melesak ke dalam wajah mereka. Menurut pendapat lain, mata mereka hilang sama sekali.

"maka rasakanlah azabKu dan peringatanKu." 

Lalu mereka pulang ke rumah masing-masing seraya meraba-raba tembok rumah-rumah mereka sambil mengancam Lut a.s. di pagi harinya nanti.

"38. Dan sungguh menimpa mereka pagi hari azab yang tetap." 

Pada waktu pagi harinya mereka benar-benar ditimpa azab yang tetap yang berlanjut dengan azab akhirat. Allah s.w.t. memerintahkan kepada Malaikat Jibril a.s. untuk mengangkat kota tempat tinggal mereka tinggi-tinggi ke langit, lalu membalikkan negeri mereka, menjadikan bahagian bawahnya menjadi bahagian atas dan dijatuhkan ke bawah.

Kemudian mereka dilempari dengan batu dari tanah keras yang dibakar secara bertubi-tubi, dimana nama orang-orang yang akan dilempari batu tertera di batu tersebut. Tiada jalan selamat bagi mereka dari azab itu dan tiada tempat untuk melarikan diri bagi mereka dari azab tersebut.

"39. Maka rasakanlah azabKu dan peringatanKu." 

Rasakanlah azabKu dan ancaman-ancamanKu.

"40. Dan sungguh Kami mudahkan Al Qur'an untuk pelajaran, maka adakah dari orang yang memikirkan?"

Sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Qur'an untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?"

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...