Jumaat, 17 November 2017

13:25-27 Tafsir Surah Ar Ra’d Ayat 25-27.

وَالَّذِينَ يَنْقُضُونَ عَهْدَ اللَّهِ مِنْ بَعْدِ مِيثَاقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي الأرْضِ أُولَئِكَ لَهُمُ اللَّعْنَةُ وَلَهُمْ سُوءُ الدَّارِ (٢٥) اللَّهُ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ وَفَرِحُوا بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا فِي الآخِرَةِ إِلا مَتَاعٌ (٢٦) وَيَقُولُ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْلا أُنْزِلَ عَلَيْهِ آيَةٌ مِنْ رَبِّهِ قُلْ إِنَّ اللَّهَ يُضِلُّ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَنْ أَنَابَ (٢٧)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan keadaan dan sifat orang-orang yang celaka, iaitu penghuni neraka.

"25. Dan orang-orang yang merosak janji Allah setelah diikrarkannya dengan teguh" 

Orang-orang yang merombak, mencabuli atau melanggar perjanjian Allah yang diikrarkan, yang diperteguhkan, yang disampaikan melalui para rasul, lalu mereka tidak mahu tunduk dan menerima, bahkan mereka berpaling dan melanggarnya.

"dan mereka memutuskan apa yang Allah perintahkan dengannya supaya dihubungkan" 

Allah s.w.t. telah memerintahkan supaya menyambung hubungan denganNya dengan iman dan amal soleh, menyambung hubungan dengan kerabat dengan bersilaturrahim dan memenuhi hak-hak, tetapi mereka memutuskannya.

"dan mereka membuat kerosakan di bumi," 

Bahkan mereka menimbulkan kerosakan dan bencana di muka bumi dengan berbuat kekafiran dan kemaksiatan, serta menghalangi manusia dari jalan Allah dan menginginkannya menjadi bengkok.

Orang-orang munafik mempunyai ciri-ciri khas iaitu, apabila berbicara, dusta; apabila berjanji, ingkar; apabila dipercaya, khianat; apabila bersengketa, curang. Mereka merosak janji Allah sesudah diikrarkan dengan teguh, memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan dan gemar menimbulkan kerosakan di bumi.

"mereka itu bagi mereka kutukan" 

Merekalah orang-orang yang mendapat laknat dan dijauhkan dari rahmat Allah. Mereka mendapat celaan dari Allah, malaikatNya dan hamba-hambaNya yang beriman.

"dan bagi mereka buruk tempat."

Mereka mendapat akibat, tempat kembali, tempat kediaman dan balasan hari akhirat yang seburuk-buruknya, iaitu Jahannam.

"26. Allah melapangkan rezeki bagi orang yang Dia kehendaki dan Dia sempitkan." 

Dia meluaskan, melapangkan dan memewahkan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki. Dia juga membatasi dan menyempitkan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki. Hal itu mengandung hikmah dan keadilan yang hanya diketahui olehNya.

"Dan mereka bergembira dengan kehidupan dunia," 

Tetapi orang-orang kafir dan ingkar itu merasa gembira dengan kehidupan duniawi yang diberikan kepada mereka. Mereka menyangka bahawa Allah memberikan kebaikan atau anugerah kepada mereka. Sebenarnya mereka tidak sedar bahawa pemberian itu adalah istidraj dan penangguhan azab bagi mereka.

"dan tidaklah kehidupan dunia di akhirat, kecuali kenikmatan." 

Sedangkan kehidupan di dunia ini hina. Ia hanyalah kesenangan yang sedikit, kecil, sebentar, sementara dan tidak kekal berbanding dengan pahala yang disimpan oleh Allah s.w.t. buat hamba-hambaNya yang mukmin kelak di hari akhirat. Ia sebenarnya kesenangan yang lebih baik dan lebih kekal.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiadalah kehidupan dunia bila dibanding dengan kehidupan di akhirat melainkan seperti seseorang di antara kalian yang mencelupkan jari telunjuknya ke laut ini, maka perhatikanlah apakah yang dihasilkannya." Rasulullah s.a.w. bersabda demikian seraya berisyarat dengan jari telunjuknya.

Rasulullah s.a.w. melintasi bangkai seekor kambing yang kedua telinganya kecil (kurus), lalu Beliau s.a.w. bersabda, "Demi Allah, sesungguhnya dunia ini lebih diremehkan oleh Allah daripada kambing ini menurut pandangan pemiliknya ketika ia mencampakkan (bangkai)nya."

"27. Dan berkata orang-orang yang kafir, "Mengapa tidak diturunkan atasnya suatu ayat dari Tuhannya?""

Orang-orang musyrik menyatakan bahawa jika diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. tanda atau mukjizat sebagaimana yang diturunkan kepada rasul-rasul yang terdahulu, nescaya mereka akan beriman.

Mereka berdusta dalam ucapan atau janjinya itu. Kesesatan dan hidayah bukanlah di tangan mereka, sehingga mereka menggantungkan hal itu dengan datangnya mukjizat.

Rasul tidak semestinya mendatangkan mukjizat yang mereka tentukan dan usulkan. Beliau s.a.w. telah datang kepada mereka dengan membawa ayat yang menerangkan kebenaran yang dibawanya. Maka hal itu sudah cukup dan lebih bermanfaat bagi mereka daripada usulan yang mereka usulkan.

Mereka meminta Beliau s.a.w. mengubah Bukit Safa menjadi emas buat mereka, dan mengalirkan buat mereka mata air yang berlimpah sumber airnya, serta menggeserkan bukit-bukit yang ada di sekitar Mekah, lalu menggantikan kedudukannya menjadi kebun-kebun dan lapangan-lapangan rumput yang hijau.

Allah s.w.t. menurunkan wahyu kepada RasulNya, "Jika kamu suka, hai Muhammad, Aku akan memberi mereka apa yang mereka minta itu. Tetapi jika mereka tetap kafir (sesudahnya), Aku akan mengazab mereka dengan azab yang belum pernah Aku timpakan kepada seorang pun dari penduduk dunia ini. Dan jika kamu suka, Aku bukakan atas mereka pintu taubat dan rahmat."

Maka Rasulullah s.a.w. memilih agar Allah s.w.t. membukakan pintu taubat dan rahmat buat mereka. Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"Katakanlah, "Sesungguhnya Allah menyesatkan orang yang Dia kehendaki dan Dia memberi petunjuk kepadaNya orang yang kembali.""

Dialah yang menyesatkan dan yang memberi petunjuk, baik Dia memberikan mukjizat kepada RasulNya seperti yang mereka minta atau pun tidak, kerana hidayah dan penyesatan tiada kaitannya dengan keberadaan dan ketiadaan hal tersebut.

Dia menyesatkan siapa yang dikehendakiNya menurut undang-undang peraturanNya sehingga tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah dan kebenaran Nabi Muhammad s.a.w. tidaklah berguna dan tidak bermanfaat sedikit pun baginya.

Kalaupun Allah s.w.t. turunkan malaikat kepada mereka, orang-orang yang telah mati berbicara dengan mereka, dikumpulkan segala sesuatu ke hadapan mereka atau datang kepada mereka segala macam keterangan, nescaya mereka tidak juga akan beriman.

Allah s.w.t. hanya memberi petunjuk ke jalan agamaNya kepada orang yang rujuk kepadaNya, kembali kepadaNya, bertaubat kepadaNya, memohon pertolongan kepadaNya, merendah diri kepadaNya dan mencari keridhaanNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...