Ahad, 19 November 2017

16:33-34 Tafsir Surah An Nahl, ayat 33-34.

هَلْ يَنْظُرُونَ إِلا أَنْ تَأْتِيَهُمُ الْمَلائِكَةُ أَوْ يَأْتِيَ أَمْرُ رَبِّكَ كَذَلِكَ فَعَلَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَمَا ظَلَمَهُمُ اللَّهُ وَلَكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ (٣٣) فَأَصَابَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا عَمِلُوا وَحَاقَ بِهِمْ مَا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ (٣٤)

Allah s.w.t. berfirman mengancam orang-orang musyrik kerana mereka terlalu berlarutan dalam kebatilannya dan terpedaya dengan keduniaan. Telah datang kepada mereka ayat-ayat, namun mereka tidak beriman, dan telah diperingatkan, namun tidak sedar.

"33. Tidaklah mereka menunggu melainkan bahawa akan datang kepada mereka malaikat" 

Mereka yang tidak beriman itu sebenarnya hanya menunggu kedatangan malaikat yang akan mencabut nyawa mereka.

"atau akan datang perintah Tuhan kamu." 

Atau kedatangan azab dari Allah untuk memusnahkan dan membinasakan mereka, atau kedatangan kiamat beserta kengerian-kengerian yang mereka derita di dalamnya, kerana sesungguhnya mereka telah berhak menerimanya.

"Demikian berbuat orang-orang yang sebelum mereka." 

Begitu juga berlarutan dalam kemusyrikannya para pendahulu mereka, orang-orang yang setara dan serupa dengan mereka. Mereka juga mendustakan rasul-rasul, hingga mereka merasakan pembalasan Allah, ditimpa azab dan murka Allah akibat perbuatannya.

"Dan tidak Allah menzalimi mereka, akan tetapi mereka diri sendiri menzalimi." 

Sebenarnya Allah s.w.t. tidak menganiaya mereka ketika mengazab mereka. Dia mempunyai alasan yang kuat terhadap mereka dan telah menegakkan hujah-hujah (bukti-bukti)Nya terhadap mereka, iaitu melalui utusan-utusanNya dan penurunan kitab-kitabNya.

Manusia diciptakan untuk beribadah kepada Allah agar mereka mendapat kenikmatan yang sempurna di akhirat. Tetapi mereka meninggalkannya dan menjatuhkan diri kepada kehinaan yang kekal dan kesengsaraan selamanya. Mereka sentiasa menganiaya diri mereka sendiri dengan kekafiran, menentang para rasul dan mendustakan apa yang disampaikan oleh mereka.

"34. Maka menimpa mereka kejahatan-kejahatan apa yang mereka perbuat" 

Kerana itu, mereka ditimpa azab sebagai akibat dan balasan perbuatan jahat mereka sendiri.

"dan meliputi kepada mereka apa yang mereka dengannya memperolok-olok." 

Apabila para rasul mengancam mereka dengan siksa Allah, mereka sentiasa mengejeknya kerana tidak mempercayainya. Pada hari kiamat nanti dikatakan kepada mereka, "Inilah neraka yang dahulu kalian selalu mendustakannya." Sebagai balasannya, mereka diliputi oleh azab yang sangat pedih.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...