Khamis, 23 November 2017

21:89-91 Tafsir Surah Al Anbiya, ayat 89-91.

وَزَكَرِيَّا إِذْ نَادَى رَبَّهُ رَبِّ لا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنْتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ (٨٩) فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَوَهَبْنَا لَهُ يَحْيَى وَأَصْلَحْنَا لَهُ زَوْجَهُ إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ (٩٠) وَالَّتِي أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَنَفَخْنَا فِيهَا مِنْ رُوحِنَا وَجَعَلْنَاهَا وَابْنَهَا آيَةً لِلْعَالَمِينَ (٩١)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang hambaNya Zakaria a.s.

"89. Dan Zakaria, ketika dia berdoa kepada Tuhannya,"

Ingatlah kisah Zakaria a.s. Beliau dan isterinya adalah pasangan yang sudah sangat lanjut usianya. Sejak muda mereka belum mempunyai anak. Zakaria a.s. merasa ajalnya sudah dekat dan khuatir tidak ada yang akan menggantikannya berdakwah kepada Allah s.w.t. dan mengurus masyarakat.

Maka dengan sembunyi-sembunyi dari penglihatan kaumnya, Beliau meminta kepada Allah s.w.t. agar dikurniakan seorang anak lelaki yang kelak akan menjadi nabi sesudah Beliau tiada. Zakaria a.s. berdoa,

"Tuhanku, janganlah Engkau biarkan aku sendiri" 

Janganlah Engkau biarkan aku tidak meninggalkan zuriat atau keturunan yang mewarisi. Seandainya Engkau tidak mengabulkan doaku dan tidak memberikan kepadaku keturunan, maka aku menyerahkan diriku kepadaMu.

"dan Engkau paling baik ahli waris. "

Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi. Engkaulah yang kekal setelah semuanya binasa. Namun, aku menginginkan sesuatu yang menenangkan hati dan melegakan jiwaku.

"90. Maka Kami perkenankan baginya, dan Kami anugerahkan kepadanya Yahya dan Kami perbaiki kepadanya isterinya." 

Setelah Zakaria a.s. berdoa dan menyanjung Allah s.w.t. sesuai dengan permintaan yang diajukan, Dia kabulkan doa Zakaria a.s. Allah s.w.t. anugerahkan kepada Zakaria a.s. anak lelaki bernama Yahya a.s.

Dia perelokkan keadaan isteri Zakaria a.s. yang mandul dapat mengandung dan melahirkan anak baginya. Demikian itu adalah berkat doa Zakaria a.s. Beliau adalah teman hidup yang soleh, maka isterinya mendapat kebaikannya juga.

"Sungguh mereka adalah bersegera dalam kebaikan" 

Allah s.w.t. limpahkan berbagai ihsan kepada para nabi dan rasul kerana sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, iaitu gemar mengerjakan amal-amal yang mendekatkan diri kepada Allah dan amal-amal ketaatan.

Mereka dengan sedaya upayanya segera melakukannya pada waktu-waktu yang utama, menyempurnakannya memanfaatkan waktu sebaik-baiknya dan tidak meninggalkan satu keutamaan pun.

"dan mereka berdoa kepada Kami pengharapan dan perasaan takut." 

Mereka mengharapkan pahala dan kenikmatan yang ada di sisi Allah s.w.t. Kerana itu mereka sentiasa meminta maslahat dunia dan akhirat kepadaNya. Mereka cemas, gerun dan takut terhadap siksa dan azab yang ada di sisiNya. Kerana itu mereka berlindung kepadaNya dari sesuatu yang tidak diingini di dunia dan akhirat.

"Dan mereka kepada Kami orang-orang yang khusyuk."

Mereka sentiasa khusyu' dan taat kepada Allah s.w.t. dalam ibadahnya. Khasyi'in adalah orang-orang yang benar-benar beriman, membenarkan apa yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t., takut dan merendahkan dirinya kepada Allah s.w.t. Rasa takutnya melekat dalam hati dan tidak pernah lenyap darinya selamanya. Hal ini kerana tingginya ma’rifat (pengenalan) mereka terhadap Tuhan mereka.

"91. Dan yang menjaga kehormatannya," 

Ingatlah kisah yang jauh lebih menghairankan, iaitu kisah Maryam puteri Imran yang telah menjaga kehormatan dan kesuciannya. Malaikat Jibril datang kepadanya dalam wujud seorang lelaki yang sempurna. Kerana ketinggian ‘iffah (kesucian) diri Maryam, dia berkata, “Aku berlindung kepada Tuhan yang Maha Pengasih dari kamu, jika kamu seorang yang bertakwa.”

"lalu Kami tiupkan di dalam tubuhnya dari ruh Kami" 

Allah s.w.t. tiupkan ke dalam tubuh Maryam sebahagian dari Roh ciptaanNya. Dia memberikan balasan terhadap amal Maryam yang soleh dan mengurniakannya anak tanpa campur tangan lelaki, iaitu tanpa bapa. Dengan tiupan Jibril yang meniup ke dalam leher baju Maryam, lalu dia mengandung Isa a.s. dengan izin Allah s.w.t.

"dan Kami jadikan dia dan anaknya suatu ayat bagi semesta alam." 

Allah s.w.t. jadikan Maryam dan Isa a.s. sebagai tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah yang besar bagi jin dan manusia di seluruh alam.Isa a.s. lahir tanpa ada bapa, dan yang demikian adalah mudah bagi Allah, sebagaimana Dia menciptakan Adam tanpa ibu dan bapa dan menciptakan Hawa’ dari tulang rusuk Adam.

Ia adalah bukti yang menunjukkan bahawa Allah Mahakuasa atas segala sesuatu, dan bahawa Dia dapat menciptakan apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya apabila Dia hendak menciptakan sesuatu, Dia hanya mengatakan kepadanya, "Jadilah kamu," maka jadilah ia.

Begitu juga terdapat tanda kekuasaan Allah s.w.t., iaitu ketika anak Maryam Isa a.s. dapat berbicara di masa buaian, dibersihkanNya Maryam dari tuduhan zina yang ditujukan kepadanya, dan diberikan mukjizat kepada anaknya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...