وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ (٤) إِلا الَّذِينَ تَابُوا مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ وَأَصْلَحُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (٥)
Allah s.w.t. berfirman,
"4. Dan orang-orang yang menuduh zina wanita-wanita yang baik-baik"
Muhsanah bermaksud wanita muslimah, merdeka, akil (berakal), baligh, suci lagi memelihara kehormatan dirinya. Orang-orang yang menuduh muhsanah berbuat zina dan dia (si penuduh) bukan suaminya.
"kemudian tidak mendatangkan dengan empat saksi,"
Si penuduh tidak mendatangkan bukti yang membenarkan kesaksiannya, iaitu empat orang saksi yang melihat langsung perzinaan itu.
"maka deralah mereka lapan puluh deraan,"
Deralah si penuduh itu lapan puluh kali dengan cambuk yang pertengahan, yang membuatnya merasakan sakit tetapi tidak membuatnya binasa. Tetapi jika wanita yang dituduh itu bukan muhsan atau kurang baik, maka cukup si penuduh diberi ta’zir (penolakan atau halangan).
Jika yang dituduh melakukan zina itu adalah seorang lelaki yang terpelihara kehormatan dirinya, maka begitu juga ketentuan hukumnya, iaitu si penuduh dikenai hukuman dera.
"dan janganlah kalian terima bagi mereka kesaksian selamanya."
Kesaksian si penuduh tidak dapat diterima buat selama-lamanya.
"Dan mereka itu orang-orang yang fasik."
Menuduh zina merupakan dosa dan keburukan yang besar. Si penuduh dicap sebagai orang fasik dan bukan orang adil, baik menurut Allah maupun menurut manusia kerana mengerjakan dosa besar itu.
Ia adalah pelanggaran terhadap larangan Allah, merosak kehormatan orang lain, menyebarkan isu buruk terhadapnya, memutuskan persaudaraan yang telah Allah ikat dan berkeinginan agar perbuatan keji tersebar di tengah-tengah kaum mukmin.
Jika si penuduh dapat membuktikan kebenaran dari persaksiannya, maka terhindarlah dirinya dari hukuman had (dan yang dikenai hukuman had adalah si tertuduhnya).
"5. Kecuali orang-orang yang bertaubat setelah itu dan mereka memperbaiki,"
Taubat dalam hal ini adalah dengan dia mendustakan dirinya sendiri, mengakui bahawa ucapannya dusta. Hal ini wajib baginya, iaitu mendustakan dirinya walaupun ia merasa yakin terjadi perbuatan itu, kerana dia tidak mendatangkan empat orang saksi.
Jika si penuduh telah menjalani hukuman dera, maka selesailah, baik dia bertaubat atau tetap masih menjalankan perbuatannya itu, tidak ada masalah lagi sesudah itu.
Ada yang berpendapat bahawa jika si penuduh itu telah bertaubat, memperbaiki diri (amal)nya dan dia ganti perbuatan buruknya dengan perbuatan baik, maka terhapuslah gelaran fasik dari dirinya dan persaksiannya kembali diterima.
Ada yang mengatakan bahawa jika si penuduh bertaubat, gelaran fasik terhapus darinya (setelah menjalani hukuman had), sedangkan kesaksiannya tetap ditolak untuk selamanya.
Ada yang mengatakan bahawa jika si penuduh bertaubat, kesaksiannya tetap tidak dapat diterima, kecuali jika dia mengakui bahawa tuduhan yang dilancarkannya adalah bohong semata, maka barulah dapat diterima kesaksiannya (di masa mendatang).
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
"maka sungguh Allah Maha Pengampun Maha Penyayang."
Dia mengampuni dosa-dosa semuanya bagi orang yang bertaubat dan kembali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan