Sabtu, 25 November 2017

26:83-104 Tafsir Surah Asy Syu’ara, ayat 83-104.

رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ (٨٣) وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الآخِرِينَ (٨٤) وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ (٨٥) وَاغْفِرْ لأبِي إِنَّهُ كَانَ مِنَ الضَّالِّينَ (٨٦) وَلا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ (٨٧) يَوْمَ لا يَنْفَعُ مَالٌ وَلا بَنُونَ (٨٨) إِلا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (٨٩) وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ (٩٠) وَبُرِّزَتِ الْجَحِيمُ لِلْغَاوِينَ (٩١) وَقِيلَ لَهُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ تَعْبُدُونَ (٩٢) مِنْ دُونِ اللَّهِ هَلْ يَنْصُرُونَكُمْ أَوْ يَنْتَصِرُونَ (٩٣) فَكُبْكِبُوا فِيهَا هُمْ وَالْغَاوُونَ (٩٤) وَجُنُودُ إِبْلِيسَ أَجْمَعُونَ (٩٥) قَالُوا وَهُمْ فِيهَا يَخْتَصِمُونَ (٩٦) تَاللَّهِ إِنْ كُنَّا لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ (٩٧) إِذْ نُسَوِّيكُمْ بِرَبِّ الْعَالَمِينَ (٩٨) وَمَا أَضَلَّنَا إِلا الْمُجْرِمُونَ (٩٩) فَمَا لَنَا مِنْ شَافِعِينَ (١٠٠) وَلا صَدِيقٍ حَمِيمٍ (١٠١) فَلَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةً فَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (١٠٢) إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَةً وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُمْ مُؤْمِنِينَ (١٠٣) وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ (١٠٤)

Allah s.w.t. berfirman mengisahkan bahawa Nabi Ibrahim a.s. berdoa,

"83. Tuhanku, berilah aku hikmah" 

Berikanlah kepadaku ilmu pengetahuan yang banyak tentang ugama supaya aku mengenal hukum-hukum, mengenal halal dan haram, dan dapat memutuskan masalah di antara manusia dengannya.

"dan masukkan aku dengan orang-orang yang soleh." 

Hubungkanlah daku dengan saudara-saudaraku dari kalangan para nabi dan rasul di dunia dan akhirat.

"84. Dan jadikan bagiku buah tutur yang baik bagi orang-orang yang kemudian." 

Berikanlah nikmat kepadaku di dunia. Harumkan namaku, menjadi sebutan yang baik, sanjungan yang baik, yang selalu diingat dan dianuti dalam kebaikan bagi orang-orang yang datang sesudahku.

Maka Allah s.w.t. mengabulkan doanya, mengurniakan kepadanya ilmu sehingga termasuk rasul-rasul yang paling utama dan memasukkannya ke dalam golongan orang-orang yang soleh. Dia abadikan untuk Ibrahim a.s. pujian yang baik di kalangan orang-orang yang datang kemudian iaitu, "Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim.”

Allah s.w.t. menjadikan Ibrahim a.s. diterima oleh manusia lagi dicintai. Semua agama mencintainya dan memihaknya. Disebut kebaikannya dan dimuliakan di semua golongan dan di setiap zaman. Allah s.w.t. berikan kepadanya balasan dan kebaikan di dunia. Begitulah Allah s.w.t. memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

"85. Dan jadikanlah aku termasuk yang mewarisi Jannatun Na'im." 

Berikanlah juga nikmat kepadaku di akhirat. Jadikanlah aku termasuk orang yang memusakai syurga yang penuh kenikmatan.

"86. Dan ampunilah bagi bapaku, sesungguhnya dia, dia termasuk orang-orang yang sesat." 

Ibrahim a.s. adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun. Beliau telah mengikrarkan suatu janji kepada bapanya, bahawa dia akan memintakan ampunan untuk bapanya, namun setelah jelas bagi Beliau bahawa bapanya adalah musuh Allah, maka Beliau mencabut kembali doa ini dan berlepas diri darinya.

"87. Dan janganlah Engkau binasakan aku pada hari mereka dibangkitkan." 

Janganlah Engkau mencela, menghukum dan memalukanku pada hari semua makhluk dibangkitkan dari yang pertama sampai yang terakhir.

Kelak di hari kiamat Ibrahim a.s. bersua dengan Azar (bapanya), sedangkan pada wajah Azar terdapat debu dan warna hitam. Maka Ibrahim a.s. berkata kepadanya, "Bukankah aku telah mengatakan kepadamu, "Janganlah kamu derhaka kepadaku.”" Azar menjawab, "Hari ini aku tidak akan derhaka kepadamu.”

Maka Ibrahim a.s. berkata, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah berjanji kepadaku bahawa Engkau tidak akan menghinakan diriku pada hari mereka dibangkitkan." Allah s.w.t. berfirman, "Sesungguhnya Aku telah mengharamkan syurga atas orang-orang kafir.”

"88. Pada hari tidak berguna harta dan tidak anak-anak." 

Pada hari itu harta dan anak-anak tidak dapat memberikan sesuatu pertolongan pun. Tiada yang dapat melindungi seseorang dari azab Allah harta bendanya, walaupun dia memiliki emas sepenuh bumi.

Tidak dapat juga menebusnya dari azab Allah, walaupun dengan seluruh manusia yang ada di bumi. Tiada yang bermanfaat pada hari itu kecuali iman kepada Allah dan mengikhlaskan diri hanya kepadaNya dalam beragama serta berlepas diri dari kemusyrikan dan para penganutnya.

"89. Kecuali orang yang menghadap Allah dengan hati yang selamat." 

Hati yang selamat ialah hati yang bersih, sihat dan tidak ada penyakit, iaitu hati orang mukmin. Hati mereka bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, mantap dan tenang dengan sunnah. Hatinya bersih dari syirik, keraguan, bid'ah, kemunafikan, hasad, dendam, dengki, menipu, sombong, riya’, keyakinan yang kotor, sum’ah mencintai keburukan dan kemaksiatan.

Inilah hati yang bermanfaat bagi seseorang di sisi Allah. Dengannya dia dapat selamat dari siksa dan berhak mendapat pahala. Pemiliknya mengetahui bahawa Allah adalah hak, dan hari kiamat pasti terjadi tiada keraguan padanya, dan bahawa Allah akan membangkitkan semua makhluk dari kuburnya.

Oleh kerana itu hatinya ikhlas, yakin, jujur, mencintai kebaikan, lapang dada dan memaafkan, tulus, tawadhu’, keinginan dan kecintaannya mengikuti kecintaan Allah, niat dan amalnya kerana mencari ridhaNya, dan hawa nafsunya mengikuti yang datang dari Allah.

"90. Dan didekatkan syurga kepada orang-orang yang bertakwa." 

Pada hari itu syurga didekatkan kepada calon penghuninya dalam keadaan gemerlapan dan penuh perhiasan bagi orang-orang yang memandangnya. Mereka adalah orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang ketika di dunia mendambakannya dan beramal untuk dapat meraihnya. Mereka menjalankan perintah Allah, menjauhi laranganNya, takut kepada kemurkaan dan siksaNya.

"91. Dan diperlihatkan neraka Jahim kepada orang-orang yang sesat." 

Neraka Jahim dibukakan dan diperlihatkan dengan jelas nyata kepada orang-orang yang menjatuhkan dirinya ke dalam lembah kemaksiatan, berani mengerjakan laranganNya, mendustakan rasul-rasulNya dan menolak kebenaran yang mereka bawa.

Muncullah lidah api darinya. Bunyinya yang bergemuruh membuat hati berdebar dan naik ke kerongkong kerana ketakutan yang sangat.

"92. Dan dikatakan kepada mereka, "Di manakah apa yang kalian sembah?"" 

"93. Dari selain Allah? Apakah mereka dapat menolong kalian atau menolong diri mereka sendiri?"

Berhala-berhala atau benda-benda selain Allah yang selalu kalian sembah dan yang kalian jadikan sebagai sekutu-sekutuNya dahulu tidak dapat menolong kalian dari azab, tidak dapat memberikan manfaat kepada kalian barang sedikit pun dan tidak dapat menolak bahaya yang menimpa diri mereka.

Maka sesungguhnya kalian dan sesembahan itu pada hari ini adalah kayu bakar neraka Jahanam dan kalian pasti akan memasukinya.

"94. Maka dijungkir balikkan ke dalamnya mereka dan orang-orang yang sesat." 

Maka sesembahan itu dihumbankan ke dalam neraka dengan tertiarap, jatuh bangun berulang-ulang bersama para penyembahnya. Sebahagian dari mereka dilemparkan kepada sebahagian yang lain ke dalam neraka, iaitu orang-orang kafir dan para pemimpinnya yang menyeru mereka kepada kemusyrikan.

"95. Dan bala tentera iblis semuanya." 

Iaitu para pengikut iblis dan orang-orang yang menaatinya dari kalangan manusia dan jin. Mereka dilemparkan ke dalam neraka tanpa ada yang ketinggalan. Di antara mereka ada yang menjadi da’inya, ada yang menjadi pengikutnya dan ada yang ikut-ikutan.

"96. Mereka berkata dan mereka di dalamnya mereka bertengkar. "

Orang-orang yang lemah dari orang-orang kafir itu berkata kepada orang-orang yang kuat dan sombong dari kalangan mereka, "Sesungguhnya kami hanya mengikuti kalian, maka apakah kalian dapat menyelamatkan kami dari azab neraka?" Mereka yang lemah itu menyedari akan kesalahan dirinya sendiri semasa di dunia. Mereka berkata,

"97. Demi Allah, sesungguhnya kita benar-benar dalam kesesatan yang nyata." 

"98. Ketika kita menyamakan kalian dengan Tuhan seluruh alam." 

Mereka dahulu telah mempersamakan berhala-berhala dengan Allah dalam beribadah. Mereka menyembah dan mentaati perintah orang-orang kuat mereka sebagaimana perintah Allah. Dalam rububiyyah, mereka mengetahui bahawa Allah adalah Rabbul ‘alamin (Pencipta, Penguasa, Pengatur seluruh alam), tetapi mereka mengarahkan ibadah kepada selainNya.

"99. Dan tidaklah menyesatkan kita kecuali orang-orang yang berdosa." 

Orang-orang yang telah menyeru kita berbuat demikian dan menyesatkan kita dari jalan yang lurus adalah orang-orang yang jahat, iaitu para pemimpin yang mengajak ke neraka.

"100. Maka tidak ada bagi kita dari pemberi syafaat." 

Sekarang tiada seorang pun yang akan memberi kita pertolongan. Orang-orang mukmin memiliki pemberi syafaat, seperti para malaikat, para nabi dan orang-orang mukmin.

"101. Dan tidak ada sahabat yang setia." 

Hamim bermaksud kerabat. Mereka mengetahui bahawa teman yang soleh itu dapat memberikan manfaat dan kerabat yang soleh itu dapat memberikan syafaat. Tetapi ketika itu mereka tidak mempunyai teman yang akrab yang memberikan manfaat kepada mereka sebagaimana kebiasaan ketika di dunia, di mana teman akrab memberikan pertolongan dan bantuan kepada temannya.

Oleh kerana itu, mereka telah putus asa dari semua kebaikan kerana perbuatan yang mereka lakukan, dan mereka berangan-angan agar kembali ke dunia agar menjadi orang yang beriman dan beramal soleh.

"102. Maka kalau bahawa bagi kita sekali lagi, maka kita menjadi termasuk orang-orang yang beriman." 

Ini adalah tamaniy (angan-angan) yang tidak mungkin dicapai. Mereka berangan-angan atau berharap supaya dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal ketaatan kepada Tuhan mereka, agar mereka selamat dari siksa dan memperoleh pahala.

Demikian itu menurut sangkaan mereka. Padahal Allah mengetahui bahawa seandainya mereka dikembalikan ke dunia, nescaya mereka akan kembali melakukan laranganNya. Sesungguhnya mereka dusta dalam penyesalannya itu.

"103. Sesungguhnya pada yang demikian benar-benar suatu ayat, dan tidak ada kebanyakan mereka orang-orang yang beriman." 

Pada kisah Ibrahim a.s. dengan kaumnya dan keadaan orang-orang kafir di akhirat itu benar-benar terdapat suatu tanda yang jelas dan nyata yang membukitkan keesaan Allah dan kekuasaanNya. Dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman walaupun ayat tersebut sudah disampaikan kepada mereka.

"104. Dan sesungguhnya Tuhanmu Dia benar-benar Maha Perkasa Maha Penyayang." 

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...