Khamis, 14 Disember 2017

3:159-160 Tafsir Surah Ali Imran, ayat 159-160.

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ (١٥٩) إِنْ يَنْصُرْكُمُ اللَّهُ فَلا غَالِبَ لَكُمْ وَإِنْ يَخْذُلْكُمْ فَمَنْ ذَا الَّذِي يَنْصُرُكُمْ مِنْ بَعْدِهِ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ (١٦٠)

Allah s.w.t melimpahkan anugerahNya kepada Beliau s.a.w. dan orang-orang mukmin. Dia berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"159. Maka dengan rahmat dari Allah kamu lemah lembut kepada mereka." 

Dengan sebab rahmat yang berlimpah dariNya kepada Beliau s.a.w., para sahabat dan umatnya, Dia telah membuat hati Beliau s.a.w. dapat bersikap lemah lembut dan tutur katanya menyejukkan hati para sahabat dan umatnya. Kerana itu mereka menaati perintahnya dan menjauhi larangannya.

Begitulah akhlak Nabi Muhammad s.a.w. Beliau merasakan beratnya penderitaan orang-orang mukmin, sangat menginginkan keimanan dan keselamatan bagi mereka, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap mereka.

Maka di antara cara dakwah yang ampuh atau berpengaruh, yang dapat menarik manusia ke dalam agama Allah adalah akhlak mulia, di samping adanya pujian dan pahala yang istimewa bagi pelakunya.

"Dan sekiranya kamu bersikap keras kasar hati, tentu mereka akan menjauhkan diri dari sekeliling kamu." 

Kalaulah kamu berkata kasar dan berkeras hati, mereka pasti akan bubar darimu dan meninggalkan kamu. Akan tetapi, Allah s.w.t. menghimpun mereka di sekelilingmu dan membuat hatimu lemah lembut terhadap mereka sehingga mereka menyukaimu.

Di dalam kitab-kitab terdahulu telah tertulis mengenai sifat Rasulullah s.a.w., bahawa beliau tidak keras, tidak kasar dan tidak bersuara gaduh di pasar-pasar, serta tidak pernah membalas keburukan dengan keburukan lagi, melainkan memaafkan dan merelakan.

"Maka maafkanlah dari mereka," 

Maafkanlah mereka kerana kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu dan kerana mereka tidak memenuhi hakmu dengan sempurna.

"dan mintalah ampunan bagi mereka," 

Hal ini merupakan sikap ihsan. Oleh kerana itu, Beliau s.a.w. menggabung antara sikap memaafkan dan sikap ihsan.

"dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam suatu urusan." 

Bermusyawarahlah kamu dengan mereka dalam urusan yang perlu adanya musyawarah, pemikiran yang matang dan pandangan yang tajam, seperti dalam urusan peperangan, politik, ekonomi, kemasyarakatan dan hal-hal keduniaan lainnya.

Musyawarah memiliki banyak faedah dan maslahat duniawi maupun agama. Ia termasuk ibadah yang mendekatkan diri seseorang kepada Allah. Di dalamnya terdapat sikap menghargai pendapat orang lain, sehingga mereka menjadi senang kepada kamu.

Musyawarah dapat menyatukan visi dan misi, menerangi akal fikiran, menutupi kekurangan yang ada pada orang lain, membuahkan keputusan yang bijak, tepat dan benar, dan sebagainya. Hal itu, kerana dalam musyawarah hampir tiada keputusan yang salah.

Kerana itulah Rasulullah s.a.w. selalu bermusyawarah dengan para sahabatnya, terutamanya Abu Bakar dan Umar r.a. apabila menghadapi suatu masalah untuk menyedapkan hati mereka dan agar menjadi pendorong bagi mereka untuk melaksanakannya. Beliau selalu meminta dan mengikuti pendapat para sahabatnya, dan mereka selalu bersama Beliau.

"Maka apabila kamu membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah." 

Setelah kamu bermesyuarat dan telah membulatkan tekad untuk melakukan sesuatu, maka bersandarlah kamu dengan kemampuan dan kekuatan Allah dalam urusan itu. Janganlah mengandalkan atau mengharapkan kemampuan kamu sendiri.

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal."

Allah s.w.t. mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

"160. Jika Allah menolong kalian, maka tidak ada yang mengalahkan bagi kalian;"

Jika Allah menolong kalian mencapai kemenangan ketika menghadapi musuh kalian, maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kalian. Walaupun semua musuh berkumpul dengan jumlah yang besar lengkap dengan persenjataan. Kemenangan kalian itu hanyalah dari Allah Yang Mahaperkasa lagi Mahabijaksana.

"dan jika Dia membiarkan kalian, maka siapakah yang mempunyai menolong kalian setelahnya?"

Jika Allah tidak menolong kalian, menyerahkan kalian kepada diri kalian sendiri dan membiarkan kalian dikalahkan, tiada sesiapa pun selain Dia yang akan dapat menolong kalian sesudah Dia menetapkan yang demikian. Maka mintalah pertolonganNya.

"Dan kepada Allah maka hendaklah bertawakkal orang-orang yang beriman." 

Ingatlah, hendaklah kalian berharap, bersandar dan berserah diri hanya kepadaNya saja. Hendaklah kalian berlepas diri dari kekuatan dan kemampuan diri kalian sendiri.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...