Ahad, 3 Disember 2017

54:41-50 Tafsir Surah Al Qamar, ayat 41-50.

وَلَقَدْ جَاءَ آلَ فِرْعَوْنَ النُّذُرُ (٤١) كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا كُلِّهَا فَأَخَذْنَاهُمْ أَخْذَ عَزِيزٍ مُقْتَدِرٍ (٤٢) أَكُفَّارُكُمْ خَيْرٌ مِنْ أُولَئِكُمْ أَمْ لَكُمْ بَرَاءَةٌ فِي الزُّبُرِ (٤٣) أَمْ يَقُولُونَ نَحْنُ جَمِيعٌ مُنْتَصِرٌ (٤٤) سَيُهْزَمُ الْجَمْعُ وَيُوَلُّونَ الدُّبُرَ (٤٥) بَلِ السَّاعَةُ مَوْعِدُهُمْ وَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ (٤٦) إِنَّ الْمُجْرِمِينَ فِي ضَلالٍ وَسُعُرٍ (٤٧) يَوْمَ يُسْحَبُونَ فِي النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ ذُوقُوا مَسَّ سَقَرَ (٤٨) إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ (٤٩) وَمَا أَمْرُنَا إِلا وَاحِدَةٌ كَلَمْحٍ بِالْبَصَرِ (٥٠)

Allah s.w.t. berfirman,

"41. Dan sungguh telah datang kaum Fir'aun pemberi peringatan." 

Allah s.w.t. telah mengutus Musa a.s. dan saudaranya Harun a.s. kepada Firaun dan kaumnya. Keduanya membawa berita gembira jika mereka mahu beriman, dan peringatan jika mereka kafir.

"42. Mereka mendustakan pada ayat-ayat Kami semuanya," 

Allah s.w.t. menguatkan keduanya dengan sembilan buah mukjizat yang besar dan berbagai macam bukti yang membenarkan kerasulan mereka. Tetapi mereka mendustakan kesemuanya.

"maka Kami azab mereka dengan azab Mahaperkasa Mahakuasa." 

Maka Allah s.w.t. menghukum mereka. Azab dari Tuhan Yang Mahaperkasa lagi Mahakuasa membinasakan mereka sehingga tiada seorang pun dari mereka yang tinggal dan tiada juga jejak-jejak mereka. Fir’aun dan bala tenteranya ditenggelamkanNya ke dalam laut.

Kisah-kisah ini disebutkan untuk memperingatkan manusia dan orang-orang yang mendustakan Nabi Muhammad s.a.w. Allah s.w.t. berfirman,

"43. Apakah orang-orang kafir dari kalian lebih baik dari mereka itu," 

Kaum musyrik atau kafir Quraisy yang berada di sekitarmu itu tidaklah lebih baik dari kaum-kaum terdahulu yang mendustakan para rasul dan kafir kepada kitab-kitab Allah itu. Mereka sama saja atau bahkan lebih buruk daripada mereka itu.

"atau bagi kalian berlepas diri dalam kitab-kitab terdahulu?" 

Di dalam kitab-kitab samawi yang dahulu Allah s.w.t. turunkan, tidak ada disebutkan janji dan jaminan kebebasan dariNya yang menyatakan bahawa orang-orang yang mendustakan lagi membangkang rasul tidak akan mendapat balasan dan azab.

Mereka tidak mempunyai sebarang bukti. Orang-orang yang mendustakan lagi membangkang rasul yang paling mulia, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. tidak akan mendapat jaminan selamat dari azab. Mereka hanya memiliki kekuatan pada diri mereka sendiri untuk membela diri dari azab.

"44. Atau mereka mengatakan, "Kami golongan yang menang.""

Mereka berkeyakinan bahawa mereka saling membantu dan persatuan mereka dapat menangkal orang lain yang hendak berbuat jahat terhadap mereka. Maka Allah s.w.t. berfirman,

"45. Akan dihancurkan golongan dan mereka mundur ke belakang." 

Mereka itu sebenarnya lemah. Persatuan mereka pasti akan bercerai-berai, mereka akan dikalahkan dan mereka akan berpaling lari.

Di dalam perang Badar, kaum musyrik telah kalah, tokoh-tokoh mereka mati dalam perang itu, sedangkan Rasulullah s.a.w. dan para sahabatanya mendapat kemenangan. Di samping kekalahan di dunia itu, mereka mempunyai waktu yang telah dijanjikan di hari akhirat.

"46. Bahkan hari kiamat dijanjikan pada mereka dan hari kiamat lebih dahsyat dan lebih pahit." 

Sebenarnya hari yang dijanjikan kepada mereka adalah hari Kiamat. Hari itu lebih dahsyat dari apa yang dibayangkan di fikiran atau yang terlintas di hati. Hari itu lebih pahit dari azab di dunia.

Ayat-ayat selanjutnya (Al Qamar 54:47-49) diturunkan berkaitan dengan ahli qadar. Mereka membicarakan, membincangkan dan memperdebatkan mengenai qadar atau takdir. Mereka mendustakan takdir Allah. Mereka mengatakan bahawa tidak ada takdir. Mereka tidak percaya bahawa Allah tidak menakdirkan kebaikan dan tidak menakdirkan keburukan.

"47. Sesungguhnya orang-orang yang berdosa dalam kesesatan dan siksaan." 

Iaitu orang-orang yang banyak melakukan dosa-dosa besar seperti syirik dan maksiat lainnya. Mereka berada dalam kesesatan di dunia. Mereka tersesat dari kebenaran, tenggelam di dalam kebingungan, keraguan, kebimbangan, kesengsaraan dan kekacauan dalam fikirannya.

Mereka tidak mengetahui perbuatan yang membawa mereka ke syurga. Jauh sekali untuk mengamalkannya.

Hal ini juga dialami oleh setiap orang yang mempunyai sifat yang sama dari kalangan orang-orang kafir, ahli bid'ah dan semua golongan yang sesat. Mereka adalah seburuk-buruk umat dan di akhirat mereka akan berada dalam neraka.

Orang-orang musyrik Quraisy datang kepada Rasulullah s.a.w. dengan tujuan berbantah-bantahan dan berdebat dengan Beliau dalam masalah takdir atau qadar. Maka turunlah ayat,

"48. Pada hari mereka diseret ke dalam neraka di atas muka-muka mereka." 

Ingatlah, sebagaimana mereka berada dalam kegelapan, keragu-raguan dan kebimbangan di dunia, maka mereka akan mendapat balasan neraka. Sebagaimana mereka sesat, maka mereka pada hari itu diseret masuk ke dalam neraka dengan muka di bawah.

Muka adalah anggota badan yang paling mulia dan jika dilukai tentu lebih menyakitkan daripada anggota badan yang lain. Mereka tidak mengetahui ke mana mereka akan dibawa. Dikatakan kepada mereka,

"Rasakanlah sentuhan api neraka." 

Mereka dihinakan, direndahkan, dikecam, dicemuh.

"49. Sungguh Kami segala sesuatu Kami menciptakannya dengan ukuran." 

Allah s.w.t. mengetahui segala sesuatu sebelum kejadiannya. Dia telah menulis semua takdir makhluk sebelum Dia menciptakan langit dan bumi dalam jarak lima puluh ribu tahun.

Sesungguhnya yang pertama diciptakanNya ialah Al Qalam, kemudian Allah berfirman kepadanya, "Tulislah!" Maka di saat itu juga Al Qalam bergerak menulis tentang semua makhluk yang akan terjadi sampai hari kiamat.

Dia telah menetapkan takdirNya terhadap makhlukNya sebelum mereka diciptakan olehNya, menentukan ukuran masing-masing makhlukNya dengan serapi-rapinya. Dia menyempurnakan penciptaan semua makhluk di alam bahagian atas maupun bahagian bawah dengan qadha’ (qadar) yang telah diketahuiNya, menentukan kadar masing-masing dan memberi petunjuk kepada semua makhlukNya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Segala sesuatu terjadi berdasarkan takdir hingga kelemahan dan kepandaian."

Sesiapa pun tidak akan dapat memberikan manfaat atau menimpakan mudarat kepada seseorang jika hal itu tidak ditakdirkan oleh Allah bagi dirinya. Apa yang luput darimu sudah menjadi takdir tidak akan mengenai dirimu. Apa yang mengenai dirimu sudah menjadi takdir tidak akan luput darimu.

Di dalam hadis sahih telah disebutkan, "Mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu lemah. Jika kamu ditimpa suatu perkara, maka katakanlah, "Allah telah menakdirkan(nya), apa yang Dia kehendaki pasti terjadi.” Dan janganlah kamu mengatakan bahawa seandainya aku melakukan begini, nescaya hal ini tidak terjadi. Kerana sesungguhnya law (mengandai-andai) membuka pintu masuk bagi perbuatan syaitan."

Seseorang masih belum merasakan manisnya iman dan masih belum sampai kepada hakikat ilmu mengenai Allah sebelum dia beriman kepada takdir yang baik dan takdir yang buruk. Jika seseorang mati dalam keadaan tidak beriman kepada takdir, nescaya masuk nerakalah dia.

"50. Dan tidaklah perintah Kami kecuali sekali seperti kejapan mata." 

Menciptakan segala sesuatu itu mudah bagi Allah. Kehendak dan takdir Allah terhadap makhlukNya pasti berlangsung sebagaimana yang telah diberitakan. Sesungguhnya keadaanNya apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya memerintah dengan satu perkataan seperti kelipan mata, iaitu ucapan “Kun” (Jadilah!). Maka terjadilah ia.

PerintahNya tak perlu diulang-ulang. Maka apa yang Dia perintahkan untuk ada itu pasti ada dan terjadi seketika itu juga sekelip mata, tanpa ada tenggang waktu barang sedikit pun.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...