Isnin, 18 Disember 2017

6:33-35 Tafsir Surah Al An’am, ayat 33-35.

قَدْ نَعْلَمُ إِنَّهُ لَيَحْزُنُكَ الَّذِي يَقُولُونَ فَإِنَّهُمْ لا يُكَذِّبُونَكَ وَلَكِنَّ الظَّالِمِينَ بِآيَاتِ اللَّهِ يَجْحَدُونَ (٣٣) وَلَقَدْ كُذِّبَتْ رُسُلٌ مِنْ قَبْلِكَ فَصَبَرُوا عَلَى مَا كُذِّبُوا وَأُوذُوا حَتَّى أَتَاهُمْ نَصْرُنَا وَلا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ وَلَقَدْ جَاءَكَ مِنْ نَبَإِ الْمُرْسَلِينَ (٣٤) وَإِنْ كَانَ كَبُرَ عَلَيْكَ إِعْرَاضُهُمْ فَإِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ تَبْتَغِيَ نَفَقًا فِي الأرْضِ أَوْ سُلَّمًا فِي السَّمَاءِ فَتَأْتِيَهُمْ بِآيَةٍ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَمَعَهُمْ عَلَى الْهُدَى فَلا تَكُونَنَّ مِنَ الْجَاهِلِينَ (٣٥)

Allah s.w.t. berfirman menghibur Nabi Muhammad s.a.w. dalam menghadapi pendustaan dan pertentangan kaumnya terhadap dirinya.

"33. Sungguh Kami mengetahui bahawasanya tentu akan menyedihkan kamu yang mereka berkata," 

Janganlah kamu bersedih hati. Pengetahuan Kami benar-benar telah meliputi pendustaan mereka terhadapmu, kesedihan dan kekecewaanmu terhadap sikap mereka. Bersabarlah kamu agar kamu mendapat darjat yang tinggi di akhirat.

Abu Jahal pernah berkata kepada Nabi s.a.w., "Sesungguhnya kami tidak menuduh dirimu pendusta, tetapi kami hanya mendustakan (tidak percaya) apa yang kamu sampaikan itu." Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"maka sesungguhnya mereka tidak mendustakanmu," 

Orang-orang musyrik itu seperti Abu Jahal, Abu Sufyan ibnu Harb, Al Akhnas ibnu Syuraiq dan lain-lain sama sekali tidak menuduh Beliau s.a.w. sebagai seorang pendusta. Mereka mengetahui bahawa Beliau s.a.w. adalah seorang nabi Allah, rasul Allah, jujur, amanah dan tidak pernah berdusta.

"akan tetapi orang-orang yang zalim kepada ayat-ayat Allah menyangkal." 

Pada hakikatnya mereka mendustakan Allah. Mereka mengingkari dan menolak perkara yang hak, kerana Nabi s.a.w. itu diutus untuk menyampaikan ayat-ayat Allah. Mereka bimbang akan kehilangan pengaruh, kedudukan yang terhormat dan semua jawatan.

Allah s.w.t. berfirman menghibur hati Nabi Muhammad s.a.w. dan memberi sokongan kepadanya dalam menghadapi orang-orang yang mendustakannya dari kalangan kaumnya.

"34. Dan sungguh telah didustakan rasul-rasul sebelum kamu, maka mereka sabar atas apa yang mereka dustakan dan mereka dianiaya, sehingga datang pada mereka pertolongan Kami."

Para rasul sebelum kamu juga telah mengalami pendustaan, penganiayaan dan gangguan dari kaumnya masing-masing. Tetapi mereka tetap bersabar dan berhati teguh terhadap apa yang menimpa mereka. Pada akhirnya datang pertolonganNya dan akibat yang terpuji kepada mereka.

Oleh kerana itu, bersabarlah kamu sebagaimana mereka bersabar, nescaya kamu akan mendapat pertolongan dan kemenangan di dunia dan di akhirat sebagaimana mereka.

"Dan tidak dapat mengubah bagi kalimat-kalimat Allah." 

Tiada seorang pun yang dapat mengubah janji-janji pertolongan dan kemenangan yang telah ditetapkanNya di dunia dan akhirat bagi hamba-hambaNya yang mukmin dan yang menjadi rasul. Allah telah menetapkan bahawa Dia, para rasulNya dan tenteraNya pasti menang. Allah Mahakuat lagi Mahaperkasa.

"Dan sungguh telah datang kepadamu dari sebahagian berita para rasul."

Telah datang kepadamu sebahagian dari berita tentang mereka yang membuat hatimu tenang, bagaimana mereka mendapat pertolongan dan sokongan dalam menghadapi orang-orang yang mendustakan mereka dari kalangan kaumnya. Kamu juga akan mengalami hal yang sama seperti mereka.

"35. Dan jika menjadi besar bagimu keberpalingan mereka," 

Janganlah kamu merasa berat atas sikap mereka yang berpaling dari kamu. Kalau kamu merasa berat, cubalah kamu usahakan suatu mukjizat yang dapat memuaskan hati mereka.

"maka jika kamu dapat untuk kamu mencari lubang di bumi atau tangga di langit, lalu kamu mendatangkan kepada mereka dengan keterangan-keterangan." 

Nafaq ertinya terowongan. Kalau kamu dapat masuk ke dalam terowongan itu atau kamu naiki tangga itu sampai ke langit, kemudian kamu datangkan suatu ayat, mukjizat atau bukti kepada mereka yang lebih baik daripada yang engkau sampaikan kepada mereka sekarang, maka lakukanlah.

Kamu tentu tidak akan mampu, dan lagi hal itu tidaklah bermanfaat bagi mereka. Bukanlah kemampuanmu yang memberi petunjuk kepada orang yang tidak diinginkan Allah mendapat hidayah. Oleh kerana itu bersabarlah sampai datang keputusan Allah.

"Dan sekiranya Allah menghendaki, tentu Dia menghimpun mereka atas petunjuk." 

Rasulullah s.a.w. sangat menginginkan semua orang beriman dan mengikuti jalan petunjuknya. Namun, sekiranya Allah menghendaki, tentu Dia jadikan semua orang yang di muka bumi mengikuti petunjuk dan beriman.

Akan tetapi hikmah Allah menghendaki untuk membiarkan mereka di dalam kesesatan. Hanya orang-orang yang telah ditakdirkan oleh Allah mendapat kebahagiaan sejak zaman azalinya saja yang beriman.

"Maka, janganlah kamu menjadi termasuk orang-orang yang jahil."

Janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang bodoh, iaitu orang-orang yang tidak mengetahui hakikat perkaranya dan tidak menempatkan sesuatu pada tempatnya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...