Jumaat, 26 Januari 2018

2:45-46 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 45-46.

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلا عَلَى الْخَاشِعِينَ (٤٥)  الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُمْ مُلاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ (٤٦)

Allah s.w.t. berfirman memerintahkan hamba-hambaNya,

"45. Dan mintalah kalian pertolongan dengan sabar dan solat." 

Jadikan sabar dan solat sebagai sebagai penolong kalian untuk mengatasi semua masalah kalian dan jalan untuk kalian meraih kebaikan dunia dan akhirat yang kalian dambakan.

Sabar bermaksud sabar dalam menjalankan keta'atan kepada Allah dengan mengerjakan amal-amal fardu dan hal-hal yang diridhaiNya, sabar dalam menahan diri dan menjauhi larangan Allah atau perbuatan-perbuatan maksiat, dan sabar terhadap musibah yang ditaqdirkan oleh Allah dengan tidak berkeluh-kesah, mengharapkan ridhaNya dan pahala yang ada di sisiNya.

Sabar diiringi dengan menunaikan amal-amal ibadah. Amal ibadah yang paling tinggi dan paling besar keutamaannya ialah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar, mendekatkan diri kepada ridha Allah, penolong terbesar untuk memperteguh diri dalam melakukan suatu perkara, penawar penyakit dan melegakan kesedihan.

Rasulullah s.a.w. apabila mengalami suatu perkara (cobaan), maka Beliau bersegera melakukan solat.

"Dan sungguh ia sangat berat melainkan atas orang-orang yang khusyuk."

Khusyu' bermaksud hatinya tunduk, rendah, patuh, taat, tenang dan tenteram kepada Allah s.w.t., memasrahkan diri kepadaNya, merasa hina kepadaNya, berpegang teguh kepada ketaatan, menampakkan rasa perlu serta beriman kepada Allah dan kepada pertemuan denganNya.

Orang-orang yang khusyu' memiliki rasa takut kepada Allah, takut kepada pembalasanNya, cinta kepadaNya, berharap apa yang ada di sisiNya, percaya kepada janji dan ancamanNya. Mereka tetap bersabar dan melaksanakan ibadah dengan lapang dada dan senang. Sesungguhnya hal itu benar-benar mudah bagi orang yang dimudahkan oleh Allah.

"46. Orang-orang yang meyakini bahawa mereka bertemu Tuhan mereka" 

Mereka yakin bahawa mereka pasti akan bertemu Tuhan mereka, iaitu dihimpun dan dihadapkan kepada Allah s.w.t. di hari kiamat kelak.

Di hari kiamat kelak Allah s.w.t. berfirman kepada seorang hamba, "Bukankah Aku telah mengahwinkanmu, bukankah Aku telah memuliakanmu, bukankah Aku telah menundukkan bagimu kuda dan unta, dan Aku biarkan kamu memimpin dan berkuasa?" Hamba itu berkata, "Memang benar." Allah s.w.t. berfirman, "Adakah engkau meyakini bahawa engkau akan menemuiKu?" Hamba tersebut menjawab, "Tidak." Maka Allah berfirman, "Pada hari ini Aku melupakanmu seperti kamu dahulu melupakanKu."

"dan bahawa mereka kepadaNya mereka kembali."

Mereka yakin bahawa semua urusan mereka kembali kepada kehendak Allah s.w.t., Dialah yang memutuskannya menurut apa yang dikehendakiNya dengan adil. Mereka yakin akan kembali kepada Allah s.w.t. pada hari kiamat untuk dihisab dan menerima pembalasan terhadap amal.

Semua rasa inilah yang membuat mereka merasa ringan menjalankan ibadah dan amal-amal ketaatan, tetap terhibur ketika mendapat musibah, merasa ringan derita mereka, mencegah diri mereka dari berbuat maksiat dan hal-hal yang mungkar.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...