Isnin, 29 Januari 2018

3:14-17 Tafsir Surah Ali Imran, ayat 14-17.

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ (١٤) قُلْ أَؤُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرٍ مِنْ ذَلِكُمْ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا عِنْدَ رَبِّهِمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَأَزْوَاجٌ مُطَهَّرَةٌ وَرِضْوَانٌ مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ (١٥)الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا إِنَّنَا آمَنَّا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (١٦)الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنْفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالأسْحَارِ (١٧)

Allah s.w.t. berfirman memberitakan tentang semua kesenangan yang dijadikan perhiasan bagi manusia dalam kehidupan di dunia ini.

"14. Dijadikan indah bagi manusia kecintaan segala yang diingini dari wanita-wanita," 

Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada semua yang diingininya. Dimulai dengan sebutan wanita, kerana fitnah yang ditimbulkan oleh mereka sangat kuat.

Nabi s.a.w. bersabda, "Tiada suatu fitnah pun sesudahku yang lebih berbahaya bagi kaum lelaki selain dari wanita."

Namun, jika seseorang bertujuan dengan wanita untuk memelihara kehormatannya dan memperbanyakkan keturunan, maka hal ini merupakan suatu hal yang dianjurkan dan disunatkan. Kerana itu dianjurkan untuk nikah dan memperbanyakkan nikah. Sebaik-baik lelaki ialah yang paling banyak mempunyai isteri (dalam batas yang diperbolehkan).

Nabi s.a.w. bersabda, "Dunia adalah kesenangan, dan sebaik-baik kesenangannya ialah isteri yang soleh; jika suami memandangnya, maka dia membuat gembira suaminya; jika suami menyuruhnya, maka ia menaati suaminya; dan jika suami pergi, tidak ada di tempat, maka dia memelihara kehormatan dirinya dan harta benda suaminya."

Nabi s.a.w. bersabda, "Aku dibuat senang kepada wanita dan wewangian, dan kesejukan hatiku dijadikan di dalam solatku."

"dan anak-anak, dan harta-harta yang banyak dari emas, dan perak," 

Senang kepada anak adakalanya kerana dorongan membanggakan diri dan sebagai perhiasan yang juga termasuk ke dalam pengertian membanggakan diri.

Adakalanya kerana dorongan ingin memperbanyakkan keturunan dan memperbanyakkan umat Muhammad yang menyembah hanya kepada Allah semata, tidak ada sekutu bagiNya. Maka hal ini baik lagi terpuji.

Disebutkan di dalam sebuah hadis, "Nikahilah oleh kalian wanita-wanita yang keibuan lagi subur peranakannya, kerana sesungguhnya aku memperbanyakkan umatku kerana kalian kelak di hari kiamat."

Cinta kepada harta adakalanya kerana terdorong oleh faktor menyombongkan diri dan berbangga-banggaan, takabur terhadap orang-orang lemah, dan sombong terhadap orang-orang miskin. Hal ini sangat dicela.

Adakalanya cinta kepada harta kerana terdorong oleh faktor membelanjakannya di jalan-jalan yang mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dan silaturrahim, serta amal-amal kebajikan dan ketaatan. Hal ini sangat terpuji menurut syariat.

"dan kuda pilihan, dan binatang-binatang ternak, dan sawah ladang." 

Adakalanya seseorang memelihara kuda untuk persiapan berjihad di jalan Allah. Mereka menggunakannya terutamanya di saat mereka memerlukannya. Maka mereka mendapat pahala dari usahanya itu. Rasulullah s.a.w. juga menyukai kuda.

Adakalanya seseorang menternak kuda tanpa melupakan hak Allah yang ada padanya. Maka dia mendapat ampunan dari Allah s.w.t.

Adakalanya seseorang memelihara kuda untuk membanggakan diri dan melawan kaum muslim. Maka dia mendapat dosa dari usahanya itu.

Binatang-binatang ternak bermaksud unta, lembu, kambing dan biri-biri. Sawah ladang bermaksud lahan yang dijadikan untuk ditanami (seperti ladang, sawah dan perkebunan).

Nabi s.a.w. bersabda, "Sebaik-baik harta seseorang ialah ternak kuda yang berkembang biak dengan pesat, atau kebun kurma yang subur."

"Demikian itu kesenangan kehidupan dunia; dan Allah di sisiNya yang terbaik tempat kembali."

Itulah yang meramaikan kehidupan di dunia. Semua kesenangan dan kegemerlapan yang dihiaskan kepada manusia dalam kehidupan di dunia ini pasti akan fana dan lenyap. Di sisi Allahlah tempat kembali yang baik dan berpahala, iaitu syurga.

Manusia dalam menyikapi hal-hal di atas terbahagi menjadi dua golongan. Golongan pertama menjadikan semua itu sebagai tujuannya. Fikiran, hati dan perbuatan mereka tertuju kepadanya sehingga mereka lupa bahawa mereka diciptakan untuk beribadah.

Mereka tidak ubahnya seperti binatang yang hanya mengejar kesenangan. Mereka tidak peduli bagaimana cara memperoleh kesenangan itu, ke arah mana mereka salurkan dan keluarkan. Semua yang mereka kejar ini sebenarnya bekal mereka ke negeri tempat kesengsaraan.

Golongan kedua mengetahui maksud dari semua itu. Allah menjadikannya sebagai ujian dan cobaan bagi hamba-hambaNya agar diketahui siapa yang lebih mendahulukan ketaatan dan keridhaan Allah daripada kesenangan itu. Maka mereka menjadikan semua itu sebagai jalan menuju akhirat.

Mereka gunakan kesenangan itu untuk dapat membantu memperoleh keridhaanNya. Mereka memiliki semua itu, namun hati mereka tidak memegangnya. Mereka mengetahui bahawa semua itu hanyalah kesenangan kehidupan dunia.

Dalam ayat ini terdapat hiburan bagi kaum fakir yang tidak mendapat kesenangan itu, ancaman bagi orang-orang yang terpedaya oleh kesenangan tesebut dan membuat zuhud orang-orang yang berakal.

Ketika diturunkan ayat ini, maka Umar ibnul Khattab berkata, "Sekaranglah, ya Tuhanku, kerana Engkau telah menjadikannya sebagai perhiasan bagi kami." Maka turunlah firmanNya kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"15. Katakanlah, "Mahukah Aku beritahu kalian dengan yang lebih baik dari yang demikian? Bagi orang-orang yang bertakwa, di sisi Tuhan mereka syurga-syurga""

Sebenarnya ada hal yang lebih baik daripada kesenangan hidup di dunia itu, iaitu syurga-syurga di sisi Allah yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa kepadaNya.

"mengalir dari bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya." 

Sungai-sungai itu mengalir menembus antara sisi-sisi dan bahagian-bahagian syurga-syurga. Ada sungai madu, sungai khamr, sungai susu dan sebagainya yang belum pernah dilihat, didengar dan terdetik di dalam hati manusia. Mereka tinggal di dalamnya untuk selamanya dan mereka tidak mahu pindah darinya.

"Dan isteri-isteri yang suci, dan keridhaan dari Allah." 

Mereka dikurniai isteri-isteri yang disucikan dari kotoran, najis, penyakit, haid, nifas, akhlak yang buruk dan sebagainya yang biasa dialami oleh kaum wanita di dunia.

Mereka dinaungi oleh keridhaan Allah, iaitu nikmat terbesar di antara semua nikmat kekal di dalam syurga. Maka Dia tidak akan murka lagi terhadap mereka untuk selamanya.

"Dan Allah Maha Melihat pada hamba-hambaNya."

Dia pasti akan memberikan balasan terhadap amal mereka dan memberikan anugerah yang berhak mereka terima. Sifat-sifat hamba-hambaNya yang bertakwa dan yang telah dijanjikan mendapat pahala yang berlimpah itu ialah,

"16. Orang-orang yang berkata, "Ya Tuhan kami, sungguh kami beriman, maka ampunilah bagi kami dosa-dosa kami dan lindungilah kami siksa api neraka.""

Sesungguhnya kami telah beriman kepadaMu, kitab-kitabMu, rasul-rasulMu dan apa yang telah Engkau syariatkan buat kami. Maka ampuni dosa-dosa dan kelalaian kami dalam urusan kami berkat anugerah dan rahmatMu. Peliharalah kami dari siksa api neraka.

"17. Orang-orang yang sabar, dan orang-orang yang benar," 

Hamba-hambaNya yang bertakwa sabar dalam menjalankan ketaatan, sabar dalam menjauhi kemaksiatan dan sabar terhadap taqdir Allah yang menyakitkan.

Mereka membenarkan atau percaya kepada apa yang diberitakan kepada mereka berkat iman mereka. Mereka merealisasikan iman mereka dengan sikap berteguh hati dalam mengerjakan amal-amal yang berat.

"dan orang-orang yang tetap taat, dan orang-orang yang menginfakkan hartanya," 

Mereka tetap dalam ketaatan dan kepatuhannya. Mereka suka menafkahkan sebahagian dari harta mereka di jalan Allah, iaitu di jalan-jalan ketaatan yang diperintahkan, silaturrahim, amal taqarrub, memberikan santunan dan menolong orang-orang yang memerlukannya.

"dan orang-orang yang mohon ampun pada waktu sahur." 

Waktu sahur ialah waktu sebelum fajar menyingsing mendekati subuh, waktu terbaik untuk meminta, berdoa dan beristighfar. Keadaan mereka yang berada dalam sifat-sifat mulia, namun tetap merasakan kekurangan sehingga mereka meminta ampunan kepada Allah di waktu sahur. Hal ini merupakan tanda kebahagiaan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "(Rahmat) Allah s.w.t. turun pada tiap malam ke langit dunia, iaitu di saat malam hari tinggal sepertiganya lagi, lalu Dia berfirman, "Apakah ada orang yang meminta, maka Aku akan memberinya? Apakah ada orang yang berdoa, maka Aku memperkenankannya? Dan apakah ada orang yang meminta ampun, maka Aku memberikan ampunan kepadanya.""

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...