Isnin, 22 Januari 2018

70:36-44 Tafsir Surah Al Ma’arij, ayat 36-44.

فَمَالِ الَّذِينَ كَفَرُوا قِبَلَكَ مُهْطِعِينَ (٣٦) عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ عِزِينَ (٣٧) أَيَطْمَعُ كُلُّ امْرِئٍ مِنْهُمْ أَنْ يُدْخَلَ جَنَّةَ نَعِيمٍ (٣٨) كَلا إِنَّا خَلَقْنَاهُمْ مِمَّا يَعْلَمُونَ (٣٩) فَلا أُقْسِمُ بِرَبِّ الْمَشَارِقِ وَالْمَغَارِبِ إِنَّا لَقَادِرُونَ (٤٠) عَلَى أَنْ نُبَدِّلَ خَيْرًا مِنْهُمْ وَمَا نَحْنُ بِمَسْبُوقِينَ (٤١) فَذَرْهُمْ يَخُوضُوا وَيَلْعَبُوا حَتَّى يُلاقُوا يَوْمَهُمُ الَّذِي يُوعَدُونَ (٤٢) يَوْمَ يَخْرُجُونَ مِنَ الأجْدَاثِ سِرَاعًا كَأَنَّهُمْ إِلَى نُصُبٍ يُوفِضُونَ (٤٣) خَاشِعَةً أَبْصَارُهُمْ تَرْهَقُهُمْ ذِلَّةٌ ذَلِكَ الْيَوْمُ الَّذِي كَانُوا يُوعَدُونَ (٤٤)

Allah s.w.t. berfirman menerangkan tentang tertipunya orang-orang kafir.

"36. Maka mengapa orang-orang yang kafir datang ke arahmu bersegera." 

Rasulullah s.a.w. solat dan membaca Al Quran di dekat ka'bah. Lalu orang-orang musyrik bergegas-gegas datang berkumpul di hadapannya untuk mendengarkan apa yang akan diperkatakan Nabi Muhammad s.a.w. dan terus-menerus menatapkan pandangannya ke arahnya.

Mereka datang mendengar bukan kerana menyukai Kitabullah, menyukai NabiNya atau untuk beriman. Tetapi mereka mencari-mencari perkataan Beliau s.a.w. untuk didebatkan, dicemuhkan dan dibantahkan.

"37. Dari kanan dan dari kiri berkelompok-kelompok." 

Sehabis sahaja mereka mendengar perkataan Beliau s.a.w., mereka pun bubar meninggalkan tempat itu sambil mencemuh, "Apa yang dikatakan lelaki ini?"

Mereka berkumpul membentuk lingkaran-lingkaran di sekitar Beliau. Lalu mereka berbincang, mencemuh, menyalah erti dan mempergunjingkan Beliau kerana tidak setuju, tidak percaya dan menentangnya.

Lalu mereka berkata, "Sungguh jika mereka (orang-orang beriman) masuk ke dalam syurga, nescaya kami benar-benar akan masuk ke dalamnya sebelum mereka."

"38. Apakah ingin setiap seseorang dari mereka bahawa dimasukkan ke syurga penuh kenikmatan?" 

Sedangkan mereka kafir, mengingkari dan mensyirikkan Allah s.w.t. Mereka membantah kedatangan kebenaran dari Nabi Muhammad s.a.w. di setiap masa. Padahal mereka menyaksikan Nabi s.a.w., petunjuk yang disampaikannya dan mukjizat-mukjizat yang menguatkan kerasulannya.

Mereka menuduh Nabi  s.a.w. datang hendak merubah pusaka nenek moyang turun temurun. Padahal mereka hanya menerima membuta tuli ajaran nenek moyang mereka yang sesat. Nenek moyang menyembah berhala mereka pun menyembah berhala juga.

Mereka merasakan bahawa merekalah yang benar kerana mempertahankan dan mengamalkan ajaran dan adat istiadat menyembah berhala dari nenek moyang mereka. Kerana itu mereka merasa bangga dan menyangka bahawa merekalah yang patut masuk syurga.

"39. Sekali-kali tidak! Sungguh Kami menciptakan mereka dari apa yang mereka ketahui." 

Tidak mungkin mereka dimasukkan ke syurga. Bahkan tempat kembali mereka adalah neraka Jahanam. Keadaannya bukanlah seperti yang mereka harapkan. Mereka tidak akan mendapatkan apa yang mereka inginkan, walaupun mereka kerahkan kemampuan mereka.

Allah s.w.t. menciptakan manusia dari air mani yang lemah dan hina untuk beriman dan bertakwa kepadaNya, sebagaimana yang telah disampaikan Rasul. Jika mereka tidak beriman dan bertakwa, maka mereka tidak berhak masuk syurga.

Mereka diciptakan dari air mani sehingga mereka lemah tidak berkuasa apa-apa untuk memberikan manfaat kepada diri mereka dan menghindarkan bahaya, tidak berkuasa mematikan, menghidupkan dan membangkitkan.

Hari kiamat itu pasti terjadi dan azab pasti akan menimpa mereka yang mengingkari kejadiannya dan menganggapnya sebagai kejadian yang mustahil. Allah s.w.t. yang memulakan penciptaan mereka. Maka mengembalikan penciptaan itu jauh lebih mudah bagiNya.

"40. Maka Aku bersumpah dengan Tuhan timur dan barat; sungguh Kami Mahakuasa." 

Allah s.w.t. bersumpah dengan diriNya sendiri. Dia Tuhan Yang Menciptakan dan Mengatur timur dan barat, tempat-tempat terbit dan terbenamnya matahari, bulan dan bintang yang telah ditundukkanNya. Di sana terdapat tanda-tanda kekuasaanNya.

Mereka telah menyaksikan sendiri kekuasaan Allah s.w.t. yang jauh lebih besar dari pada hari kiamat, iaitu penciptaan langit dan bumi. DitundukkanNya semua makhluk hidup, tidak bernyawa dan berbagai jenis makhluk lain yang ada pada keduanya, .

Perkara sebenarnya tidaklah seperti yang mereka sangka. Hari kiamat, hari hisab, hari berbangkit, hari kemudian dan hari pembalasan itu pasti terjadi dan tidak dapat dielakkan lagi.

"41. Atas bahawa Kami ganti kaum yang lebih baik dari mereka," 

Sesungguhnya Allah s.w.t. benar-benar Mahakuasa untuk menghidupkan mereka kembali kelak di hari kiamat dengan tubuh yang lebih baik daripada sekarang. Sesungguhnya kekuasaanNya mampu berbuat demikian.

"dan tidak Kami dikalahkan." 

Tiada sesiapa pun yang dapat mengalahkanNya. Allah s.w.t. telah menetapkan atas hamba-hambaNya kematian, kebangkitan dan pembalasan, namun mereka masih tetap mendustakan dan tidak mahu tunduk kepada ayat-ayatNya. Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"42. Maka biarkan mereka tenggelam dan main-main hingga mereka menemui hari mereka yang dijanjikan." 

Biarkanlah mereka di dalam kebatilan, kesesatan, kedustaan, kekafiran dan keingkarannya. Apabila mereka sampai ke hari yang diancamkan itu kelak, mereka akan mengetahui akibat dari sikap, perbuatan dan tindakannya. Allah s.w.t. telah menyediakan siksaan dan bencana untuk mereka.

"43. Hari mereka keluar dari kubur-kubur dengan cepat seakan-akan mereka kepada berhala-berhala pergi dengan segera." 

Pada hari itu Allah s.w.t. akan memanggil mereka untuk menjalani hisab di mauqif (tempat pemberhentian). Mereka akan bangkit dari kuburnya masing-masing dengan cepat dan bergegas melangkah untuk berdiri di hadapanNya. 

Keadaan mereka sama seperti ketika mereka di dunia bergegas menuju ke tempat sesembahan mereka untuk mencapainya, siapa yang paling dahulu dari mereka yang mengusapnya.

"44. Menundukkan pandangan mereka meliputi mereka kehinaan." 

Pandangan mata mereka tertunduk ke bawah. Kehinaan dan kecemasan menguasai hati mereka. Gerakan mereka pun berhenti dan suara mereka pun terdiam.

"Demikian itu hari yang mereka dijanjikan." 

Itulah hari yang diancamkan kepada mereka dahulu. Hal ini sebagai pembalasan atas kesombongan mereka sewaktu di dunia, kerana mereka tidak mahu taat kepada Allah s.w.t.

Selesai tafsir surah Al Ma’arij dengan pertolongan Allah dan taufiqNya wal hamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...