Sabtu, 20 Januari 2018

61:5-9 Tafsir Surah As Saf, ayat 5-9.

وَإِذْ قَالَ مُوسَى لِقَوْمِهِ يَا قَوْمِ لِمَ تُؤْذُونَنِي وَقَدْ تَعْلَمُونَ أَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ فَلَمَّا زَاغُوا أَزَاغَ اللَّهُ قُلُوبَهُمْ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ (٥) وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِنْ بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ فَلَمَّا جَاءَهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا هَذَا سِحْرٌ مُبِينٌ (٦) وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَى عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُوَ يُدْعَى إِلَى الإسْلامِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (٧) يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ (٨) هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ (٩)

Allah s.w.t. berfirman mengingatkan perihal hambaNya, utusanNya, yang pernah diajak bicara langsung olehNya, iaitu Musa ibnu Imran a.s.

"5. Dan ketika berkata Musa kepada kaumnya, "Wahai kaumku! Mengapa kalian menyakiti aku, dan sungguh kalian mengetahui bahawa aku utusan Allah kepada kalian?""

Kaumnya menyakitinya dengan kata-kata dan perbuatan, padahal mereka mengetahui bahawa Beliau adalah utusan Allah yang jujur dalam menyampaikan risalah Allah kepada mereka.

Sepatutnya mereka membalasnya dengan kebaikan, menghormati, memuliakan, mengikuti perintah dan ketetapannya, kerana rasul telah berbuat baik kepada manusia. Membalasnya dengan keburukan merupakan tindakan kurang ajar, melampau dan menyimpang dari jalan yang lurus.

Ayat ini bermaksud menghibur Rasulullah s.a.w. dalam menanggung apa yang ditimpakan oleh kaum kuffar terhadap dirinya, memerintahkan Beliau untuk bersabar dalam menghadapinya dan melarang kaum mukmin menyakiti atau merendahkan Nabi s.a.w.

Beliau s.a.w. bersabda, "Semoga Allah merahmati Musa, sesungguhnya dia telah disakiti lebih dari ini dan dia tetap bersabar."

"Maka tatkala mereka berpaling, Allah palingkan hati mereka;"

Oleh kerana mereka sengaja menyimpang dari jalan kebenaran, padahal mereka mengetahuinya, maka Allah menghukum mereka dengan memalingkan hati mereka dari hidayah, membiarkan mereka sesat, semakin jauh dari kebenaran, menempatkan di hati mereka keraguan, kebimbangan, dan kehinaan.

"dan Allah tidak memberi petunjuk kaum yang fasik." 

Allah tidak memberi mereka taufiq kepada petunjuk kepada mereka yang sentiasa menderhaka dan tidak mahu mencari petunjuk. Mereka memang tidak layak memperolehnya dan tidak sesuai mendapatkan kebaikan. Allah s.w.t. tidaklah menzalimi mereka, bahkan kerana keadilanNya dan mereka tidak memiliki hujjah terhadapNya.

Allah s.w.t. berfirman memberitahukan tentang sikap keras kepala Bani Israil terdahulu yang telah diajak oleh Nabi Isa a.s.

"6. Dan ketika berkata Isa putera Maryam, "Wahai Bani Israil! Sungguh aku utusan Allah kepada kalian,"" 

Ingatlah ketika Isa a.s. mengatakan kepada Bani Israil bahawa Allah s.w.t. mengutusnya untuk mengajak mereka kepada kebaikan dan melarang mereka dari keburukan. Beliau tidak mengatakan, “Wahai kaumku!” kerana Beliau tidak memiliki kerabat dengan mereka.

"membenarkan bagi apa yang sebelumku dari Taurat," 

Kitab Taurat yang dibawa Musa a.s. sebelumnya telah menyampaikan berita gembira kedatangan Isa a.s. Maka kedatangan Beliau membenarkan berita gembira itu. Allah s.w.t. menguatkan Beliau dengan bukti-bukti yang nyata yang menunjukkan kebenarannya.

"dan khabar gembira dengan seorang rasul datang setelahku, namanya Ahmad." 

Isa a.s. adalah penutup nabi-nabi Bani Israil. Beliau sama seperti para nabi lain yang membenarkan nabi sebelumnya dan menyampaikan khabar gembira dengan nabi yang akan datang setelahnya.

Beliau menyampaikan berita gembira akan kedatangan rasul sesudahnya, rasul yang Ummiy Arabiy Makki bernama Ahmad, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. sebagai penutup para nabi dan para rasul. Tiada rasul dan nabi lagi sesudahnya.

Rasulullah s.a.w. mempunyai banyak nama. Antaranya Muhammad, Ahmad, Penghapus Kekufuran, Penggiring, Yang Diikuti, Nabi Rahmat, Nabi Taubat dan Nabi Malhamah (peperangan).

Nama Ahmad telah diberitakan dan dikenal sebutannya sejak zaman umat-umat terdahulu. Setiap kali Allah s.w.t. mengutus seorang nabi, Dia mengambil janji darinya, bahawa sesungguhnya jika Muhammad diutus semasa dia masih hidup, maka dia benar-benar akan mengikutinya.

Allah s.w.t. juga mengambil janji bahawa hendaknya nabi itu mengambil janji dari umatnya, bahawa jika Muhammad diutus semasa mereka masih hidup, maka mereka benar-benar akan mengikuti dan menolongnya.

Para nabi itu terus-menerus menceritakan sifat Nabi Muhammad s.a.w. kepada umatnya masing-masing yang dituangkan dalam kitab-kitab mereka, lalu memerintahkan mereka agar mengikuti, menolong dan menyokongnya jika Nabi Muhammad diutus.

"Maka tatkala dia datang kepada mereka dengan bukti-bukti, mereka berkata, "Ini sihir yang nyata.""

Tetapi apabila Nabi Muhammad s.a.w. telah diangkat menjadi rasul dan datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti nyata yang menunjukkan bahawa Beliau benar-benar utusan Allah, mereka kafir, menentang, menolak kebenaran dan mendustakannya.

Mereka mengganggap risalah Beliau s.a.w. yang lebih jelas daripada sinar matahari itu sebagai sihir yang nyata. Ini merupakan kedustaan mereka yang besar.

"7. Dan siapakah lebih zalim dari orang yang mengada-adakan terhadap Allah dusta, padahal dia diajak kepada Islam?"

Orang yang paling zalim ialah orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah seperti mengadakan bagiNya tandingan-tandingan, menisbatkan sekutu dan anak kepadaNya, dan menyifati ayat-ayatNya dengan sihir. Padahal dia diajak kepada agama tauhid, memurnikan ketaatan hanya kepada Allah s.w.t., segala bukti dan keterangan telah disampaikan kepadanya.

"Dan Allah tidak memberi petunjuk kaum yang zalim." 

Mereka yang sentiasa berada di atas kezalimannya, tidak membekas nasihat yang disampaikan kepadanya, tidak membuatnya berhenti.

"8. Mereka menghendak untuk memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka,"

Mereka berusaha menolak perkara yang hak dengan perkara yang batil. Mereka menentang kebenaran dan membela yang batil. Mereka berusaha menghapuskan agama Allah dengan ucapan-ucapan mereka, seperti dengan mendakwa bahawa ia adalah sihir, syair atau perdukunan.

Padahal ini semua adalah ucapan yang tidak ada hakikatnya, bahkan menambah jelas kebatilan mereka bagi orang yang berpandangan dalam. Mereka seperti seseorang yang ingin memadamkan sinar mentari dengan meniupnya. Cahayanya tetap tidak akan hilang.

"dan Allah menyempurnakan cahayaNya walaupun membenci orang-orang kafir." 

Allah s.w.t. pasti menolong agamaNya, menyempurnakan kebenaran yang dibawa para rasulNya dan menyebarkan agamaNya ke seluruh penjuru dunia, walaupun orang-orang kafir benci dan mengerahkan segala sebab untuk menghapuskannya. Mereka tetap akan kalah.

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan sebab tetap tampil dan tetap menangnya agama Islam, baik sebab hissiy (konkrit) maupun sebab maknawi (abstrak).

"9. Dialah Yang mengutus RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar" 

Para rasul itu membawa ilmu yang bermanfaat dan amal yang soleh. Ilmu tersebut menunjukkan seseorang kepada Allah, syurga, amal dan akhlak yang paling baik, dan hal yang bermaslahat di dunia dan akhirat.

Agama yang benar adalah ibadah yang benar dan amal yang soleh. Semua itu merupakan makanan bagi ruh dan badan, penyegar bagi badan, dan penyelamat dari keburukan dan kerosakan.

Petunjuk dan agama yang benar yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. merupakan dalil dan bukti yang paling besar yang menunjukkan kebenarannya, bukti yang kekal sepanjang zaman. Semakin dewasa fikiran orang yang berakal, maka semakin jelaslah buktinya.

"agar memenangkannya atas agama semuanya, walaupun membenci orang-orang musyrik." 

Allah s.w.t. meninggikan Islam di atas seluruh agama dengan hujjah dan bukti, dan meninggikan para pemeluknya dengan persenjataan seperti pedang dan tombak. Keadaan agama ini, sifatnya yang unggul selalu melekat padanya sehingga tidak dapat dikalahkan di setiap waktu.

Jika umat Islam benar-benar mengamalkannya, maka mereka akan unggul dan tidak akan dikalahkan. Tetapi jika mereka hanya mengaku Islam tetapi tidak mahu mengamalkannya, maka mereka akan dikalahkan oleh musuh. Sebab kemunduran umat Islam adalah kerana mereka meninggalkan agamanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila kamu berjual-beli dengan cara ‘iinah (salah satu jenis riba), kamu pegang buntut-buntut sapi dan kamu ridha dengan tanaman kamu serta kamu tinggalkan jihad, maka Allah akan menimpakan kehinaan kepada kamu, di mana Dia tidak akan mencabutnya sampai kamu kembali kepada agama kamu.”

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...