Khamis, 15 Februari 2018

11:114-117 Tafsir Surah Hud, ayat 114-117.

وَأَقِمِ الصَّلاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ (١١٤) وَاصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ (١١٥) فَلَوْلا كَانَ مِنَ الْقُرُونِ مِنْ قَبْلِكُمْ أُولُو بَقِيَّةٍ يَنْهَوْنَ عَنِ الْفَسَادِ فِي الأرْضِ إِلا قَلِيلا مِمَّنْ أَنْجَيْنَا مِنْهُمْ وَاتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُوا مَا أُتْرِفُوا فِيهِ وَكَانُوا مُجْرِمِينَ (١١٦) وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَى بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ (١١٧)

Ada seorang lelaki mencium seorang wanita, lalu lelaki itu datang kepada Rasulullah s.a.w. dan menceritakan hal itu, maka turunlah kepada Beliau s.a.w. ayat, “Dan dirikanlah solat pada kedua tepi siang dan pada bahagian permulaan malam. Perbuatan baik itu menghapuskan perbuatan buruk. Demikian itu peringatan bagi orang-orang yang mengingat.” Lelaki itu berkata, “Apakah ayat ini khusus buatku?” Beliau s.a.w. bersabda, “Tidak, bahkan buat seluruh kaum muslim."

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa ada seorang lelaki datang menghadap Rasulullah s.a.w., lalu berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita di dalam sebuah kebun, lalu aku melakukan segala sesuatu terhadapnya, hanya aku tidak menyetubuhinya. Aku menciuminya dan memeluknya, lain itu tidak; maka hukumlah aku menurut apa yang engkau sukai."...dan seterusnya.

Allah s.w.t. berfirman,

"114. Dan dirikanlah solat pada kedua tepi siang"

Dirikanlah solat pada waktu pagi dan petang. Pada permulaan siang adalah solat Subuh dan akhir siang adalah solat Maghrib. Ada yang mengatakan solat Subuh dan Asar. Pendapat lain mengatakan solat Zuhur dan Asar.

"dan sebahagian dari malam."

Dirikanlah solat pada bahagian permulaan malam, iaitu solat Isya. Ada yang mengatakan solat Maghrib dan Isya. Dirikanlah juga solat qiyam (malam) kerana ia dapat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Keduanya berada pada bahagian permulaan malam hari, iaitu solat Maghrib dan solat Isya."

Ayat ini diturunkan sebelum solat lima waktu difardukan pada malam Isra. Solat yang diwajibkan waktu itu hanyalah solat sebelum matahari terbit dan solat sebelum tenggelamnya, sedangkan solat qiyam di malam hari dianjurkan atas Nabi s.a.w. dan umatnya.

Kemudian kewajiban atas umatnya melakukan qiyamul lail dimansukh, tetapi wajib atas Nabi s.a.w. Tetapi menurut suatu pendapat lain, kewajiban melakukan qiyamul lail atas Nabi s.a.w. pada akhirnya dimansukh juga.

"Sesungguhnya perbuatan baik akan menghapuskan perbuatan buruk."

Dengan mengerjakan perbuatan-perbuatan yang baik seperti mengerjakan solat lima waktu dan solat-solat sunat dengan khusyuk, dosa-dosa kecil yang telah dilakukan sebelumnya akan terhapus.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga solat Jumaat berikutnya, dan bulan Ramadan sampai dengan bulan Ramadan berikutnya dapat menghapuskan semua dosa yang dilakukan di antaranya, selagi dosa-dosa besar dihindari."

"Demikian itu peringatan bagi orang-orang yang mengingat."

Perintah-perintah yang disebutkan sebelumnya, iaitu tetap istiqmah di atas jalan yang lurus, tidak melampaui batas, tidak cenderung kepada orang-orang zalim, mendirikan solat dan berbuat kebaikan adalah peringatan bagi orang-orang yang sentiasa mengingat Allah.

Dengannya mereka dapat memahami perintah dan larangan Allah, dan dapat mengerjakan perbuatan-perbuatan baik yang membuahkan kebaikan dan menghindarkan keburukan. Semua perbuatan tersebut memerlukan usaha keras dan kesabaran dari dalam diri manusia.

"115. Dan bersabarlah, maka sungguh Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik."

Bersabarlah dalam menjauhi kemaksiatan, bersabarlah di atas ketaatan, bersabarlah dalam mendirikan solat dan bersabarlah terhadap gangguan kaummu. Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang bersabar.

"116. Maka mengapa tidak ada dari umat-umat sebelum kalian yang mempunyai keutamaan, mereka melarang kerosakan di bumi?"

Umat-umat terdahulu telah dibinasakan kerana mereka mendustakan para rasul. Mereka tidak mengikuti petunjuk Allah yang dibawa oleh para rasul. Kalau sekiranya ada orang-orang utama di antara mereka yang melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar, tentu mereka akan selamat.

"kecuali sedikit di antara orang yang telah Kami selamatkan dari mereka."

Di kalangan mereka sedikit sekali orang yang mengajak kepada petunjuk Allah dan melarang perbuatan buruk. Mereka itulah orang-orang yang diselamatkan oleh Allah s.w.t. di kala murka dan azabNya datang menimpa mereka secara tiba-tiba.

Di dalam sebuah hadis disebutkan, "Sesungguhnya manusia itu apabila melihat perkara mungkar, lalu mereka tidak mencegahnya, nescaya dalam waktu yang dekat Allah akan menimpakan siksaan secara umum kepada mereka."

"Dan mengikuti orang-orang yang zalim apa yang mereka bersenang-senang di dalamnya,"

Orang-orang yang zalim hanya mengikuti atau mementingkan kenikmatan dan kemewahan yang ada pada mereka. Mereka melakukan kerosakan di bumi, iaitu tetap mengerjakan maksiat dan perkara mungkar yang biasa mereka lakukan.

Tidak ada sama sekali niat mereka untuk mengingkarinya. Mereka tidak melakukan nahi munkar, padahal mereka mampu melakukannya. Maka merekalah orang-orang yang bakal dikejutkan oleh azab Allah yang menimpa mereka secara tiba-tiba.

"dan mereka berbuat dosa."

Mereka adalah orang-orang yang berdosa. Maka mereka mesti diberi hukuman dan dibinasakan oleh azab.

Allah s.w.t. memerintahkan kepada umat yang dimuliakan ini (umat Nabi Muhammad s.a.w.), hendaklah ada orang-orang utama yang mengadakan perbaikan, menegakkan agama Allah, mengajak orang yang tersesat kepada petunjuk, bersabar terhadap gangguan dan menerangkan jalan yang lurus.

Kedudukan orang yang melakukannya dalam agama adalah tinggi dan menjadi imam dalam agama ini jika melakukannya dengan ikhlas kerana Allah Rabbul ‘aalamiin.

"117. Dan tidaklah ada Tuhanmu akan membinasakan negeri-negeri dengan zalim, dan penduduknya berbuat kebaikan."

Allah s.w.t. sekali-kali tidak akan berbuat zalim kepada suatu penduduk negeri selama mereka berbuat kebaikan (beriman). Azab dan pembalasanNya hanya akan menimpa penduduk yang telah tegak hujah kepada mereka dan berbuat zalim terhadap diri mereka sendiri.

Jika mereka rujuk dan memperbaiki amal mereka, Allah s.w.t. akan memaafkan mereka dan menghapuskan kezaliman mereka yang telah lalu.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...