Jumaat, 2 Februari 2018

4:64-65 Tafsir Surah An Nisa, ayat 64-65.

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلا لِيُطَاعَ بِإِذْنِ اللَّهِ وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ جَاءُوكَ فَاسْتَغْفَرُوا اللَّهَ وَاسْتَغْفَرَ لَهُمُ الرَّسُولُ لَوَجَدُوا اللَّهَ تَوَّابًا رَحِيمًا (٦٤) فَلا وَرَبِّكَ لا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا (٦٥)

Allah s.w.t. berfirman,

"64. Dan tidak Kami utus dari rasul melainkan untuk ditaati" 

Apabila Allah s.w.t. mengutuskan seseorang rasul kepada suatu kaum, mereka diwajibkan tunduk, memuliakan dan menaatinya secara mutlak, bukan menderhakai dan menyelisihinya. Para rasul itu ma'sum dalam semua yang mereka sampaikan dari Allah s.w.t., dalam semua yang mereka perintahkan dan yang mereka larang.

"dengan izin Allah." 

Tiada seorang pun yang taat kepada rasul kecuali orang yang telah diberikan taufik untuk itu. Ketaatan yang dilakukan seseorang adalah berdasarkan perintah, qadha', qadar, takdir, kehendak dan bantuan Allah.

"Dan jikalau bahawasanya mereka ketika mereka menganiaya diri mereka sendiri, mereka datang kepadamu," 

Orang-orang derhaka yang berdosa, bila mereka terjerumus ke dalam kesalahan dan kemaksiatan, dan berhakim kepada selain Nabi Muhammad s.a.w., hendaknya mereka menyedari kesalahannya, beristighfar dan bertaubat. Hendaknya mereka datang menghadap Beliau s.a.w.

"maka mereka memohon ampunan kepada Allah, dan memohonkan ampunan bagi mereka Rasul," 

Lalu mereka memohon ampun kepada Allah s.w.t. di hadapan Rasulullah s.a.w. dan meminta kepada Beliau agar memohonkan ampun kepada Allah buat mereka, dan Beliau pun memohonkan ampun untuk mereka.

"tentu mereka mendapati Allah Maha Penerima Taubat Maha Penyayang."

Jika mereka melakukan hal tersebut, nescaya Allah menerima taubat mereka, merahmati mereka, dan memberikan ampunan bagi mereka.

Hal ini adalah sewaktu Rasulullah s.a.w. masih hidup. Meminta didoakan dari orang yang soleh yang masih hidup adalah dibolehkan. Adapun setelah Beliau s.a.w. wafat, maka tidak boleh meminta kepadanya sebagai wasilah (perantara) kepada Allah. Bahkan yang demikian adalah syirik.

Az Zubair ibnul Awwam pernah bersengketa dengan seorang lelaki Ansar yang pernah ikut Perang Badar, iaitu Hatib ibnu Abu Balta'ah dalam masalah pengairan di tanah berbatu hitam di lahan Syarajul Harrah (Madinah). Keduanya mengairi kebun kurmanya dari parit tersebut. Lelaki Ansar itu berkata, "Lepaskanlah air parit itu biar mengaliri kebunnya." Tetapi Az Zubair menolak.

Ketika keduanya melaporkan hal tersebut kepada Nabi s.a.w., maka Nabi s.a.w. bersabda, "Hai Zubair, airilah lahanmu, kemudian alirkanlah airnya ke lahan jiranmu!" Nabi s.a.w. memberikan keputusannya yang mengandungi keadilan yang merata dan kelapangan bagi keduanya.

Tetapi lelaki Ansar itu salah tanggap dan marah, lalu berkata, "Wahai Rasulullah, adakah engkau putuskan demikian kerana dia adalah putera makcik (saudara sepupu) mu?" Lelaki Ansar itu hanya mementingkan kepentingan dirinya.

Maka roman wajah Rasulullah s.a.w. memerah kerana marah, kemudian bersabda lagi, "Airilah lahanmu, hai Zubair, lalu tahanlah airnya hingga berbalik ke arah tembok (penuh), kemudian alirkanlah ke lahan jiranmu."

Kali ini Nabi s.a.w. memperhatikan kepentingan Az Zubair dan memberikan hak Zubair secara sempurna dalam ketegasan hukum tersebut.

Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"65. Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap apa yang perselisihkan," 

Allah s.w.t. bersumpah dengan menyebut diriNya Yang Mahamulia lagi Mahasuci, bahawa tidaklah beriman seseorang pada hakikatnya sebelum dia menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai hakimnya dalam semua urusannya. Semua yang diputuskan oleh Rasulullah s.a.w. adalah perkara yang hak dan wajib diikuti lahir dan batin.

"di antara mereka kemudian mereka tidak mendapati dalam diri mereka sendiri keberatan terhadap apa yang kamu putuskan, dan mereka menerima penerima sepenuhnya."

Apabila mereka meminta keputusan hukum dari Rasulullah s.a.w., mereka menaatinya dengan tulus ikhlas sepenuh hati mereka. Di dalam hati mereka tidak terdapat suatu keberatan pun terhadap apa yang telah Beliau s.a.w. putuskan.

Mereka menerima keputusan itu sepenuhnya dengan dada yang lapang, jiwa yang tenang dan ketundukan baik zahir maupun batin, tanpa ada rasa yang mengganjal, tanpa ada tolakan, dan tanpa ada sedikit pun rasa menentangnya.

Berhukum kepada Nabi Muhammad s.a.w. merupakan bukti keislamannya, tidak adanya rasa keberatan di hati merupakan bukti keimanannya dan menerima sepenuh hati merupakan bukti ihsannya. Jika dalam dirinya ada semua ini, maka sempurnalah tingkatan agamanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaanNya, tidak sekali-kali seseorang di antara kalian beriman sebelum keinginannya mengikuti keputusan yang telah ditetapkan olehku."

Oleh kerana itu, barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah kerana tidak suka atau menganggap ada hukum yang lebih baik daripadanya, atau menghina hukum Allah, maka dia kafir.

Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, namun dia mengakui bahawa hukum Allah yang benar dan sikapnya salah, maka dia seperti pelaku maksiat lainnya (tidak kafir, namun berdosa besar dan dihukumi zalim atau fasik).

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...