Isnin, 5 Februari 2018

6:36-39 Tafsir Surah Al An’am, ayat 36-39.

إِنَّمَا يَسْتَجِيبُ الَّذِينَ يَسْمَعُونَ وَالْمَوْتَى يَبْعَثُهُمُ اللَّهُ ثُمَّ إِلَيْهِ يُرْجَعُونَ (٣٦) وَقَالُوا لَوْلا نُزِّلَ عَلَيْهِ آيَةٌ مِنْ رَبِّهِ قُلْ إِنَّ اللَّهَ قَادِرٌ عَلَى أَنْ يُنَزِّلَ آيَةً وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لا يَعْلَمُونَ (٣٧) وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الأرْضِ وَلا طَائِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلا أُمَمٌ أَمْثَالُكُمْ مَا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ (٣٨)وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا صُمٌّ وَبُكْمٌ فِي الظُّلُمَاتِ مَنْ يَشَأِ اللَّهُ يُضْلِلْهُ وَمَنْ يَشَأْ يَجْعَلْهُ عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (٣٩)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"36. Sungguh hanyalah akan mematuhi orang-orang yang mendengar"

Sesungguhnya orang-orang yang menyambut dan memenuhi seruan Allah dan rasulNya, hanyalah orang-orang yang mahu mendengar hal yang bermanfaat, lalu masuk ke hati, mencerna dan memahaminya. Kemudian mereka mematuhinya.

"dan orang-orang yang mati Allah akan membangkitkan mereka,"

Orang-orang yang mati bermaksud orang-orang kafir. Allah s.w.t. menyerupakan mereka dengan bangkai, kerana hati mereka mati sehingga tidak dapat mendengar seruan. Hanya orang-orang yang hidup hatinya saja yang dapat mendengarnya.

Orang-orang yang mati juga bermaksud orang-orang yang telah meninggal dunia. Allah s.w.t. akan membangkitkan semua orang yang telah mati pada hari kiamat, kemudian Dia akan memberitahukan semua perbuatan mereka.

"kemudian kepadaNya mereka dikembalikan."

Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah, lalu Dia akan memberikan balasan kepada mereka. Di dalam ungkapan ini terkandung makna cemuhan dan penghinaan terhadap mereka.

"37. Dan mereka berkata, "Mengapa tidak diturunkan kepadanya suatu ayat dari Tuhannya?”"

Kerana akal orang-orang musyrik yang dangkal, mereka bertanya mengapa Allah s.w.t. tidak menurunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. suatu mukjizat, peristiwa yang bertentangan dengan hukum alam yang biasa mereka dapati, yang membuat mereka percaya kepada Beliau. Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"Katakanlah, "Sesungguhnya Allah berkuasa untuk menurunkan suatu ayat, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.”"

Allah s.w.t. mampu untuk melakukan hal itu. Sekali-kali tidak ada yang menghalangiNya untuk melakukannya. Tetapi kerana suatu hikmah (kebijaksanaan) dariNya, maka sengaja Dia menangguhkan hal itu.

Jika Allah menurunkan mukjizat seperti yang mereka minta, kemudian mereka tetap mengingkarinya dan tidak juga beriman, nescaya mukjizat itu akan menjadi bala' bagi mereka.

Allah akan menyegerakan siksaanNya terhadap mereka. Mereka akan dibinasakan seperti yang telah Allah lakukan terhadap umat-umat terdahulu. Hal itu merupakan sunnatullah yang tidak berubah.

Namun, jika maksud mereka ayat-ayat yang menerangkan kebenaran dan menjelaskan jalan, maka Nabi Muhammad s.a.w. telah pun membawa ayat yang jelas dan hujjah yang nyata yang menunjukkan benarnya apa yang Beliau bawa.

Seorang hamba akan mendapati di sana dalil 'aqli dan naqli yang tidak meninggalkan keraguan sedikit pun di hati. Maka Mahasuci Allah yang telah mengutus rasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar dan menguatkannya dengan bukti-bukti yang nyata.

"38. Dan tidaklah dari binatang melata di bumi dan tidak juga burung-burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan umat-umat seperti kalian."

Semua haiwan adalah makhluk ciptaan Allah juga, sama seperti kalian. Begitu juga dengan jin. Allah menciptakannya sebagaimana Dia menciptakan kalian. Allah memberinya rezeki sebagaimana Dia memberi kalian rezeki. Berlaku pada mereka kehendak dan kekuasaanNya sebagaimana berlaku juga pada kalian.

"Tidaklah Kami luputkan di dalam Al Kitab dari sesuatu pun,"

Al Kitab di sini bermaksud Kitab yang nyata iaitu Al Lauhul Mahfuz. Allah mengetahui semua nama haiwan, bilangannya, gerakannya, tempat tinggalnya dan tempat matinya. Tiada sesuatu pun dari semuanya yang dilupakan oleh Allah nasib, rezeki dan pengaturannya.

Semua yang telah terjadi dan yang akan terjadi telah diketahui Allah, ditetapkan, dikehendak, diciptakan dan ditulis dalam Al Lauhul Mahfuz, termasuk amal mereka. Semuanya terjadi sejalan dengan apa yang tertulis di sana.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah s.w.t. telah menciptakan seribu umat (jenis makhluk), enam ratus umat di antaranya berada di laut dan yang empat ratusnya berada di daratan. Mula-mula umat yang binasa dari seluruhnya ialah belalang. Apabila belalang telah musnah, maka merembet ke yang lainnya seperti halnya untaian kalung apabila talinya terputus."

Ada juga yang menafsirkan Al Kitab di sini dengan Al Qur'an. Di dalamnya telah ada pokok-pokok agama, norma-norma, hukum-hukum, hikmah-hikmah dan petunjuk untuk kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat, dan kebahagiaan makhluk pada umumnya.

"kemudian kepada Tuhan mereka akan dikumpulkan."

Kemudian haiwan-haiwan itu dihimpunkan kepada Tuhan mereka, iaitu apabila mereka telah mati. Ada yang mengatakan, penghimpunannya ialah saat hari berbangkit, iaitu di hari kiamat nanti. Kemudian Allah melakukan peradilan, memutuskan masalahnya dan diadakan pengqisasan. Setelah itu Allah menjadikan binatang-binatang itu sebagai tanah.

"39. Dan orang-orang yang mendustakan pada ayat-ayat Kami tuli dan bisu dalam kegelapan."

Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah lagi mendustakan rasulNya telah menutup pintu hidayah terhadap diri mereka dan membuka pintu kebinasaan. Mereka dalam kejahilan, kekurangan ilmu dan tidak mengerti.

Perumpamaan mereka seperti orang yang tuli kerana tidak dapat mendengar kebenaran, seperti orang bisu kerana tidak dapat menyebutkan kebenaran dan hanya dapat menyebut kebatilan, dan seperti orang yang dapat melihat kerana tenggelam dalam gelapnya kebodohan, kekufuran, kezaliman, sikap membangkang, dan berbuat maksiat.

Hal ini termasuk penyesatan Allah untuk mereka. Maka orang yang seperti itu mustahil mendapat petunjuk ke jalan yang benar atau dapat keluar dari apa yang mengongkongnya.

"Barang siapa yang Allah menghendaki, Dia akan menyesatkanNya."

Barang siapa yang dikehendaki Allah dalam kesesatan, nescaya disesatkanNya. Disesatkan Allah bererti bahawa orang itu sesat kerana keingkarannya dan tidak mahu memahami petunjuk-petunjuk Allah.

"Dan barang siapa yang Dia menghendaki, Dia menjadikannya atas jalan yang lurus."

Barang siapa yang dikehendaki Allah untuk diberiNya petunjuk, nescaya Dia menjadikannya Islam. Allah yang sendiri memberi hidayah dan menyesatkan sesuai kurnia dan hikmah (kebijaksanaan)Nya. Dialah yang mengatur makhlukNya menurut apa yang dikehendakinya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...