Khamis, 8 Februari 2018

7:11-18 Tafsir Surah Al A’raf, ayat 11-18.

وَلَقَدْ خَلَقْنَاكُمْ ثُمَّ صَوَّرْنَاكُمْ ثُمَّ قُلْنَا لِلْمَلائِكَةِ اسْجُدُوا لآدَمَ فَسَجَدُوا إِلا إِبْلِيسَ لَمْ يَكُنْ مِنَ السَّاجِدِينَ (١١) قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ (١٢) قَالَ فَاهْبِطْ مِنْهَا فَمَا يَكُونُ لَكَ أَنْ تَتَكَبَّرَ فِيهَا فَاخْرُجْ إِنَّكَ مِنَ الصَّاغِرِينَ (١٣) قَالَ أَنْظِرْنِي إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ   (١٤) قَالَ إِنَّكَ مِنَ الْمُنْظَرِينَ (١٥) قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لأقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ (١٦) ثُمَّ لآتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ (١٧) قَالَ اخْرُجْ مِنْهَا مَذْءُومًا مَدْحُورًا لَمَنْ تَبِعَكَ مِنْهُمْ لأمْلأنَّ جَهَنَّمَ مِنْكُمْ أَجْمَعِينَ (١٨) 

Allah s.w.t. berfirman mengingatkan Bani Adam (manusia),

"11. Dan sungguh Kami telah menciptakan kalian, kemudian Kami bentuk rupa kalian," 

Allah s.w.t. telah menciptakan bapa manusia, iaitu Adam a.s. dengan tangan kekuasaanNya dari saripati tanah liat kering yang berasal dari lumpur hitam, diberi bentuk manusia, disempurnakan kejadiannya dan ditiupkan ke dalam tubuhnya sebahagian dari roh ciptaanNya.

"kemudian Kami katakan kepada malaikat, "Bersujudlah kalian kepada Adam.""

Kemudian Allah s.w.t. memerintahkan semua malaikat untuk bersujud kepada Adam a.s. sebagai penghormatan kepada keagungan Allah s.w.t., pemuliaan dan memperlihatkan kelebihannya.

"Maka mereka bersujud kecuali iblis. Tidak ia termasuk orang-orang yang bersujud."

Semua malaikat mendengar dan menaati perintah itu kecuali iblis, nenek moyang jin yang berada di kalangan malaikat. Ia memisahkan diri dan enggan bersujud kerana sombong dan ujub terhadap dirinya. Allah s.w.t. bertanya kepada iblis.

"12. Dia berfirman, "Apa yang menghalangimu untuk tidak kamu bersujud ketika Aku perintahkan kamu?""

Apakah yang mencegahmu, menindasmu dan memaksamu untuk tidak bersujud kepada Adam di saat Aku perintahkan kamu untuk melakukannya? Iblis memberikan alasannya.

"Ia berkata, "Aku lebih baik darinya; Engkau ciptakan aku dari api dan Engkau ciptakan dia dari tanah.""

Alasan iblis merupakan sesuatu hal yang lebih besar daripada dosanya. Seakan-akan iblis membangkang tidak mahu taat kerana tidak ada perintah yang menganjurkan seseorang yang memiliki keutamaan bersujud kepada orang yang lebih rendah keutamaannya daripada yang diperintah.

Seakan-akan iblis la’natullah mengatakan, "Aku lebih baik daripadanya, maka mengapa Engkau perintahkan aku untuk bersujud kepadanya?" Kemudian iblis mengatakan bahawa dirinya lebih baik kerana diciptakan dari api, sedangkan api itu lebih baik daripada apa yang diciptakanNya dari tanah liat.

Iblis yang laknat mengacu kepada asal unsur kejadian. Ia tidak mengacu kepada kemuliaan yang besar yang ada pada diri Adam a.s., iaitu Allah menciptakan Adam a.s. dengan tangan kekuasaanNya sendiri dan meniupkan ke dalam tubuhnya roh (ciptaan)Nya.

Kata-kata Iblis ini nampak seakan-akan benar, padahal sebenarnya salah. Sebenarnya tanah lebih baik daripada api. Keadaan tanah adalah kuat, sabar, tenang, kukuh, mudah diolah dan bermanfaat sehingga dapat menumbuhkan tanaman. Sedangkan keadaan api adalah membakar, merosak, goyang, liar, dan terburu-buru.

Adam a.s. mendapat manfaat dari unsur kejadiannya, iaitu selalu ingat kepada Allah, lebih mudah rujuk, kembali kepada Allah, tenang, taat, berserah diri, tunduk kepada perintah Allah, bertaubat, mengakui kesalahan dan meminta ampunanNya.

Sedangkan iblis berkhianat terhadap unsur kejadian dirinya, semakin sombong dan angkuh. Ini menunjukkan bahawa jika seseorang terkena fitnah syahwat lebih mudah kembali daripada terkena fitnah syubhat.

Perkataan Iblis di atas merupakan analogi (qiyas) yang paling rosak dan tidak benar. Allah s.w.t. memerintahkan mereka bersujud, tetapi iblis menggunakan qiyas tersebut untuk menentang perintahNya.

Apabila qiyas bertentangan dengan nas, maka qiyas tersebut batil. Tujuan sebenar qiyas adalah agar hukum yang tidak ada nasnya mendekati kepada perkara yang ada nasnya, sehingga dapat diikuti.

Kerana itulah ia terusir dari rahmat dan putus asa dari rahmat. Iblis la'natullah keliru dalam analogi dan pengakuannya yang mengatakan bahawa api lebih mulia daripada tanah. Iblislah yang mula-mula melakukan qiyas. Kerana adanya qiyas tersebutlah matahari dan bulan disembah.

"13. Dia berfirman, "Maka turunlah darinya, maka tidak sepatutnya bagi kamu untuk kamu takabur di dalamnya.""

Allah s.w.t. memerintahkan iblis turun dari syurga atau dari kerajaan langit tertinggi kerana kederhakaan terhadap perintahNya dan pembangkangan yang menyimpang dari jalan ketaatan kepadaNya.

Tempat itu merupakan tempat orang-orang yang baik, tidak layak untuk orang-orang yang bersikap sombong atau buruk. Darjatnya yang sebelumnya tinggi menjadi sangat rendah sekali akibat kesombongan dan ujubnya. Itulah takdir yang harus di jalani iblis.

"Maka keluarlah, sungguh kamu termasuk orang-orang yang hina."

Iblis diusir keluar dalam keadaan hina dina lagi direndahkan, sebagai perlakuan kebalikan dari apa yang diyakini iblis, dan sebagai pembalasan dari pengakuannya, iaitu dengan menimpakan kebalikannya. Maka saat itu iblis yang laknat menyedari dirinya dimurkai Tuhan.

"14. Ia berkata, "Beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan."

Iblis meminta agar ia dan anak cucunya tidak dimatikan sampai hari kiamat supaya mereka berkesempatan menggoda Adam a.s. dan anak cucunya.

"15. Dia berfirman, "Sungguh kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh.""

Allah s.w.t. mengabulkan permintaan iblis kerana di dalamnya terkandung hikmah, keinginan dan kehendak Allah yang tidak dapat ditentang, tidak dapat dicegah, serta tidak ada akibat bagi keputusan hukumNya, dan Dia Mahacepat perhitunganNya.

Hikmah (kebijaksanaan) Allah menghendaki untuk menguji hamba-hambaNya agar nampak jelas orang yang jujur dengan orang yang dusta, orang yang taat kepadaNya dengan orang yang taat kepada musuhNya.

Setelah iblis terikat dengan janji itu, maka mulailah ia bersikap ingkar dan melampiaskan dendamnya. Ia sudah putus asa dari rahmat Allah.

"16. Dia berkata, "Maka disebabkan Engkau hukum aku tersesat, sungguh aku akan halangi mereka jalan Engkau yang lurus.""

Oleh kerana Allah telah menghukum atau memutuskan iblis sebagai makhluk yang tersesat dan binasa disebabkan oleh Adam a.s., iblis bersumpah bahawa ia benar-benar akan sentiasa menghalang-halangi Adam a.s. dan keturunannya dari menempuh jalan Allah yang lurus, iaitu jalan yang hak, Islam, keselamatan, hijrah, jihad jiwa dan jihad harta benda.

"17. Kemudian sungguh akan aku datangi mereka dari depan mereka," 

Syaitan mendatangi manusia dari semua arah tanpa kelihatan oleh mereka. Ia sentiasa menghalang mereka untuk sampai kepada jalan kebaikan, dan ia sentiasa menghiaskan jalan kejahatan di mata mereka.

Dari depan ertinya dari arah dunia mereka. Syaitan datang dari depan untuk meragukan mereka terhadap urusan akhirat mereka. Ia mengkhabarkan bahawa tidak ada kebangkitan, syurga dan neraka.

"dan dari belakang mereka," 

Dari belakang ertinya dari urusan akhirat mereka. Syaitan datang dari belakang untuk menghiasi urusan duniawi mereka dengan hiasan yang indah, mengajak mereka kepadanya dan menganjurkan mereka untuk memakainya, sehingga mereka menyukainya.

"dan dari kanan mereka," 

Dari kanan ertinya dari arah kebaikan-kebaikan mereka. Syaitan datang dari kanan untuk mengaburkan mereka terhadap urusan agama mereka (mendatangkan syubhat) menghalang-halangi mereka dari kebaikan-kebaikan itu dan membuat mereka menunda-nunda kebaikan.

"dan dari kiri mereka." 

Dari kiri ertinya dari arah kejahatan-kejahatan mereka. Syaitan datang dari kiri untuk menghiasi kejahatan dan maksiat hingga kelihatan indah, sehingga mereka tergiur dan senang kepada kemaksiatan (fitnah syahwat). Kemudian syaitan menyeru, mengajak dan memerintahkan mereka untuk melakukannya.

Namun syaitan tidak mampu mendatangi manusia dari atas kerana rahmat Allah diturunkan kepada manusia dari atas. Ia tidak mampu menghalang seseorang dari rahmat Allah.

Rasulullah s.a.w. selalu berdoa di waktu pagi dan petangnya,

"اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوَرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعاتي، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي وعن شمالي، ومن فَوْقِي، وأعوذ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي."

"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu keselamatan di dunia dan di akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu pemaafan dan keselamatan dalam agama, dunia, keluarga, dan harta bendaku. Ya Allah, tutupilah aurat-auratku dan amankanlah rasa takutku. Ya Allah, peliharalah aku dari arah depan, dari arah belakang, dari arah kanan, dari arah kiri, dan dari arah atasku. Dan aku berlindung kepada KebesaranMu, agar aku tidak diculik dari arah bawahku."

"Dan Engkau tidak mendapati kebanyakan mereka bersyukur." 

Ucapan iblis ini hanya semata-mata berlandaskan sangkaan dan ilusinya sendiri. Ia melihat manusia itu lemah dan mudah lalai. Ia akan menggunakan semua kemampuannya untuk menyesatkan manusia, sehingga kebanyakan manusia tidak menyembah Allah, tidak beriman kepadaNya, tidak mentauhidkanNya, tidak mengesakanNya dan tidak taat kepadaNya.

"18. Dia berfirman, "Keluarlah kamu darinya tercela terbuang.""

Allah s.w.t. mengukuhkan pengusiran iblis dari golongan makhluk yang tertinggi. Ia diusir dalam keadaan tercela, terhina, terkutuk, dimurkai, terbuang, terusir, dijauhkan dari rahmat Allah dan dari semua kebaikan.

"Sungguh siapa yang mengikuti kamu dari mereka, sungguh Aku akan penuhi Jahannam dari kalian semuanya."

Allah s.w.t. pasti akan memasukkan iblis, anak cucunya dan manusia yang mengikutinya ke dalam neraka Jahannam sebagai balasannya.

Sangkaan iblis itu telah menjadi kenyataan. Ia telah membuktikan kebenaran sangkaannya terhadap manusia. Manusia mengikutinya, kecuali sebahagian orang-orang yang beriman. Kerana itu kita diperintahkan agar berwaspada terhadap tipu daya iblis.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...