Selasa, 13 Mac 2018

37:100-113 Tafsir Surah As Saffat, ayat 100-113.

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ (١٠٠) فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلامٍ حَلِيمٍ (١٠١) فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ (١٠٢) فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ (١٠٣) وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَا إِبْرَاهِيمُ (١٠٤) قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ (١٠٥) إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْبَلاءُ الْمُبِينُ (١٠٦) وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ (١٠٧) وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الآخِرِينَ (١٠٨) سَلامٌ عَلَى إِبْرَاهِيمَ (١٠٩) كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ (١١٠) إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِين (١١١) وَبَشَّرْنَاهُ بِإِسْحَاقَ نَبِيًّا مِنَ الصَّالِحِينَ (١١٢) وَبَارَكْنَا عَلَيْهِ وَعَلَى إِسْحَاقَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِهِمَا مُحْسِنٌ وَظَالِمٌ لِنَفْسِهِ مُبِينٌ (١١٣)

Setelah Ibrahim a.s. selamat dari dibakar oleh kaumnya, Beliau berhijrah ke negeri yang suci, iaitu Syam. Beliau berdoa,

"100. Tuhanku, berilah kepadaku termasuk orang-orang yang soleh.”

Ibrahim a.s. memohon kepada Allah s.w.t. supaya menganugerahkan kepadanya anak-anak soleh dan taat sebagai ganti dari kaumnya dan kaum kerabatnya yang telah ditinggalkannya. Allah s.w.t. berfirman,

"101. Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang sabar."

Maka Allah s.w.t. memberikan khabar gembira kepada Ibrahim a.s. bahawa isterinya Hajar akan melahirkan seorang anak lelaki, iaitu Ismail a.s. Beliau disebut sebagai anak yang halim, ertinya sangat sabar, akhlaknya mulia, dadanya lapang dan suka memaafkan kesalahan orang.

Maka lahirlah Ismail a.s. Ketika itu Ibrahim a.s. berusia lapan puluh enam tahun. Beliau sangat mencintai anaknya, sedangkan Beliau adalah kekasih Allah, dan kekasih adalah kecintaan paling tinggi yang tidak menerima adanya keikutsertaan.

Ibrahim a.s. setiap waktu pergi melawat anaknya dan ibunya di negeri Faran, lalu melihat keadaan keduanya. Allah s.w.t. hendak membersihkan cinta Ibrahim a.s. dan menguji sejauh mana Beliau mencintaiNya.

"102. Maka ketika sampai bersamanya mampu berusaha,"

Ketika Ismail a.s. mencapai umur dewasa, mampu bepergian, bekerja dan berusaha sebagaimana yang dilakukan bapanya, Ibrahim a.s. bermimpi bahawa Beliau menyembelih anaknya Ismail a.s.

Mimpi para nabi adalah hak (benar) dan merupakan wahyu. Maka Ibrahim a.s. memberitahukannya kepada Ismail a.s.

"berkata, "Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam tidur bahawa aku menyembelih kamu. Maka perhatikanlah apa pendapatmu."

Ibrahim a.s. memberitahukan mimpinya itu kepada Ismail a.s. agar Beliau tidak terkejut dengan perintah itu, juga untuk menguji kesabaran, keteguhan dan keyakinannya sejak usia dini terhadap ketaatan kepada Allah s.w.t.

Ibrahim a.s. bermusyawarah dengan Ismail a.s. agar Beliau memikirkan pendapatnya, dapat menerima dan tunduk kepada perintah itu. Maka Ismail a.s. menjawab,

"Berkata, "Wahai bapaku, kerjakan apa yang kamu diperintahkan; akan kamu dapati aku insya Allah termasuk orang-orang yang sabar.”"

Ismail a.s. memberitahukan supaya Ibrahim a.s. melaksanakan perintah menyembelihnya. Beliau sedia bersabar dan rela menerimanya demi pahala Allah s.w.t., mencari keridhaanNya dan berbakti kepada kedua orang tuanya.

Beliau sertakan kalimah insya Allah, kerana setiap sesuatu hanya terjadi apabila Allah s.w.t. menghendakinya terjadi. Memang benar Ismail a.s. sentiasa menepati apa yang dijanjikannya.

"103. Maka ketika keduanya berserah diri dan dia membaringkannya di atas kening."

Ibrahim a.s. dan Ismail a.s. berserah diri, tunduk dan patuh kepada perintah Allah. Keduanya mengerjakan perintah Allah s.w.t. sebagai rasa taat keduanya kepadaNya. Keduanya mengucapkan persaksian dan menyebut nama Allah untuk melakukan penyembelihan itu, iaitu persaksian (tasyahhud) untuk mati.

Ibrahim a.s. sudah bertekad menyembelih anaknya yang menjadi buah hatinya kerana memenuhi perintah Allah dan takut kepada siksaNya, sedangkan anaknya juga telah sedia untuk bersabar.

Ibrahim a.s. membaringkan dan mengalihkan muka Ismail a.s. dengan tujuan penyembelihan akan dilakukan pada tengkuknya dan agar Ibrahim a.s. tidak melihat wajahnya semasa menyembelihnya. Cara ini lebih meringankan bebannya. Nyatalah kesabaran keduanya.

Ibrahim a.s. menghiris pisaunya pada leher Ismail a.s., tetapi tidak dapat memotong sesuatu pun. Tiba-tiba ada suara yang menyeru Ibrahim a.s. dari arah belakang.

"104. Dan Kami panggil dia bahawa, "Wahai Ibrahim.""

"105. Sungguh kamu telah membenarkan mimpi."

Ibrahim a.s. mempercayai bahawa mimpi itu benar dari Allah s.w.t. dan bergegas melaksanakannya. Beliau benar-benar telah membaringkan anaknya untuk disembelih.

"Sesungguhnya Kami demikian itu membalas orang-orang yang berbuat baik."

Begitulah Allah s.w.t. memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dalam beribadah kepadaNya, taat kepadaNya dan mengutamakan keridhaanNya daripada keinginan hawa nafsunya. Dia palingkan hal-hal yang tidak disukai dan menyengsarakan dari mereka. Dia jadikan bagi mereka dalam urusannya jalan keluar dan kemudahan.

"106. Sesungguhnya ini benar-benar ia suatu ujian yang nyata."

Dengan ujian tersebut jelaslah kebersihan Ibrahim a.s., keteguhan dan kesabarannya dalam melaksanakan perintah Allah dan sempurnanya cintanya kepada Tuhannya. Ternyata Beliau lebih mengutamakan kecintaan Allah dan membelakangkan hawa nafsunya. Maka penyembelihan itu tidak ada lagi faedahnya.

"107. Dan Kami tebus dia dengan sembelihan yang besar."

Allah s.w.t. melarang Ibrahim a.s. dari menyembelih Ismail a.s. Untuk meneruskan korban, Allah menggantinya dengan seekor sembelihan. Maka Ibrahim a.s. menoleh ke belakang. Beliau nampak seekor kambing gibasy putih yang bertanduk lagi gemuk.

Maka Ibrahim a.s. menyembelih kambing itu. Peristiwa ini menjadi dasar disyariatkannya Qurban yang dilakukan pada hari raya haji. Sembelihan itu merupakan korban yang pertama dalam Islam. 

Kepala kambing itu digantungkan dengan kedua tanduknya di talang Ka'bah hingga kering. Kedua tanduk itu masih tetap tergantung di dalam Ka'bah hingga Ka'bah mengalami kebakaran dan keduanya ikut terbakar.

Kambing tersebut dikatakan ‘azhim (besar) kerana sebagai tebusan bagi Ismail, dan kerana dalam ibadah yang agung, iaitu ibadah korban, dan kerana ia menjadi sebuah sunnah yang berlaku sepanjang zaman sampai hari Kiamat.

"108. Dan Kami tinggalkan atasnya pada orang-orang yang kemudian.”

Allah s.w.t. abadikan untuk Ibrahim a.s. pujian yang baik di kalangan orang-orang yang datang kemudian iaitu,

"109. Kesejahteraan atas Ibrahim.”

Selamat sejahtera bagi Ibrahim a.s. Beliau rela dikucilkan oleh kaumnya kerana mencari keridhaan Allah, sampai Beliau berhijrah dan telah teruji keimanannya. Maka Allah s.w.t. membalas Beliau di dunia dan akhirat dengan balasan yang besar.

Di antara balasan yang Allah s.w.t. berikan untuknya di dunia adalah sepeninggalannya, Beliau dimuliakan, dipuji, disebut kebaikannya dan dikenang oleh manusia setelahnya sampai sekarang dan seterusnya.

"110. Demikianlah Kami balas orang-orang yang berbuat baik."

Begitulah Allah s.w.t. memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik, baik dalam beribadah maupun dalam bergaul dengan manusia, di mana Beliau berusaha memilih yang terbaik untuk mereka.

"111. Sungguh dia dari hamba-hamba Kami yang beriman."

Sesungguhnya Ibrahim a.s. termasuk hamba-hamba Allah yang beriman. Imannya telah mencapai darjat yakin.

"112. Dan Kami beri khabar gembira dia dengan Ishaq, seorang nabi termasuk orang-orang yang soleh."

Allah s.w.t. memberi khabar gembira kedua untuk Ibrahim a.s. bahawa akan lahir anaknya Ishaq a.s. dari isterinya Sarah. Kelak Ishaq a.s. akan menjadi seorang nabi yang soleh. Kemudian dari Ishaq a.s. akan lahir pula seorang putera yang diberi nama Ya'qub a.s.

Dengan demikian, Ibrahim a.s. mendapat keturunan dan cucu. Maka lahirlah Ishaq a.s. Ketika itu Ibrahim a.s. sembilan puluh sembilan tahun.

"113. Dan Kami berkahi atasnya dan atas Ishaq."

Allah s.w.t. limpahkan keberkatan atas Ibrahim a.s. dan Ishaq a.s. dengan menjadikan para nabi kebanyakan berasal dari keturunannya, bertambah ilmu, amal dan keturunan. Allah s.w.t. menyebarkan dari Ismail a.s. bangsa Arab dan dari Ishaq a.s. bangsa Bani Israil dan Romawi.

"Dan dari keturunan keduanya berbuat baik dan berbuat zalim terhadap dirinya sendiri yang nyata."

Di antara keturunan keduanya ada yang mukmin. Namun, tidak semuanya baik. Ada juga yang terang-terangan kafir.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...