Selasa, 20 Mac 2018

43:15-25 Tafsir Surah Az Zukhruf, ayat 15-25.

وَجَعَلُوا لَهُ مِنْ عِبَادِهِ جُزْءًا إِنَّ الإنْسَانَ لَكَفُورٌ مُبِينٌ (١٥) أَمِ اتَّخَذَ مِمَّا يَخْلُقُ بَنَاتٍ وَأَصْفَاكُمْ بِالْبَنِينَ (١٦) وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُمْ بِمَا ضَرَبَ لِلرَّحْمَنِ مَثَلا ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ (١٧) أَوَمَنْ يُنَشَّأُ فِي الْحِلْيَةِ وَهُوَ فِي الْخِصَامِ غَيْرُ مُبِينٍ (١٨) وَجَعَلُوا الْمَلائِكَةَ الَّذِينَ هُمْ عِبَادُ الرَّحْمَنِ إِنَاثًا أَشَهِدُوا خَلْقَهُمْ سَتُكْتَبُ شَهَادَتُهُمْ وَيُسْأَلُونَ (١٩) وَقَالُوا لَوْ شَاءَ الرَّحْمَنُ مَا عَبَدْنَاهُمْ مَا لَهُمْ بِذَلِكَ مِنْ عِلْمٍ إِنْ هُمْ إِلا يَخْرُصُونَ (٢٠) أَمْ آتَيْنَاهُمْ كِتَابًا مِنْ قَبْلِهِ فَهُمْ بِهِ مُسْتَمْسِكُونَ (٢١) بَلْ قَالُوا إِنَّا وَجَدْنَا آبَاءَنَا عَلَى أُمَّةٍ وَإِنَّا عَلَى آثَارِهِمْ مُهْتَدُونَ (٢٢) وَكَذَلِكَ مَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ فِي قَرْيَةٍ مِنْ نَذِيرٍ إِلا قَالَ مُتْرَفُوهَا إِنَّا وَجَدْنَا آبَاءَنَا عَلَى أُمَّةٍ وَإِنَّا عَلَى آثَارِهِمْ مُقْتَدُونَ (٢٣) قَالَ أَوَلَوْ جِئْتُكُمْ بِأَهْدَى مِمَّا وَجَدْتُمْ عَلَيْهِ آبَاءَكُمْ قَالُوا إِنَّا بِمَا أُرْسِلْتُمْ بِهِ كَافِرُونَ (٢٤) فَانْتَقَمْنَا مِنْهُمْ فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ (٢٥)

Allah s.w.t. berfirman mengingkari kedustaan dan kebohongan yang diada-adakan oleh orang-orang musyrik terhadapNya.

"15. Dan mereka menjadikan baginya sebahagian hamba-hambaNya bahagian." 

Mereka menganggap bahawa Allah beranak. Mereka mengatakan bahawa malaikat-malaikat itu adalah anak-anak perempuan Allah. Padahal malaikat itu sebahagian dari makhluk ciptaanNya. Hal tersebut adalah kebatilan yang paling batil.

Allah Maha Esa. Bergantung kepadaNya segala sesuatu. Dia tidak mempunyai isteri dan anak. Tidak ada yang setara denganNya. Makhluk semuanya adalah hambaNya, dan keadaan sebagai hamba menolak sebagai anak.

Anak merupakan bahagian dari bapanya, sedangkan Allah s.w.t. berbeda dengan makhlukNya. Berbeda sifatNya dan sifat-sifat kebesaranNya. Maka mustahil bagi Allah s.w.t. mempunyai anak.

"Sesungguhnya manusia itu benar-benar pengingkar yang nyata." 

Sesungguhnya manusia yang mengatakan seperti itu benar-benar pengingkar yang nyata terhadap rahmat dan nikmat Allah.

"16. Ataukah Dia mengambil dari apa yang Dia ciptakan anak perempuan dan Dia pilihkan kalian dengan anak lelaki?" 

Mereka menganggap bahawa Allah s.w.t. memilih anak-anak perempuan daripada anak lelaki. Mereka memperuntukkan atau menisbatkan bagi Allah s.w.t. bahagian yang paling rendah, paling buruk, paling hina dan paling mereka benci di antara keduanya, iaitu anak-anak perempuan.

Tidak patut Allah s.w.t. mengambil anak perempuan dari makhluk ciptaaanNya dan Dia memberikan atau mengkhususkan buat mereka anak lelaki. Tentulah pembahagian itu tidak adil. Mereka bukanlah lebih mulia dari Allah s.w.t. untuk membuat pembahagian itu.

"17. Dan apabila diberi khabar gembira salah seorang dari mereka dengan apa yang telah dijadikan bagi Ar Rahman sebagai misal, jadilah wajahnya hitam pekat, dan dia menahan marah." 

Padahal apabila salah seorang di antara mereka diberi khabar gembira dengan kelahiran anak perempuan, anak yang mereka jadikan perumpamaan, nisbatkan atau peruntukkan bagi Allah Yang Maha Pemurah, maka dia merasa benci dan tidak suka dengan hal tersebut.

Mereka menganggapnya sebagai suatu berita buruk. Mereka mengatakan bahawa anak perempuan itu bukanlah anak yang baik, pertolongannya adalah menangis, dan baktinya adalah mencuri.

Wajahnya berubah merah padam kerana sangat malu dan menjadi hitam pekat seakan-akan ditutupi awan hitam kerana sangat marah dan sedih. Lalu dia bersembunyi dari kaumnya. Mereka menolak hal itu, padahal mereka sendiri mengatakan bahawa Allah mempunyai anak perempuan.

"18. Dan apakah orang yang dibesarkan dalam perhiasan, dan dia dalam pertengkaran tidak nyata?" 

Perempuan merupakan bahagian yang paling rendah. Sifatnya memiliki kekurangan secara lahir dan batinnya, begitu juga dalam penampilan dan karakternya. Maka untuk menutupi kekurangannya, mereka diberikan perhiasan dan sebagainya sejak masih kecil.

Apabila bertengkar, ucapannya tidak dianggap. Mereka tidak mampu memberi alasan atau hujah yang tegas dan jelas, tidak fasih mengungkapkan isi hatinya, tidak termasuk ke dalam perhitungan dan tidak mempunyai peranan.

Bahkan mereka lemah dan kurang kemampuan untuk membela diri. Maka tidak patut orang yang demikian keadaannya dinisbatkan kepada Allah s.w.t.

"19. Dan mereka menjadikan malaikat yang mereka hamba-hamba Ar Rahman perempuan." 

Mereka menganggap dan berkeyakinan bahawa para malaikat, di mana mereka itu merupakan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pemurah itu sebagai jenis perempuan.

"Apakah mereka menyaksikan penciptaan mereka?" 

Mereka tidak menyaksikan penciptaan malaikat-malaikat itu saat diciptakan oleh Allah s.w.t., tetapi mereka berani berbicara terhadap sesuatu yang tidak mereka ketahui. Maka Allah s.w.t. mengancam keras perkataan mereka.

"Kelak akan ditulis kesaksian mereka dan mereka akan ditanya." 

Kelak akan dicatatkan persaksian mereka bahawa para malaikat adalah perempuan. Mereka akan ditanya dan dimintai pertanggung jawaban tentang hal tersebut kelak di hari kiamat. Mereka akan diberikan siksa sebagai balasan. Ini adalah janji yang pasti akan terjadi.

Mereka berani terhadap para malaikat yang didekatkan, mengangkat mereka (para malaikat) dari kedudukan sebagai hamba sebagai sekutu bagi Allah dalam sesuatu yang menjadi kekhususanNya. Mereka menyembah berhala-berhala yang dibentuk dalam rupa para malaikat.

"20. Dan mereka berkata, "Jika menghendaki Ar Rahman kami tidak menyembah mereka.""

Mereka berhujah bahawa jika Tuhan Yang Maha Pemurah menghendaki, tentulah mereka tidak menyembah malaikat. Tentulah Dia menghalang-halangi antara mereka dan penyembahan itu. Dia mengetahuinya, bererti Dia menyetujui perbuatan mereka.

Orang-orang musyrik sentiasa berhujah dengan qadar atau kehendak Allah, hujah yang batil dengan sendirinya secara akal maupun syara’. Semua orang yang berakal tidak akan menerima berhujah dengan qadar, dan jika tetap dilakukannya, maka pendiriannya tidak akan teguh.

Allah s.w.t. telah memberikan kekuasaan kepada mereka untuk memilih jalan yang benar dan jalan yang salah. Dia telah menegakkan hujjah dengan mengutus RasulNya untuk menerangkan jalan yang benar. Tetapi mereka memilih jalan yang salah dengan kesedaran mereka.

Adapun secara syara’ adalah kerana Allah s.w.t. membatalkan berhujah dengannya, Dia telah menegakkan hujah sehingga tidak ada hujah bagi seorang pun terhadapnya. Mereka melakukan berbagai macam kekeliruan.

"Bagi mereka tentang itu dari ilmu tidaklah mereka kecuali menduga-duga." 

Mereka tidak mempunyai ilmu atau pengetahuan sedikit pun yang membenarkan pendapat dan alasannya. Mereka tidak mengetahui kekuasaan Allah s.w.t. atas hal tersebut. Mereka menyembah selain Allah tanpa keterangan, tanpa dalil, tanpa alasan, tanpa izin dari Allah s.w.t.

Bahkan hanya semata-mata berdasarkan pendapat dan keinginan hawa nafsu mereka sendiri. Mereka hanyalah menduga-duga, berpendapat, beralasan, berdusta dan membuat-buat kedustaan.

Alasan mereka yang mengatakan bahawa penyembahan mereka kepada berhala-berhala itu merupakan suatu hal yang disahkan oleh takdir, padahal kenyataannya mereka tidak beralasan, bahkan terjerumus ke dalam kebodohan yang parah.

"21. Ataukah Kami berikan pada mereka sebuah kitab sebelumnya, lalu mereka kepadanya berpegang teguh?" 

Sebelum mereka mempersekutukan Allah s.w.t. dan sebelum diutus Nabi Muhammad s.a.w. bersama Al Qur’an, Allah s.w.t. tidak pernah mengutus kepada mereka pemberi peringatan bersama kitab yang menjadi pegangan, dasar dan memberitakan benarnya perbuatan dan ucapan mereka.

Sejak Allah s.w.t. mengutus para rasul dan menurunkan kitab-kitabNya, sentiasa memerintahkan kepada manusia untuk menyembah Dia semata, tiada sekutu bagiNya. Dan Dia melarang penyembahan kepada selainNya. Akal dan naql (kitab) tidak membenarkan perbuatan mereka. Tidak ada lagi setelahnya selain kebatilan.

"22. Bahkan mereka berkata, "Sungguh kami mendapati bapa-bapa kami atas umat,""

Sebenarnya mereka tidak mempunyai dasar. Mereka hanya mempunyai alasan yang bukan hujah. Ia adalah syubhat yang paling lemah, iaitu mengikuti jejak, perbuatan atau agama yang dianuti oleh nenek moyang mereka yang tersesat di lembah kejahiliahan.

"dan sungguh kami atas bekas-bekas mereka di beri petunjuk." 

Tanpa dalil atau bukti, mereka mengaku bahawa mereka telah mendapat petunjuk dengan mengikuti jejak atau perbuatan nenek moyang mereka.

"23. Dan demikianlah Kami tidak mengutus sebelun kamu dalam suatu negeri dari pemberi peringatan, kecuali berkata orang-orang yang mewah hidupnya, "Sungguh kami mendapati bapa-bapa kami atas umat dan sungguh kami atas jejak-jejak mereka pengikut.""

Mereka bukanlah orang pertama yang menolak rasul dengan alasan mengikuti nenek moyang, dan mereka bukanlah orang yang pertama mengucapkan kata-kata itu. Orang-orang kafir sejak dulu biasa menolak rasul kerana alasan mengikuti nenek moyang. Hati dan perkataan mereka semua sama.

Setiap kali Allah s.w.t. mengutus para rasulNya sebagai pemberi peringatan di suatu negeri, orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata bahawa mereka hanyalah mengikuti agama nenek moyang mereka.

Hujah mereka mengikuti nenek moyang mereka bukanlah bertujuan mengikuti yang hak dan petunjuk, ia hanyalah sebatas fanatik yang bermaksud membela kebatilan mereka. Rasul itu bertanya kepada orang-orang musyrik yang ada di masanya.

"24. Dia berkata, "Apakah sekalipun aku datang kepada kalian dengan yang lebih memberikan petunjuk dari apa yang kalian dapati atasnya bapa-bapa kalian?""

Adakah kalian akan mengikutinya juga walaupun aku membawa untuk kalian agama yang lebih baik dan lebih nyata memberi petunjuk daripada apa yang kalian dapati dari agama yang dianut nenek moyang kalian?

"Mereka berkata, "Sungguh kami terhadap apa yang kalian diutus dengannya ingkar.""

Mereka tetap mengingkari agama yang rasul diperintahkan untuk menyampaikannya. Mereka tidak ingin mengikuti yang hak dan petunjuk, maksud mereka adalah mengikuti yang batil dan hawa nafsu.

Seandainya mereka mengetahui dengan yakin kebenaran dari apa yang disampaikan oleh rasul itu kepada mereka, nescaya mereka tetap tidak mahu mengikutinya, kerana sejak mula lagi niat mereka sudah buruk dan sifat mereka yang takabur terhadap perkara yang hak dan para penganutnya.

"25. Maka Kami siksa di antara mereka," 

Maka Allah s.w.t. binasakan mereka dengan berbagai macam azab kerana pendustaan mereka terhadap yang hak dan penolakan mereka kepadanya dengan syubhat yang batil ini. Sebagaimana kisah-kisahnya dijelaskan oleh Allah s.w.t.

"maka perhatikanlah bagaimana ada kesudahan orang-orang yang mendustakan." 

Orang-orang yang mendustakan kebenaran itu telah dilenyapkan dan dibinasakanNya. Sedangkan orang-orang yang beriman diselamatkanNya. Oleh kerana itu, hendaknya mereka ini takut jika terus menerus mendustakan akan ditimpa hal yang sama seperti yang menimpa generasi sebelum mereka.

Mahasuci lagi Mahatinggi Allah s.w.t. dengan ketinggian yang setinggi-tingginya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...