Ahad, 29 April 2018

10:24-25 Tafsir Surah Yunus, ayat 24-25.

إِنَّمَا مَثَلُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا كَمَاءٍ أَنْزَلْنَاهُ مِنَ السَّمَاءِ فَاخْتَلَطَ بِهِ نَبَاتُ الأرْضِ مِمَّا يَأْكُلُ النَّاسُ وَالأنْعَامُ حَتَّى إِذَا أَخَذَتِ الأرْضُ زُخْرُفَهَا وَازَّيَّنَتْ وَظَنَّ أَهْلُهَا أَنَّهُمْ قَادِرُونَ عَلَيْهَا أَتَاهَا أَمْرُنَا لَيْلا أَوْ نَهَارًا فَجَعَلْنَاهَا حَصِيدًا كَأَنْ لَمْ تَغْنَ بِالأمْسِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الآيَاتِ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (٢٤) وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَى دَارِ السَّلامِ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (٢٥)

Allah s.w.t. berfirman membuat perumpamaan tentang bunga kehidupan dunia, perhiasannya dan kefanaannya yang cepat.

"24. Sungguh hanyalah perumpamaan kehidupan dunia seperti air Kami menurunkannya dari langit, maka bercampur dengannya tumbuh-tumbuhan bumi dari apa yang memakan manusia dan binatang ternak."

Sesungguhnya sifat kehidupan duniawi itu adalah seperti air hujan, lalu tumbuhlah tanam-tanaman dari bumi dengan suburnya kerana air hujan itu. Di antaranya, ada yang dimakan oleh manusia seperti beras, gandum dan sebagainya. Ada yang dimakan oleh haiwan seperti rerumputan lalang dan sebagainya.

"Sampai apabila mengambil bumi keindahannya, dan berhias,"

Bumi itu telah sempurna keindahannya, iaitu perhiasannya yang fana telah sempurna. Gunung-gunung dan lembah-lembahnya telah menghijau dengan tanam-tanamannya, dihiasi dengan bunga-bungaan yang aneka ragam warna dan bentuknya, indah dipandang mata dan menyegarkan jiwa.

"dan mengira penghuninya bahawasanya mereka berkuasa atasnya,"

Para pemiliknya menyangka bahawa mereka pasti menguasasinya, iaitu menuai dan memetik hasilnya. Mereka semakin berharap bahawa kenikmatan itu akan berkekalan kerana keinginan mereka yang hanya terbatas kepadanya dan harapan mereka yang sampai di sana.

"datang kepadanya perintah Kami malam atau siang,"

Ketika mereka dalam keadaan seperti itu, tiba-tiba datanglah kepadanya Qadha’, keputusan atau azab Allah pada waktu malam atau siang. Sa'iqah atau angin kencang yang sangat dingin datang sehingga dedaunannya menjadi kering dan buahnya membusuk.

"maka Kami menjadikannya tanaman yang sudah disabit, seakan-akan belum pernah tumbuh kemarin."

Allah s.w.t. jadikan tanamannya yang segar lagi hijau menjadi kering, seperti tanaman yang sudah disabit, seakan-akan tidak pernah tumbuh sebelum itu. Maka tangannya pun kosong dan hatinya pun penuh rasa sedih. Begitulah keadaan dunia dan semua urusan sesudah kehancurannya, maka akan kelihatan seperti tidak pernah ada.

Disebutkan di dalam sebuah hadis, "(Kelak di hari kiamat) didatangkan seorang penghuni dunia yang paling senang, lalu dia dicelupkan ke dalam neraka sekali celup, kemudian dikatakan kepadanya, "Apakah kamu pernah mengalami suatu kebaikan? Dan apakah kamu pernah mengalami suatu kesenangan?” Maka ia menjawab, "Tidak.” Lalu didatangkan seorang yang paling sengsara di dunia, kemudian dia dimasukkan ke dalam kehidupan yang penuh dengan kenikmatan (syurga) sekali masuk. Sesudah itu dikatakan kepadanya, "Apakah kamu pernah mengalami suatu kesengsaraan?” Maka dia menjawab, "Tidak.”"

"Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat bagi kaum berfikir."

Begitulah caranya Allah s.w.t. menerangkan bukti-bukti, dalil-dalil dan tanda-tanda kekuasaanNya, memudahkannya untuk difahami dan dicerna kepada orang-orang yang berfikir, iaitu orang-orang yang mahu menggunakan akal fikirannya dan mengambil pelajaran dari perumpamaan ini untuk hal yang bermanfaat baginya.

Adapun orang yang lalai lagi berpaling, maka penjelasan ayat-ayat itu tidak bermanfaat bagi mereka dan tidak menyingkirkan keraguan mereka. Mereka teperdaya oleh dunia, merasa yakin dan pasti dapat memetik hasilnya pada waktunya, tetapi akhirnya dunia luput dari mereka dengan cepat.

Sesungguhnya watak dunia itu sentiasa lari dari orang yang memburunya dan sentiasa memburu orang yang menghindarinya. Maka utamakanlah kehidupan akhirat kalian.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiada suatu hari pun yang matahari terbit padanya, melainkan pada kedua sisinya terdapat dua malaikat, kedua-duanya menyerukan kalimat berikut yang seruannya dapat didengar oleh semua makhluk Allah kecuali manusia dan jin iaitu, "Wahai manusia, kemarilah kepada Tuhan kalian. Sesungguhnya sesuatu yang sedikit tetapi mencukupi adalah lebih baik daripada sesuatu yang banyak tetapi melalaikan (kalian kepada Allah).”"

"25. Dan Allah menyeru kepada Darussalam dan memberi petunjuk orang yang Dia kehendaki kepada jalan yang lurus."

Dengan keadilan dan kebijaksanaanNya, Dia menyeru seluruh manusia ke tempat yang penuh kedamaian dan keselamatan, tempat yang bersih atau aman dari semua penyakit, kekurangan dan musibah, iaitu syurga. Kenikmatan, kesempurnaan, kekekalan dan keindahannya sempurna di atas segala sesuatu. Untuk mendapatkannya hendaklah mereka semua beriman.

Namun hidayahNya hanya diberikan kepada orang yang Dia kehendaki, inilah ihsan dan kurniaNya; Dia khususkan rahmatNya kepada yang Dia kehendaki. Dia memberikan petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki ke jalan yang lurus, iaitu Islam.

Perumpamaan Rasulullah s.a.w. dan umatnya sama dengan seorang raja yang menempati sebuah istana, lalu dia membina sebuah rumah di dalamnya dan mengadakan pesta jamuan di dalamnya, lalu dia mengutus seorang utusan untuk memanggil orang ramai menghadiri jamuannya.

Maka di antara mereka ada yang memenuhi undangan utusannya, dan di antara mereka ada juga yang tidak memenuhinya. Raja itu adalah perumpamaan Allah, istana itu perumpamaan Islam, rumah itu perumpamaan syurga, dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah perumpamaan utusan itu.

Barang siapa yang memenuhi undangannya, nescaya masuk Islam; dan barang siapa masuk Islam, pasti masuk syurga; dan barang siapa masuk syurga, pasti memakan makanan yang ada di dalamnya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...