Sabtu, 28 April 2018

9:36-37 Tafsir Surah At Taubah, ayat 36-37.

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ (٣٦) إِنَّمَا النَّسِيءُ زِيَادَةٌ فِي الْكُفْرِ يُضَلُّ بِهِ الَّذِينَ كَفَرُوا يُحِلُّونَهُ عَامًا وَيُحَرِّمُونَهُ عَامًا لِيُوَاطِئُوا عِدَّةَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ فَيُحِلُّوا مَا حَرَّمَ اللَّهُ زُيِّنَ لَهُمْ سُوءُ أَعْمَالِهِمْ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ (٣٧)

Allah s.w.t. berfirman,

"36. Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah pada hari Dia menciptakan langit dan bumi," 

Sesungguhnya jumlah bulan menurut Allah dalam qadha’ dan qadarNya, iaitu dalam ketetapan qadari (ketentuan sejak zaman azali)Nya ialah dua belas bulan. DiperjalankanNya malam dan siang serta ditentukan waktu-waktunya lalu dibahagiNya menjadi dua belas bulan iaitu Muharam, Safar, Rabi'ul Awaal, Rabi'ul Akhir, Jamadil Awwal, Jamadil Akhir, Rajab, Sya'ban, Ramadan, Syawwal, Zul Qa'dah dan Zul Hijjah.

Rasulullah s.a.w. berkhutbah dalam haji wada'nya di Mina pada pertengahan hari-hari Tasyriq dalam bulan Zul Hijjah. Antara lain Beliau s.a.w. bersabda, "Ingatlah, sesungguhnya zaman telah berputar seperti keadaannya sejak hari Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri atas dua belas bulan, empat bulan di antaranya adalah bulan-bulan haram (suci); tiga di antaranya berturut-turut, iaitu Zul Qa'dah, Zul Hijjah, dan Muharram; yang lainnya ialah Rajab Mudar, yang terletak di antara bulan Jumada (Jumadil Akhir) dan Sya’ban.

Ini merupakan taqrir (pengakuan) dari Beliau s.a.w. dan sebagai pengukuhan terhadap urusan itu sesuai dengan apa yang telah dijadikan oleh Allah s.w.t. Keadaan zaman pada hari ini tetap berputar dan sama keadaannya, sebagai suatu ketetapan dariNya sejak Dia menciptakan langit dan bumi, tanpa mendahulukan, menangguh-nangguhkan dan mengganti.

"di antaranya empat yang dihormati." 

Di dalam dua belas bulan itu, ada empat bulan Haram atau bulan yang dihormati, iaitu bulan Rajab, Zul Qa'dah, Zul Hijjah dan Muharram. Bulan-bulan ini dinamakan bulan Haram (suci) untuk memperkuatkan dan mengagungkan kesuciannya.

Rasulullah s.a.w. mengidafahkan (mengaitkan) Rajab dengan Mudar, untuk membenarkan perkataan orang-orang Mudar, bahawa bulan Rajab terletak di antara bulan Jumada dan Sya'ban. Bukan seperti yang disangka oleh orang-orang Rabi'ah bahawa bulan Rajab terletak di antara bulan Sya'ban dan Syawwal, iaitu Ramadan sekarang. Maka Rajab sebenar adalah Rajab Mudar, bukan Rajab Rabi'ah.

Bulan Zul Qa'dah diharamkan agar mereka dapat berehat dari berperang. Zul Hijjah diharamkan agar mereka dapat menunaikan ibadah haji dan sibuk dengan penunaian manasiknya. Muharram diharamkan agar orang-orang yang telah menunaikan haji pulang ke negerinya yang jauh dalam keadaan aman.

Di pertengahan tahun, Rajab diharamkan agar mereka dapat menziarahi Baitullah dan melakukan ibadah umrah padanya. Bagi orang yang datang dari daerah yang jauh dari Jazirah Arabia, maka mereka dapat menunaikan ibadah umrahnya dan kembali ke negerinya masing-masing dalam keadaan aman.

Perkara mengenai bilangan bulan-bulan itu dan pengharaman sebahagian darinya adalah sesuai dengan apa yang telah disebutkan di dalam ketetapan Allah, baik bilangannya maupun urutannya.

"Demikian itu agama yang lurus," 

Itulah ketetapan atau syariat yang lurus yang mesti diikuti demi mengerjakan perintah Allah sehubungan dengan bulan-bulan Haram yang dijadikanNya sesuai dengan apa yang telah ditetapkanNya di dalam ketetapanNya sejak dahulu.

"maka janganlah kalian menganiaya di dalamnya diri kalian" 

Janganlah kalian menzalimi diri kalian sendiri dalam semua bulan, terutamanya dalam empat bulan Haram itu. Hormatilah kesuciannya. Janganlah kalian melanggar kehormatan bulan-bulan Haram itu dengan mengerjakan perbuatan yang dilarang atau melakukan maksiat.

Dosa dan hukuman perbuatan dosa dalam bulan-bulan Haram itu jauh lebih berat daripada bulan-bulan lainnya. Begitu juga pahala amal soleh yang dilakukan dalam bulan-bulan Haram itu. Ia juga jauh lebih besar daripada dalam bulan-bulan lainnya.

Allah s.w.t. lebih memperbesar urusanNya sesuai dengan apa yang dikehendakiNya. Agungkanlah apa yang diagungkan oleh Allah, kerana sesungguhnya pengagungan itu hanyalah kepada apa yang diagungkan oleh Allah.

Termasuk di antara yang terlarang di dalam bulan-bulan Haram itu adalah berperang. Namun, di antara ulama ada yang berpendapat bahawa keharaman berperang pada bulan-bulan itu sudah mansukh.

"dan perangilah orang-orang yang musyrik seluruhnya sebagaiman mereka memerangi kalian seluruhnya;"

Perangilah oleh kalian semua orang musyrik itu sebagaimana mereka semua memerangi kalian walaupun dalam bulan-bulan Haram, jika mereka yang memulainya. Himpunkanlah kekuatan kalian untuk memerangi mereka sebagaimana mereka menghimpun kekuatan mereka untuk memerangi kalian.

"dan ketahuilah bahawasanya Allah bersama orang-orang yang bertakwa."

Allah s.w.t. sentiasa memberikan pertolongan dan bantuan orang-orang yang bertakwa. Tetaplah bertakwa kepada Allah baik dalam keadaan sembunyi-sembunyi maupun terang-terangan, terutamanya ketika memerangi orang-orang kafir.

Janganlah kalian mengubah keharaman bulan-bulan Haram itu menjadi halal, dan janganlah kalian menghalalkan keharamannya seperti yang pernah dilakukan oleh sebahagian besar orang-orang Arab di masa silam yang bodoh dan musyrik.

Mereka sering menangguh-nangguhkan bulan-bulan Haram ini. Dengan kekuatan, kefanatikan, keberanian dan kekerasan hati mereka, mereka berani melanggar kesucian bulan-bulan Haram untuk berperang.

Selama bertahun-tahun, kebanyakan ibadah haji mereka dilakukan di luar bulan Zul Hijjah. Adapun golongan Al Basal, mereka mengharamkan lapan bulan dari setiap tahunnya kerana rasa fanatik dan pengetatan hukum atas diri mereka.

Allah s.w.t. berfirman mencela orang-orang musyrik kerana perbuatan mereka,

"37. Sesungguhnya pengunduran menambah dalam kekafiran, disesatkan dengannya orang-orang yang kafir," 

Sesungguhnya nasi’ (mengundurkan atau menangguhkan bulan Haram) yang biasa mereka lakukan itu merupakan penambahan kekafiran mereka kerana kufurnya mereka kepada hukum Allah s.w.t.

Mereka dengan sesuka hati mengubah syariat Allah dengan pendapat-pendapat mereka yang rosak. Mereka berani mengubah hukum-hukum Allah dengan hawa nafsu mereka. Kerana perbuatan nasi' itulah orang-orang yang kafir disesatkan.

"mereka menghalalkannya suatu tahun dan mengharamkannya tahun yang lain, agar mereka menyesuaikan bilangan apa yang Allah haramkan," 

Mereka berani menghalalkan bulan Haram dan mengharamkan bulan Halal. Adakalanya mereka menghalalkan bulan Muharram dan mengganti keharaman itu pada bulan Safar. Adakalanya mereka membiarkan keharaman bulan Muharram sehingga bulan Safar.

Adakalanya mereka mengharamkan tiga bulan saja, sedangkan pada tahun berikutnya mereka mengharamkan lima bulan. Mereka melakukan demikian untuk mencukupkan bilangan empat bulan yang diharamkan oleh Allah s.w.t.

Rasullah s.a.w. bersabda, "Dan sesungguhnya perbuatan menangguh-nangguhkan bulan Haram itu termasuk perbuatan syaitan, menambah kekafiran, disesatkan orang-orang yang kafir dengan mengundur-undurkan itu; mereka menghalalkannya pada suatu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain."

Orang yang mula-mula melakukan nasi' adalah Al Qalmas (Huzaifah ibnu Abdu Faqim). Kemudian diganti oleh anaknya, Abbad. Kemudian diganti oleh anaknya, Qala'. Kemudian diganti oleh anaknya, Umayyah. Kemudian diganti oleh anaknya, Auf. Kemudian diganti oleh anaknya, Abu Sumamah (Junadah ibnu Auf). Di masanya berdirilah agama Islam.

"maka mereka menghalalkan apa yang Allah haramkan." 

Mereka telah mengubah agama, memalsukan ajaran Allah dan melakukan tipuan serta helah (cari kesempatan) dalam agama Allah. Mereka berani menghalalkan apa yang diharamkan Allah. Demikian itu merupakan perkara bid’ah, dan mereka menjadikannya sebagai agama, padahal Allah dan RasulNya berlepas diri daripadanya.

"Dihiasi bagi mereka keburukan perbuatan mereka." 

Syaitan menjadikan mereka merasa indah atau memandang baik perbuatan mereka yang buruk itu. Kebiasaan melanggar syariat jika terus menerus dilakukan, maka keburukannya akan hilang dari jiwa dan akan berganti menjadi indah.

"Dan Allah tidak memberi petunjuk kaum yang kafir."

Allah s.w.t. tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang dalam hatinya sudah tercelup oleh kekafiran dan sikap mendustakan. Oleh kerana itu setiap kali datang kepada mereka ayat Allah, mereka tidak juga beriman. Kerana perbuatan nasi' itu, tata tertib di Jazirah Arab menjadi kacau dan lalu lintas perdagangan terganggu.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...