Selasa, 24 April 2018

7:175-178 Tafsir Surah Al A’raf, ayat 175-178.

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ الَّذِي آتَيْنَاهُ آيَاتِنَا فَانْسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ الشَّيْطَانُ فَكَانَ مِنَ الْغَاوِينَ (١٧٥) وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَاهُ بِهَا وَلَكِنَّهُ أَخْلَدَ إِلَى الأرْضِ وَاتَّبَعَ هَوَاهُ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِنْ تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَثْ ذَلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ (١٧٦) سَاءَ مَثَلا الْقَوْمُ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَأَنْفُسَهُمْ كَانُوا يَظْلِمُونَ (١٧٧) مَنْ يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِي وَمَنْ يُضْلِلْ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ (١٧٨)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"175. Dan bacakanlah atas mereka berita orang yang Kami telah memberikan kepadanya ayat-ayat Kami,"

Ceritakanlah kepada Bani Israil kisah Bal’am ibnu Ba’ura, seorang ulama’ yang juga Wali Allah dari kalangan Bani Israil yang hidup di zaman Musa a.s. Dia adalah salah seorang yang diberi ilmu tentang isi Al Kitab. Setiap kali menyampaikan kuliah, seramai dua belas ribu ulama’ menimba ilmu agama darinya.

Bal'am terkenal sebagai orang yang sangat mustajab doanya. Allah s.w.t. mengurniakannya nikmat, iaitu Ismul A’zam (Nama Allah Yang Paling Agung). Ismul A'zam adalah suatu doa yang apabila dipanjatkan untuk memohon sesuatu, nescaya segera dikabulkan. Maka mereka datang kepadanya di saat-saat kesulitan.

Musa a.s. bersama pasukan kaum Bani Israil berangkat menuju negeri tempat Bal'am tinggal. Penduduk negeri tersebut sangat takut dan gentar terhadap Musa a.s. Mereka meminta Bal'am mendoakan kehancuran Musa a.s. dan bala tenteranya.

Bal'am menjawab bahawa Nabi Allah ditemani oleh para malaikat dan orang-orang mukmin, jika dia mendoakan untuk kehancuran mereka, sedangkan Allah tidak akan menyukai hal itu, nescaya akan lenyaplah dunia dan akhiratnya.

"maka dia melepaskan diri darinya,"

Sepatutnya orang yang diberi ilmu tentang ayat-ayat Allah memberikan sokongan kepada kebenaran, namun dia melepaskan diri dari ayat-ayat Allah dan menentang kebenaran. Nikmat Allah yang telah dikurniakan kepadanya telah disalahgunakan.

"lalu mengikutinya syaitan, maka dia termasuk orang-orang yang sesat."

Syaitan mengikutinya sampai dia tergoda, menguasai dirinya dan urusannya. Apabila syaitan menganjurkan sesuatu kepadanya, dia langsung mengerjakan dan menaatinya. Padahal dia sebelumnya telah mendapat petunjuk.

Maka Allah s.w.t. menjadikan Bal'am termasuk orang-orang yang binasa, bingung, sesat dan dijauhkan dari rahmatNya. Begitulah orang yang dibiarkan Allah dan diserahkan kepada dirinya sendiri.

"176. Dan kalau Kami menghendaki, nescaya Kami tinggikannya dengannya,"

Sekiranya Allah menghendaki, nescaya Dia memberi Bal'am taufiq untuk beramal sehingga tinggi darjatnya di dunia dan di akhirat, diangkat dari pencemaran kekotoran duniawi dan dapat membentengi dirinya dari musuh-musuhnya dengan ayat-ayat yang telah diberikan kepadanya.

"akan tetapi dia cenderung kepada dunia dan mengikuti hawa nafsunya,"

Tetapi dia teperdaya dan lebih menyukai perhiasan, kegemerlapan, kesenangan, kelazatan, kenikmatan dan pujuk rayu duniawi sebagaimana teperdayanya orang-orang yang tidak mempunyai pandangan hati dan akal. Dia mengikuti keinginannya yang rendah dan meninggalkan ketaatan kepada Tuhannya. Maka dia dibiarkan dan direndahkan oleh Allah s.w.t.

Mereka memberikan suatu hadiah kepada Bal'am dan Bal'am menerimanya. Mereka terus mendesaknya hingga akhirnya Bal'am menuruti permintaan mereka.

Setiap kali Bal'am mendoakan keburukan untuk Musa a.s. dan pasukannya, Allah memalingkan lisannya hingga dia mendoakan keburukan bagi kaumnya. Setiap kali Bal'am mendoakan kebaikan buat kaumnya, Allah memalingkan lisannya hingga dia mendoakan kebaikan buat Bani Israil.

Kaumnya menegurnya bahawa Bal'am mendoakan kekalahan mereka dan kemenangan Bani Israil. Bal'am menjawab bahawa dia tidak menguasai hal itu, ia adalah sesuatu yang telah ditakdirkan oleh Allah. Doa keburukan buat Musa a.s. dan pengikutnya tidak dikabulkan.

"maka perumpamaannya seperti perumpamaan anjing, jika kamu menghalau atasnya ia menghulurkan lidah, atau kamu membiarkannya ia menghulurkan lidah."

Allah s.w.t. melucuti apa yang ada pada diri Bal'am. Maka ketika itu lidahnya terjelir sampai ke dadanya sebagaimana menjelirnya anjing. Lenyaplah darinya dunia dan akhiratnya. Lalu dia diserupakan dengan anjing yang sentiasa menjulurkan lidahnya, jika diherdik menjulurkan lidahnya dan jika dibiarkan tetap menjulurkan lidahnya.

Menurut pendapat lain, kesesatan dan kecenderungannya yang sangat kepada dunia seperti anjing, jika diherdik atau dibiarkan, ia sentiasa menjulurkan lidahnya dan hina dalam setiap keadaan tanpa ada perubahan. Sama saja bagi Bal'am dalam kedua keadaan tersebut.

Begitulah keadaan Bal'am, dia tidak memanfaatkan pelajaran dan doanya untuk tujuan keimanan; perihalnya sama dengan orang yang tidak memilikinya. Begitu juga dengan setiap orang yang mengetahui al Qur’an tetapi tidak beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya.

Menurut pendapat lain lagi, kalbu orang kafir, orang munafik dan orang yang sesat kosong dari hidayah, hatinya penuh dengan penyakit yang tak tidak dapat diubati. Kemudian pengertian ini diungkapkan ke dalam ungkapan itu.

Bal'am melancarkan tipu muslihat dan kilah yang jahat untuk kepentingan kaumnya. Dia memerintahkan kaumnya mengirimkan wanita-wanita mereka ke perkemahan pasukan Bani Israil untuk melakukan jual beli dan tidak menolak apabila diajak berzina. Jika ada seseorang dari Bani Israil berzina, mereka pasti akan binasa.

Kaum Bal'am melakukan apa yang telah diperintahkan. Sebahagian besar dari Bani Israil terjerumus dalam perbuatan zina. Maka Allah s.w.t. mengirimkan penyakit ta'un kepada kaum Bani Israil, sehingga tujuh puluh ribu orang dari mereka mati kerananya.

"Demikianlah perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami."

Begitulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah s.w.t. Bal’am tersungkur di pintu syurga kerana diperdaya oleh syaitan walaupun dia berilmu tinggi. Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.

"Maka ceritakanlah kisah-kisah agar mereka berfikir."

Ceritakanlah kepada Bani Israil (di masa Nabi s.a.w.) kisah Bal'am itu agar mereka mengetahui apa yang telah menimpanyanya, lalu mereka berfikir sehingga membuat mereka beriman. Hendaklah mereka berwaspada supaya tidak terjerumus ke dalam perbuatan yang serupa.

Hendaklah orang-orang berilmu mengamalkan ilmu yang dimilikinya. Darjatnya ditinggikan dan dilindungi dari syaitan. Jika mereka meninggalkannya, kedudukannya direndahkan dan syaitan akan menguasai dirinya. Mengutamakan dunia dan mengikuti hawa nafsu merupakan sebab dibiarkan oleh Allah s.w.t.

Sesungguhnya Allah telah memberikan ilmu kepada Bani Israil di masa Nabi s.a.w. dan membedakan mereka dengan orang-orang Arab. Allah telah menjadikan mereka memiliki pengetahuan tentang sifat Nabi Muhammad s.a.w. melalui kitab yang ada pada mereka.

Mereka mengenalnya sebagaimana mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Maka merekalah yang paling berhak dan paling utama untuk mengikuti, membantu dan menolong Nabi s.a.w., seperti yang telah diberitakan dan diperintahkan kepada mereka oleh nabi-nabi mereka.

Kerana itu Bani Israil yang menentang apa yang ada di dalam kitab mereka, lalu menyembunyikannya, sehingga hamba-hamba Allah yang lain tidak mengetahuinya, maka Allah menimpakan kepada mereka kehinaan di dunia yang berterusan hingga ke akhirat.

"177. Amat buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami,"

Seburuk-buruknya perumpamaan adalah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah. Mereka mengetahui ayat-ayat Allah tetapi sanggup menggadaikannya, menyimpang dari jalur ilmu dan jalan petunjuk, lalu mengejar kemahuan hawa nafsu dan berahinya sehingga tidak mampu mengawal dirinya. Mereka mengambil rasuah dalam agama.

Harta, pangkat, kedudukan dan wang ringgit yang mereka ambil daripada penguasa yang zalim hanyalah sedikit. Semua itu tidak bernilai sedikit pun di sisi Allah. Maka mereka menjadi golongan yang paling hina kerana menyembunyikan kebenaran Al Qur’an.

Maka mereka seperti anjing yang sentiasa menjelir lidah. Tidak ada yang dikejar oleh anjing selain mencari makanan dan menyalurkan nafsu syahwat. Seburuk-buruk perumpamaan ialah yang diserupakan dengan anjing.

Nabi s.a.w. bersabda, "Tiada pada kami suatu perumpamaan yang lebih buruk daripada perumpamaan seseorang yang mencabut kembali hibahnya, perumpamaannya sama dengan anjing, yang memakan kembali muntahnya."

"dan terhadap diri mereka, mereka berbuat zalim."

Allah s.w.t. tidak menganiaya mereka, tetapi mereka sendirilah yang menganiaya dirinya sendiri kerana berpaling dari mengikuti jalan hidayah dan taat kepada Tuhan, lalu cenderung kepada keduniawian yang fana dan mengejar kelazatan serta kemahuan hawa nafsu.

"178. Barang siapa yang Allah beri petunjuk, maka dia orang yang mendapat petunjuk;"

Barang siapa yang mengutamakan hidayah Allah, maka Allah akan memberinya taufik kepada semua kebaikan, menjaganya dari keburukan dan memberinya ilmu tentang apa yang sebelumnya tidak diketahuinya. Dialah orang yang mendapat petunjuk. Tidak ada yang dapat menyesatkannya.

"dan barang siapa yang Dia sesatkan, maka mereka itulah orang-orang yang rugi." 

Barang siapa yang ingkar dan tidak mahu memahami ayat-ayat Allah, maka Allah akan membiarkannya dan tidak memberinya taufik kepada kebaikan. Merekalah orang-orang yang rugi, kecewa dan sesat tanpa dapat dielakkan lagi. Tidak ada yang dapat memberikan petunjuk kepadanya.

Allah s.w.t. sendiri yang memberikan hidayah dan menyesatkan. Sesungguhnya sesuatu yang dikehendaki oleh Allah pasti terjadi, dan sesuatu yang tidak dikehendakiNya pasti tidak akan terjadi.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...