Jumaat, 20 April 2018

7:19-25 Tafsir Surah Al A’raf, ayat 19-25.

وَيَا آدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ فَكُلا مِنْ حَيْثُ شِئْتُمَا وَلا تَقْرَبَا هَذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ الظَّالِمِينَ (١٩) فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِنْ سَوْآتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ إِلا أَنْ تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ (٢٠) وَقَاسَمَهُمَا إِنِّي لَكُمَا لَمِنَ النَّاصِحِينَ (٢١) فَدَلاهُمَا بِغُرُورٍ فَلَمَّا ذَاقَا الشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ وَنَادَاهُمَا رَبُّهُمَا أَلَمْ أَنْهَكُمَا عَنْ تِلْكُمَا الشَّجَرَةِ وَأَقُلْ لَكُمَا إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمَا عَدُوٌّ مُبِينٌ (٢٢) قَالا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ (٢٣) قَالَ اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ وَلَكُمْ فِي الأرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَى حِينٍ   (٢٤) قَالَ فِيهَا تَحْيَوْنَ وَفِيهَا تَمُوتُونَ وَمِنْهَا تُخْرَجُونَ  (٢٥)

Allah s.w.t. berfirman kepada Adam a.s.,

"19. Dan, "Wahai Adam, tinggallah kamu dan isteri kamu di syurga, dan makanlah kalian berdua dari mana saja kalian kehendaki, dan janganlah kamu berdua mendekati ini pohon, maka kalian berdua menjadi termasuk orang-orang yang zalim.”"

Allah s.w.t. membolehkan Adam dan Hawa bertempat tinggal di syurga dan memakan semua buah-buahan yang ada padanya, kecuali dari suatu pohon. Jika mereka mendekati atau memakan buah dari pohon itu, mereka berdua akan menjadi orang-orang yang zalim.

Adam dan Hawa pun memakan buah syurga dengan berlimpah ruah dan tanpa bersusah payah. Mereka berdua sentiasa mengikuti perintah Allah s.w.t. dengan tidak mendekati pohon yang dilarang itu. Kemudian datanglah syaitan kepada mereka berdua secara diam-diam.

"20. Maka membisikkan fikiran jahat kepada keduanya syaitan untuk menampakkan bagi keduanya apa yang tertutup dari keduanya, dari aurat keduanya,"

Syaitan berusaha melancarkan makar dan tipuan serta bisikan fikiran jahat kepada mereka berdua. Tujuannya adalah untuk mencabut nikmat dan pakaian yang indah-indah dari mereka berdua. Ia berusaha untuk mendedahkan apa yang selama ini tertutup dari mereka, iaitu auratnya.

Ada yang mengatakan bahawa pakaian yang menutupi aurat Adam dan Hawa adalah nur. Adam tidak dapat melihat aurat Hawa. Begitu juga sebaliknya, Hawa tidak dapat melihat aurat Adam.

"Dan dia berkata, "Tidak melarang kalian berdua Tuhan kalian dari ini pohon kecuali agar tidak kamu berdua menjadi dua malaikat atau kalian menjadi termasuk orang-orang yang kekal.""

Syaitan berdusta dan mereka-rekakan cerita bahawa Allah s.w.t. melarang mereka berdua mendekati pohon itu kerana tidak mahu mereka berdua menjadi malaikat atau kekal di dalam syurga. Kalau mereka berdua memakannya, nescaya mereka akan menjadi malaikat atau kekal di dalam syurga.

"21. Dan dia bersumpah kepada keduanya, "Sungguh aku kepada kamu berdua sungguh termasuk orang-orang yang memberi nasihat.”"

Syaitan bersumpah dengan menyebut nama Allah kepada Adam dan Hawa, bahawa ia telah ada di syurga sebelum mereka berdua ada, lebih mengetahui tentang tempat itu, ia hanyalah memberi nasihat dan jika mereka mengikutinya, nescaya ia memberi mereka petunjuk.

Adam dan Hawa percayakan kepada syaitan kerana syaitan bersumpah dengan menyebut nama Allah. Begitulah apabila seseorang menipu kita dengan menyebut nama Allah, maka kita akan teperdaya olehnya.

"22. Maka dia membujuk keduanya dengan tipu daya."

Iblis berjaya memperdaya Adam dan Hawa untuk merasa buah itu dengan tipu dayanya. Ia berjaya menurunkan mereka berdua dari kedudukan yang tinggi. Mereka yang sebelumnya jauh dari dosa dan maksiat, telah jatuh ke dalam dosa.

"Maka setelah keduanya merasakan pohon, tampaklah bagi keduanya aurat keduanya,"

Ketika Adam dan Hawa telah merasa buah itu, dengan serta-merta mereka berdua menjadi telanjang. Kelihatanlah auratnya, iaitu qubul dan duburnya masing-masing oleh mereka berdua. Padahal sebelum itu Adam belum pernah melihat auratnya sendiri.

Disebut keduanya “sau’ah” kerana ketika nampak memalukan orangnya. Oleh kerana itu, apabila seseorang melepas taqwa, maka akan nampak memalukan di luarnya.

"dan keduanya memulai menutupi atas keduanya dari daun syurga."

Adam dan Hawa segera memetik dedaunan pohon tin di syurga, lalu menambalsulamkan satu sama lainnya sehingga menjadi penutup aurat masing-masing. Kemudian Adam berlari ke dalam kebun syurga. Salah satu pohon syurga tersangkut pada rambutnya yang lebat.

Maka Adam berkata kepada pohon itu, "Lepaskanlah aku." Tetapi pohon itu berkata, "Sesungguhnya aku tidak akan melepaskanmu."

Allah s.w.t. menyerunya, "Wahai Adam, adakah engkau lari dariKu?" Adam menjawab, "Tidak, tetapi aku merasa malu kepadaMu, wahai Tuhanku."

"Dan memanggil keduanya Tuhan keduanya, "Bukankah telah Aku cegah kamu berdua dari itu pohon""

Allah s.w.t. mengingatkan mereka berdua bahawa Dia telah menganugerahkan segala sesuatu, Dia perbolehkan buah-buahan syurga untuk mereka makan dan Dia telah melarang mereka berdua dari mendekati pohon itu. Tetapi mereka berdua berani memakan apa yang Dia haramkan.

Adam menjawab, "Tidak, wahai Tuhanku. Tetapi demi keagunganMu, aku tidak menyangka bahawa ada seseorang yang berani bersumpah dengan menyebut namaMu secara dusta."

"dan Aku katakan kepada kamu berdua, "Sesungguhnya syaitan bagi kamu berdua musuh yang nyata?”"

Allah s.w.t. juga telah mengingatkan mereka berdua bahawa sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi mereka berdua. Dia berfirman, "Demi KeagunganKu, Aku benar-benar akan menurunkan kamu ke bumi, kemudian kamu tidak dapat memperoleh penghidupan kecuali dengan cara demikian."

Adam berkata, "Wahai Tuhanku, bagaimanakah jika aku bertaubat dan memohon ampun kepadaMu?" Allah s.w.t. berfirman, "Kalau demikian, nescaya akan Aku masukkan kamu ke dalam syurga."

Ketika itu, Allah s.w.t. mengurniakan mereka untuk bertaubat dan menerima taubatnya. Dia mengajarkan Adam a.s. kalimat-kalimat (doa-doa) dalam taubatnya.

"23. Keduanya berkata, "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri; dan jika tidak Engkau mengampuni kami dan Engkau rahmati kami, sungguh kami akan menjadi termasuk orang-orang yang merugi.”"

Kami mengakui dosa yang telah kami lakukan, kami telah menzalimi diri sendiri dengan maksiat. Ampunilah kami. Jika Engkau tidak mengampuni kami dengan menghapuskan pengaruh dosa dan hukuman terhadap kami, dan jika Engkau tidak merahmati kami dengan menerima taubat kami dan memaafkan kesalahan kami, pasti kami menjadi orang-orang yang rugi.

Orang yang terjatuh ke dalam dosa dan maksiat, kemudian mengakui kesalahan, meminta ampunan, menyesalinya dan berhenti melakukan dosa, maka Allah akan memilihnya dan memberinya petunjuk sebagaimana Adam.

Sedangkan iblis tidak meminta taubat. Ia hanya meminta masa tangguh. Orang yang ketika terjatuh ke dalam dosa, kemudian berputus asa dan semakin bertambah dosanya, serupalah dia dengan iblis; dia semakin jauh dari Allah.

Maka Allah s.w.t. memberi kepada masing-masing pihak apa yang mereka minta.

"24. Dia berfirman, "Turunlah kalian, sebahagian kalian bagi sebahagian yang lain musuh.""

Allah s.w.t. memerintahkan mereka semua turun ke bumi dan Dia mengingatkan bahawa manusia dan iblis akan sentiasa saling bermusuhan.

"Dan bagi kalian di bumi tempat menetap dan kesenangan sampai waktu yang ditentukan."

Di bumi itu kalian diberikan tempat tinggal dan tempat mencari kehidupan sampai tiba ajal kalian yang telah ditetapkan berdasarkan apa yang telah dicatat oleh Qalam, ditetapkan oleh takdir, serta digariskan di dalam Lauh Mahfuz.

"25. Dia berfirman, "Di dalamnya kalian hidup dan di dalamnya kalian mati, dan darinya kalian dikeluarkan.”"

Kalian akan sentiasa berada di bumi. Di situlah tempat kalian hidup. Ia penuh dengan ujian dan cobaan. Para rasul akan diutuskan dan kitab-kitab akan diturunkan. Barang siapa mengikutinya maka dia akan bahagia, tidak akan tersesat dan tidak akan celaka. Barang siapa yang berpaling darinya, maka baginya penghidupan yang sempit.

Hidup kalian diiringi dengan kematian. Di situlah kalian dikuburkan. Di situ juga semua makhluk dari yang pertama hingga yang terakhir akan dibangkitkan dan dihimpunkan kelak di hari kiamat. Orang-orang yang berpaling akan dibangkitkan dalam keadaan buta. Kemudian masing-masing kalian akan diberikan balasan sesuai dengan amal perbuatan kalian.

Ketika Adam dan Hawa diturunkan ke dunia, makanan dan minumannya tidak berlimpah, tetapi harus dengan susah payah. Maka mulailah Adam belajar membuat alat besi, dan diperintahkan untuk membajak, lalu Adam membajak, menanam tanaman dan mengairinya.

Apabila tiba masa menuai, maka Adam menuainya dan memilih biji-bijiannya serta menggilingnya menjadi tepung, lalu membuat adunan roti darinya, setelah itu baru Beliau memakannya. Tetapi Adam tidak dapat melakukan itu kecuali setelah Allah mengizinkannya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...