Isnin, 16 April 2018

5:27-31 Tafsir Surah Al Maidah, ayat 27-31.

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الآخَرِ قَالَ لأقْتُلَنَّكَ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ (٢٧) لَئِنْ بَسَطْتَ إِلَيَّ يَدَكَ لِتَقْتُلَنِي مَا أَنَا بِبَاسِطٍ يَدِيَ إِلَيْكَ لأقْتُلَكَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ رَبَّ الْعَالَمِينَ (٢٨) إِنِّي أُرِيدُ أَنْ تَبُوءَ بِإِثْمِي وَإِثْمِكَ فَتَكُونَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ وَذَلِكَ جَزَاءُ الظَّالِمِينَ (٢٩) فَطَوَّعَتْ لَهُ نَفْسُهُ قَتْلَ أَخِيهِ فَقَتَلَهُ فَأَصْبَحَ مِنَ الْخَاسِرِينَ (٣٠) فَبَعَثَ اللَّهُ غُرَابًا يَبْحَثُ فِي الأرْضِ لِيُرِيَهُ كَيْفَ يُوَارِي سَوْأَةَ أَخِيهِ قَالَ يَا وَيْلَتَا أَعَجَزْتُ أَنْ أَكُونَ مِثْلَ هَذَا الْغُرَابِ فَأُوَارِيَ سَوْأَةَ أَخِي فَأَصْبَحَ مِنَ النَّادِمِينَ (٣١)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"27. Dan bacakanlah kepada mereka kisah dua anak Adam dengan hak,"

Ceritakanlah kepada saudara babi dan kera, yang membangkang, dengki, iri hati dan zalim, iaitu orang-orang Yahudi dan orang-orang yang serupa dengan mereka tentang kisah kedua anak Adam a.s., iaitu Habil dan Qabil.

Ceritakanlah kisah itu menurut yang sebenarnya, secara jelas dan nyata, tanpa ada pengelabuan dan kedustaan, tanpa ada ilusi dan penggantian, serta tanpa ditambah-tambahi atau dikurangi.

"ketika keduanya berkorban korban,"

Habil berusia lebih muda dari Qabil. Habil adalah seorang penternak, sedangkan Qabil adalah seorang petani. Keduanya telah diperintahkan untuk mempersembahkan suatu korban.

Pada saat itu tidak terdapat orang miskin yang akan diberinya sedekah dari korbannya, melainkan korban tersebut hanya semata-mata dilakukan oleh seseorang untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Habil mempersembahkan korban seekor kambing gibasy yang paling baik, paling gemuk dan paling disayanginya dengan hati yang tulus ikhlas. Sedangkan Qabil berkorban sebahagian dari hasil tanamannya yang paling buruk dengan hati yang tidak ikhlas.

"maka diterima dari salah seorang dari salah seorang di antara keduanya dan tidak diterima dari yang lain."

Allah s.w.t. telah mengurniakan nikmat kepada Habil dengan menerima korbannya. Dia mengirimkan api putih yang turun dari langit dan memakan kambing korban Habil. Kambing itu disimpan di dalam syurga dan kemudiannya dijadikan sebagai tebusan bagi diri Ismail a.s.

Sedangkan korban tanaman Qabil tidak diterima dan dibiarkan begitu saja. Maka api itu padam. Qabil iri hati, dengki, marah dan benci terhadap Habil.

"Dia berkata, "Sungguh akan aku bunuh kamu!""

Qabil mengancam akan membunuh Habil tanpa dosa sedikit pun. Dia tidak mahu manusia mengetahui bahawa korbannya tidak diterima dan dikembalikan kepadanya, sedangkan korban Habil diterima. Dia tidak mahu Habil dipandang lebih baik darinya. Habil menjawab ancaman itu.

"Dia berkata, "Sungguh hanyalah Allah menerima dari orang-orang yang bertakwa.""

Allah s.w.t. hanya menerima korban atau amal dari orang-orang yang bertakwa kepadaNya, iaitu mengerjakannya dengan hati yang tulus ikhlas kerana Allah dan mengikuti tuntunanNya melalui para nabi dan rasul.

"28. Sungguh jika kamu menggerakkan kepadaku tangan kamu untuk membunuhku, tidaklah aku menghayunkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu."

Habil tidak akan membalas perbuatan jahat Qabil itu dengan kejahatan yang serupa, kerana akibatnya mereka menjadi sama-sama berdosa dan dimasukkan ke neraka.

"Sungguh aku takut kepada Allah, Tuhan semesta alam."

Sebenarnya Habil lebih kuat dari Qabil, tetapi dia tidak berani menjatuhkan tangannya kepada saudaranya kerana dia tercegah oleh sifat wara', iaitu perasaan takut berdosa. Dia tidak berani mengerjakan dosa-dosa, terutamanya dosa-dosa besar seperti membunuh. Kerana itu Habil tetap bersabar sambil mengharapkan pahala Allah.

"29. Sungguh aku ingin agar kamu kembali dengan dosaku dan dosa kamu, maka kamu menjadi dari penghuni neraka,"

Aku ingin agar kamu kembali ke akhirat dengan memikul dosa kerana membunuhku dan dosa-dosa lain yang kamu lakukan sebelumnya. Maka kamu akan menjadi penghuni neraka. Sedangkan dosa-dosaku akan Allah hapuskan sebagai imbalan kerana merasakan sakitnya mati.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Terbunuh dengan sabar, tiada melalui suatu dosa pun melainkan pasti dihapuskan kerananya."

"dan demikian itu balasan orang-orang yang zalim."

Habil menasihati dan mengingatkan Qabil akan siksaan neraka agar Qabil tidak meneruskan niatnya. Jika terjadi pembunuhan, maka bukan Habil yang menjadi penyebabnya, tetapi semata-mata atas kehendak Qabil sendiri. Namun, Qabil tidak takut dan tidak menghiraukannya.

"30. Maka mendorong kepadanya hawa nafsunya membunuh saudaranya, maka dia membunuhnya,"

Hawa nafsu Qabil merayu, menjadikannya menganggap mudah, memacu dirinya dan mendorongnya membunuh Habil. Qabil datang kepada Habil yang sedang menggembala ternakannya. Ketika itu Habil sedang tidur.

Qabil mengangkat sebongkah batu besar dan menimpakannya ke kepala Habil hingga kepala Habil pecah dan meninggal dunia seketika itu juga. Dia benar-benar telah membunuh Habil. Dialah orang yang mula-mula melakukan pembunuhan.

Barang siapa yang mencontohkan keburukan, maka dia menanggung dosa itu dan menanggung sebahagian dari dosa orang-orang yang mengikutinya sampai hari kiamat. Qabil berbahagi azab dengan ahli neraka dengan pembahagian yang benar. Azab yang dialaminya adalah separuh dari azab mereka semua. Iblis juga ikut bertanggung jawab terhadapnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiada seorang pun yang terbunuh secara aniaya (zalim), melainkan atas anak Adam (Qabil) yang pertama tanggungan (ikut menanggung) sebahagian dari darahnya, kerana dialah orang yang mula-mula mengadakan (mencontohkan) pembunuhan."

"maka dia menjadi termasuk orang-orang yang rugi."

Jadilah Qabil seorang yang rugi di dunia dan akhirat kerana membunuh. Kerugian seperti inilah kerugian yang paling besar. Sedangkan Habil mendapat keuntungan. Semua dosanya diampuni dan dimasukkan ke dalam syurga.

Qabil terpegun, terdiam dan kebingungan. Dia tidak mengetahui apa yang harus dilakukan terhadap mayat Habil kerana dia merupakan mayat pertama di muka bumi. Qabil menggendong mayat Habil di atas bahunya. Kemudian Qabil meletakkan mayat Habil di atas tanah.

"31. Maka Allah mengirimkan seekor gagak menggali di bumi untuk memperlihatkannya bagaimana mengubur mayat saudaranya."

Qabil melihat dua ekor burung gagak berkelahi hingga salah satunya mati. Kemudian burung gagak yang menang menggali-gali di tanah, lalu tubuh si mati itu dimasukkan ke dalam galian itu dan ditimbus dengan tanah hingga tertimbun.

Manusia banyak mengambil pelajaran dari alam dan tidak perlu segan mengambil pelajaran dari yang lebih rendah tingkatan pengetahuannya. Perbuatan burung gagak itu memperlihatkan kepada Qabil bagaimana dia seharusnya menguburkan mayat Habil.

"Dia berkata, "Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu untuk menjadi seperti ini burung gagak, aku menutupi mayat saudaraku?""

Lalu Qabil menguburkan mayat Habil.

"Maka dia menjadi termasuk orang-orang yang menyesal."

Kerana itu, Allah s.w.t. meliputi Qabil dengan penyesalan dan kerugian akibat kemaksiatannya. Qabil disegerakan azabnya, sebelah kakinya digantung ke atas sejak hari dia melakukan pembunuhan.

Allah s.w.t. menjadikan wajahnya menghadap ke arah matahari dan ikut berputar bersamanya sebagai siksaan dan pembalasan untuknya. Pada musim panas terdapat api yang membakarnya dan pada musim dingin terdapat salju yang menyengatnya.

Nabi s.a.w. bersabda, "Tidak ada suatu dosa pun yang lebih layak disegerakan siksaannya oleh Allah di dunia berikut siksaan di akhirat yang telah disediakan oleh Allah buat pelakunya selain dari bagyu (pembunuhan) dan memutuskan tali silaturrahim."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah telah membuat suatu perumpamaan untuk kalian melalui kedua putera Adam, maka ambillah oleh kalian contoh yang baik dari mereka dan buanglah oleh kalian contoh yang buruk dari mereka."

Sesungguhnya kita semua adalah milik Allah dan hanya kepadaNyalah kita semua akan kembali.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...