أَقِمِ الصَّلاةَ لِدُلُوكِ الشَّمْسِ إِلَى غَسَقِ اللَّيْلِ وَقُرْآنَ الْفَجْرِ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا (٧٨) وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَى أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا (٧٩) وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا (٨٠) وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا (٨١) وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلا خَسَارًا (٨٢)
Allah s.w.t. berfirman memerintahkan kepada RasulNya, Nabi Muhammad s.a.w.,
"78. Dirikanlah solat kerana tergelincir matahari hingga gelap malam dan bacaan fajar."
Menurut suatu pendapat, dulukusy syamsi bermaksud tenggelamnya matahari. Menurut pendapat yang lain, sesudah matahari tergelincir dari pertengahan langit. Gasaqil lail bermaksud gelapnya malam hari. Menurut pendapat lain, terbenamnya matahari.
Kesimpulan dari ayat ini, laksanakanlah solat-solat fardu dalam waktunya masing-masing dari sesudah matahari tergelincir sampai gelapnya malam, iaitu solat Zuhur, ‘Asar, Maghrib dan Isya.
Qur'anal fajri bermaksud bacaan fajar, iaitu solat Subuh. Laksanakan juga solat Subuh. Solat Subuh disebut Qur’anul fajri, kerana disyariatkan memanjangkan bacaan Al Qur’an di waktu itu melebihi biasanya pada solat fardhu lainnya.
Rasulullah s.a.w. melalui perbuatan dan ucapannya telah merincikan waktu-waktu solat tersebut, seperti yang dilakukan oleh semua pemeluk agama Islam sekarang. Mereka menerimanya secara turun-temurun dari suatu generasi ke generasi lain yang sesudahnya.
"Sesungguhnya bacaan fajar ia disaksikan."
Keutamaan solat Subuh dan memanjangkan bacaan Al Qur’an di waktu itu kerana disaksikan oleh Allah s.w.t., malaikat penjaga yang telah bertugas di malam hari dan malaikat penjaga yang akan bertugas di siang hari.
Para malaikat penjaga berkumpul dalam solat Subuh. Kemudian para malaikat yang telah berjaga naik ke langit, sedangkan para malaikat yang baru datang tetap tinggal menggantikannya.
Masuknya waktu merupakan syarat sahnya solat. Waktu tersebut merupakan sebab wajibnya, kerana Allah memerintahkan untuk mendirikannya kerana tiba waktu-waktu itu. Zuhur dan ‘Asar boleh dijama’ (digabung) kerana adanya ‘uzur, begitu juga Maghrib dan Isya.
"79. Dan dari malam, maka bertahajjudlah kamu dengannya tambahan bagimu;"
Pada sebahagian malam hari, hidupkanlah malam hari dengan melaksanakan solat tahajjud, sebagai suatu ibadah tambahan bagimu. Ia adalah solat yang paling utama sesudah solat fardu. Tahajjud bermaksud solat yang dikerjakan sesudah tidur.
"Tambahan bagimu" bermaksud solat tahajjud adalah kewajiban tambahan khusus bagi Nabi s.a.w., tidak bagi umatnya. Ada yang mengatakan sebagai keutamaan di atas solat fardhu.
Ada juga yang mengatakan bahawa solat tahajjud itu sebagai ibadah tambahan khusus bagi Nabi s.a.w. kerana semua dosa Beliau telah diampuni, baik yang terdahulu maupun yang kemudian. Maka solat tahajjud itu menambah kedudukannya dan meninggikan darjatnya. Sedangkan bagi umatnya, solat tahajjud itu sebagai penebus atau penghapus dosa-dosanya.
"mudah-mudahan supaya akan mengangkat kamu Tuhanmu tempat yang terpuji."
Allah s.w.t. memerintahkan ini kepada Beliau s.a.w. untuk menempatkannya pada kedudukan yang terpuji, iaitu kedudukannya pada hari kiamat nanti di padang mahsyar. Ketika itu matahari didekatkan satu batu sehingga keringat manusia berkucuran.
Ketika itu manusia mencari orang yang boleh memberikan syafa’at, agar Allah s.w.t. merahmati mereka, membebaskan mereka dari kesengsaraan hari itu dan agar urusan mereka diselesaikan. Mereka mendatangi Adam a.s., Nuh a.s., Ibrahim a.s., Musa a.s. dan Isa a.s.
Namun mereka tidak boleh dan mengemukakan alasannya. Akhirnya mereka mendatangi Nabi Muhammad s.a.w. untuk berbicara kepada Allah. Beliau akan memberikan syafaat bagi manusia. Semua makhluk akan memujinya, begitu juga Tuhan yang menciptakan mereka semua.
Ketika orang-orang kafir Mekah telah sepakat untuk membunuh, mengusir atau mengikat Nabi s.a.w., dan Allah s.w.t. berkehendak untuk memerangi ahli Mekah, maka Dia memerintahkan kepada RasulNya untuk berhijrah ke Madinah. Antara lain Allah s.w.t. berfirman,
"80. Dan katakanlah, "Tuhanku, masukkanlah aku tempat masuk yang benar, dan keluarkanlah aku tempat keluar yang benar,""
Masukkanlah aku secara masuk yang benar, iaitu ke tempat yang disenangi, di mana aku tidak melihat sesuatu yang tidak aku sukai di sana. Maka tempat masuk yang benar bagi Beliau s.a.w. ialah Madinah. Keluarkanlah aku secara keluar yang benar, iaitu keluar dari Mekah.
Ada yang menafsirkan, masukkanlah aku ke dalam suatu ibadah dan selesai darinya dengan niat yang ikhlas, bersih dari riya, bersih dari sesuatu yang merosakkan pahala dan sesuai dengan perintah. Ada juga yang menafsirkan, masukkkan aku ke dalam kubur dengan baik dan keluar daripadanya pada hari berbangkit dengan baik juga.
Ini adalah keadaan paling tinggi yang diberikan Allah s.w.t. kepada seorang hamba, iaitu semua keadaannya baik, dan mendekatkan dirinya kepada Tuhannya, dan agar dirinya pada setiap keadaan berada di atas dalil yang nyata; iaitu mencakup ilmu yang bermanfaat dan dapat beramal soleh kerana mengetahui masalah dan dalil-dalil.
"dan jadikanlah bagiku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong.""
Berikanlah kepadaku dari sisi Engkau kekuasaan yang dapat menolongku dari musuh-musuhMu. Ada yang berpendapat bahawa kekuasaan yang menolong bermaksud bukti yang jelas.
Adalah suatu kemestian bagi perkara yang hak mengalahkan semua orang yang menentang dan bersikap oposisi terhadapnya. Nabi s.a.w. menyedari bahawa Beliau tidak mempunyai kekuatan untuk melaksanakan tugas ini kecuali dengan kekuasaan.
Maka Beliau s.a.w. memohon kekuasaan yang menolong kepada Allah untuk membela Kitabullah, batasan-batasan Allah, hal-hal yang difardukan Allah dan untuk menegakkan agama Allah.
Kekuasaan itu adalah rahmat dari Allah yang Dia jadikan di kalangan hamba-hambaNya. Seandainya tidak ada kekuasaan ini, tentulah mereka saling menyerang, dan yang terkuat di antara mereka akan memakan yang lemah dari mereka.
Allah mencegah banyak perbuatan keji dan dosa-dosa yang tidak dapat dicegah melalui Al Qur’an melalui kekuasaan (pemerintahan), di mana peringatan dan ancaman yang keras bagi para pelanggarnya benar-benar dilaksanakan.
Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. ketika Beliau akan masuk kembali ke Mekah,
"81. Dan katakanlah, "Telah datang yang benar, dan telah lenyap yang batil. Sesungguhnya kebatilan dia lenyap.""
Ayat ini merupakan ancaman dan peringatan yang ditujukan kepada orang-orang kafir Quraisy bahawa telah datang kepada mereka perkara hak dari Allah yang tiada keraguan di dalamnya serta tidak pernah mereka kenal sebelumnya, iaitu Al Qur'an, iman, dan ilmu yang bermanfaat.
Islam atau wahyu yang diwahyukan Allah kepada RasulNya Muhammad s.a.w. telah datang. Perkara yang batil atau kekufuran pasti akan lenyap, surut dan binasa. Hal yang batil itu tidak akan dapat bertahan dan tidak dapat kekal bersama dengan adanya perkara yang hak. Perkara batil pasti tidak akan muncul dan tidak akan kembali lagi.
Akan tetapi, apabila masyarakat berpaling dari kitabullah dan sunnah RasulNya s.a.w., perkara batil menjadi kuat dan laris. Namun ketika yang hak datang, maka yang batil segera lenyap.
Ketika Nabi s.a.w. memasuki Mekah pada hari Fathu Makkah (penaklukkan atau kemenangan atas kota Mekah), sedangkan di sekitar Ka'bah terdapat tiga ratus enam puluh berhala. Rasulullah s.a.w. memerintahkan agar berhala-berhala itu dirobohkan.
Maka semua berhala dirobohkan dengan kepalanya di bawah hingga hancur. Rasulullah s.a.w. merobohkannya dengan tongkat yang ada di tangannya sambil mengucapkan firmanNya, "Telah datang yang benar, dan telah lenyap yang batil. Sesungguhnya kebatilan dia lenyap."
"82. Dan Kami turunkan dari Al Qur'an apa yang dia ubat dan rahmat bagi orang-orang yang beriman,"
Allah s.w.t. menurunkan kitab Al Qur'an kepada RasulNya Nabi Muhammad s.a.w. Tidak datang kepadanya kebatilan, baik dari depan maupun dari belakangnya; yang diturunkan dari Tuhan Yang Mahabijaksana lagi Maha Terpuji.
Sesungguhnya Allah s.w.t. menjadikan Al Qur'an ini penawar hanya bagi orang-orang mukmin. Ia mengandungi ilmu yang yakin, nasihat dan peringatan, yang dapat menyingkirkan dan melenyapkan berbagai penyakit hati.
Antaranya ialah kesesatan, keraguan, syubhat, kebodohan, kemunafikan, kemusyrikan, niat buruk, pemikiran yang batil, syahwat yang bertentangan dengan perintah Allah, penyimpangan dari perkara yang hak dan cenderung kepada hal yang batil. Al Qur’an juga merupakan ubat bagi badan yang mengalami sakit dan penderitaan.
Allah s.w.t. menjadikan Al Qur'an ini rahmat hanya bagi mereka kerana di dalamnya terdapat sebab-sebab dan jalan-jalan untuk mendapat rahmat. Apabila seorang mukmin mendengarkan bacaan Al Qur'an, maka dia mendapat manfaat darinya, menghafal dan mengingat maksudnya.
Dengan Al Qur'an dapat dipertebal keimanan, hikmah dapat diperoleh, kebaikan dapat dijumpai padanya dan akan menambah kecintaan kepadanya. Sedangkan mereka merasa gembira.
Hal seperti ini hanya dapat diperolehi oleh orang yang beriman kepada Al Qur'an, membenarkannya, dan mengikuti petunjuknya. Maka mereka akan mendapat rahmat, kebahagiaan yang abadi, dan pahala di dunia dan akhirat.
"dan tidak menambah orang-orang yang zalim kecuali kerugian."
Orang-orang yang menganiaya dirinya sendiri dengan kekafirannya, orang-orang yang mendustakan Al Qur'an dan orang-orang yang tidak mengamalkannya, mereka tidak dapat mengambil manfaat dari Al Qur'an. Mereka tidak dapat menghafal dan memahami maksudnya.
Dengan bacaan Al Qur'an itu, mereka semakin jauh. Bertambah kekufuran dan bencana akibat kekafirannya di samping kekafirannya yang sedia ada. Al Qur'an itu hanya akan menambah kerugian bagi mereka kerana hujah tegak terhadap mereka. Mereka mati dalam keadaan kafir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan