وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ (٤٣) بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ (٤٤)
Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,
"43. Dan tidak Kami mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki Kami beri wahyu kepada mereka,"
Para rasul terdahulu sebelum Nabi Muhammad s.a.w. adalah manusia, sebagaimana Nabi Muhammad sendiri juga seorang manusia. Mereka semua bukanlah penduduk langit, bukan malaikat, dan bukan wanita.
Allah s.w.t. berikan kepada para rasul itu wahyu, iaitu syari’at dan hukum-hukum sebagai kurnia dan ihsanNya kepada hamba-hambaNya. Bukanlah dari sisi (menurut keinginan) mereka sendiri bentuk syari’at itu.
"maka tanyakanlah kepada ahluz zikr jika kalian tidak mengetahui,"
Ahluz zikr bermaksud ahli pengetahuan, iaitu orang yang mempunyai pengetahuan tentang rasul dan kitab-kitab. Maka orang-orang yang meragukan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., seperti orang-orang Arab, bertanyalah kepada ahli kitab terdahulu tentang para rasul yang diutus kepada mereka, adakah mereka semua manusia atau malaikat?
Jika rasul-rasul yang diutus kepada mereka adalah malaikat, maka kalian boleh mengingkarinya. Jika para rasul itu adalah manusia, maka janganlah kalian mengingkari apabila Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang rasul.
Dalam ayat ini terdapat pujian bagi ahli ilmu, terutama sekali yang memiliki ilmu terhadap kitab Allah (Al Qur’an), kerana Allah memerintahkan untuk merujuk kepada mereka dalam semua peristiwa.
Di dalam ayat ini juga terdapat tazkiyah (rekomendasi) terhadap ahli ilmu, kerana Allah memerintahkan orang yang tidak tahu untuk bertanya kepada mereka, dan bahawa tugas orang awam adalah bertanya kepada ahli ilmu.
"44. Dengan keterangan-keterangan dan kitab-kitab."
Allah s.w.t. mengutuskan para rasul itu dengan membawa mukjizat, hujah-hujah dan dalil-dalil. Dia juga telah menurunkan kepada mereka kitab-kitab.
"Dan Kami turunkan kepada kamu Az Zikr,"
Allah s.w.t. menurunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Az Zikr, iaitu Al Qur’an. Al Qur’an disebut Az Zikr kerana di dalamnya disebutkan semua yang diperlukan hamba tentang urusan agama maupun dunia.
"agar kamu terangkan kepada manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka"
Agar Beliau s.a.w. menerangkan perintah-perintah, larangan-larangan, aturan dan lain-lain yang terdapat dalam Al Quran kepada umat manusia, yang telah diturunkan dari Tuhan mereka kepada mereka.
Demikian itu kerana Beliau s.a.w. telah mengetahui makna apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadanya, dan kerana keinginannya yang sangat kepada Al Qur'an serta Beliau sentiasa mengikuti petunjuknya.
Allah s.w.t. mengetahui bahawa Beliau adalah makhluk yang paling utama, penghulu anak Adam, maka sudah sepatutnya Beliau memberikan keterangan kepada mereka segala sesuatu yang global, serta memberi penjelasan tentang hal-hal yang sulit mereka fahami.
Ayat ini menunjukkan bahawa di antara fungsi As Sunnah adalah menerangkan Al Qur’an, dan bahawa Al Qur’an perlu kepada Sunnah Rasulullah s.a.w. Ayat ini juga sebagai bantahan terhadap orang-orang yang mengingkari sunnah Nabi s.a.w. (kaum anti sunnah).
"dan agar mereka berfikir."
Agar mereka memikirkan, menggali daripadanya berbagai ilmu, merenungkannya buat diri mereka sendiri, lalu mereka akan mendapat petunjuk dan akhirnya mereka mendapat keuntungan di dunia dan akhirat berkat Al Qur'an.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan