Rabu, 9 Mei 2018

19:88-95 Tafsir Surah Maryam, ayat 88-95.

وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَنُ وَلَدًا (٨٨) لَقَدْ جِئْتُمْ شَيْئًا إِدًّا (٨٩) تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنْشَقُّ الأرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا (٩٠) أَنْ دَعَوْا لِلرَّحْمَنِ وَلَدًا (٩١) وَمَا يَنْبَغِي لِلرَّحْمَنِ أَنْ يَتَّخِذَ وَلَدًا (٩٢)إِنْ كُلُّ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ إِلا آتِي الرَّحْمَنِ عَبْدًا (٩٣) لَقَدْ أَحْصَاهُمْ وَعَدَّهُمْ عَدًّا (٩٤) وَكُلُّهُمْ آتِيهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَرْدًا (٩٥)

Allah s.w.t. berfirman,

"88. Dan mereka berkata, "Mengambil Ar Rahman anak.""

Mereka mengatakan bahawa Tuhan Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Orang-orang Yahudi mengatakan ‘Uzair putera Allah, orang-orang Nasrani mengatakan Al Masih putera Allah, dan orang-orang musyrik yang mengatakan malaikat adalah puteri-puteri Allah.

Mahasuci dan Mahatinggi Allah dari apa yang mereka ucapkan dengan ketinggian yang setinggi-tingginya. Maka Allah s.w.t. berfirman membantah mereka.

"89. Sungguh kalian telah datangkan sesuatu sangat besar."

Iddan bermaksud sesuatu yang sangat besar (dosanya). Sesungguhnya kalian telah membawa sesuatu perkara yang sangat besar salahnya, keji dan mungkar kerana ucapan kalian itu.

"90. Hampir-hampir langit pecah darinya dan terbelah bumi dan tersungkur gunung-gunung runtuh."

Langit hampir pecah kerana kebesaran dan keagungan Allah s.w.t., bumi hampir terbelah kerana murka Allah terhadap mereka dan gunung-gunung hampir runtuh sebahagian demi sebahagian secara berurutan dan hancur menimpa mereka. Para malaikat murka dan neraka Jahanam bergejolak saat mereka mengucapkan kalimat yang mungkar itu.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tidak ada sesiapa pun yang lebih sabar daripada Allah mendengar hal yang menyakitkan, Dia dipersekutukan dan dianggap beranak, padahal Dia menyihatkan mereka dan menolak bahaya dari mereka serta memberi mereka rezeki."

"91. Kerana mereka menganggap bagi Ar Rahman anak."

Hampir-hampir akan terjadi hal tersebut kerana ucapan yang dikeluarkan oleh orang-orang derhaka dari kalangan Bani Adam. Mereka mendakwa bahawa Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Semuanya adalah makhluk Allah dan diciptakan untuk mengesakanNya.

Tidak ada Tuhan selain Allah, tiada sekutu dan tiada tandingan bagiNya, tiada beranak, tiada beristeri, dan tiada yang menyamaiNya. Bahkan Dia adalah Yang Maha Esa, bergantung kepadaNya segala sesuatu.

Pada setiap sesuatu terdapat tanda yang menunjukkan bahawa Dia Yang Maha Esa. Kemusyrikan itu membuat langit, bumi, gunung-gunung, serta semua makhluk terkejut kecuali jin dan manusia. Hampir-hampir semuanya lenyap kerananya disebabkan kebesaran Allah s.w.t.

Tidak memberi manfaat amal baik orang musyrik kerana kemusyrikannya. Kita berharap semoga Allah memberikan ampunan terhadap dosa-dosa ahli tauhid.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Ajarilah orang-orang mati kalian bacaan syahadat, iaitu "Tidak ada Tuhan selain Allah." Barang siapa yang membacanya di saat meregang nyawa, wajib baginya masuk syurga."

Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimanakah dengan orang yang membacanya dalam masa sihatnya?'" Rasulullah s.a.w. bersabda, "Itu lebih memastikan lagi."

Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda, "Demi Tuhan Yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaanNya, seandainya didatangkan langit dan bumi serta semua yang ada padanya dan semua yang ada di antara keduanya dan semua yang ada di bawahnya, lalu diletakkan di salah satu dari kedua sisi neraca, sedangkan sisi neraca lainnya diletakkan kalimah syahadat, iaitu, "Tidak ada Tuhan selain Allah," tentulah kalimah ini lebih berat timbangannya daripada semuanya itu."

"92. Dan tidak patut bagi Ar Rahman bahawa Dia mengambil anak."

Tidak layak dan tidak mungkin bagi keagungan dan kebesaran Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Demikian kerana mempunyai anak menunjukkan kekurangan dan keperluannya, sedangkan Allah Mahakaya lagi Maha terpuji.

Di samping itu, anak itu sama dengan bapanya, sedangkan tidak ada sesuatu pun yang sama dan serupa dengan Allah s.w.t.

"93. Tidaklah setiap orang yang di langit dan bumi kecuali dia datang Ar Rahman hamba."

Semua makhluk yang di langit maupun yang di bumi adalah hamba Tuhan Yang Maha Pemurah. Semuanya akan datang kepadaNya sebagai hamba yang tunduk dan hina pada hari kiamat.

"94. Sungguh Dia telah menentukan mereka dan Dia telah hitung mereka perhitungan."

IlmuNya meliputi semua makhluk yang di langit maupun yang di bumi. Sesungguhnya Allah benar-benar mengetahui bilangan mereka semua sejak Dia menciptakan mereka sampai hari kiamat. Dia menghitung jumlah amal mereka dengan hitungan yang teliti, tanpa kesalahan, kelupaan dan kesamaran.

"95. Dan setiap mereka datang kepadaNya pada hari Kiamat seorang diri."

Setiap mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri dengan membawa hanya amalnya. Tidak dibawanya harta, anak maupun pembela. Tidak ada yang dapat menolong dan menyelamatkannya kecuali hanya Allah semata. Tiada sekutu bagiNya.

Lalu Allah akan memberikan balasan terhadapnya. Dialah yang berhak memutuskan nasib makhlukNya sesuai dengan apa yang dikehendakiNya. Dia Mahaadil yang tidak akan berbuat aniaya barang sedikit pun dan Dia tidak akan menganiaya seorang pun. Jika amalnya baik, maka akan dibalas dengan kebaikan. Jika buruk, maka akan dibalas dengan keburukan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...