Isnin, 14 Mei 2018

24:23-26 Tafsir Surah An Nur, ayat 23-26.

إِنَّ الَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ الْغَافِلاتِ الْمُؤْمِنَاتِ لُعِنُوا فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ (٢٣) يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (٢٤) يَوْمَئِذٍ يُوَفِّيهِمُ اللَّهُ دِينَهُمُ الْحَقَّ وَيَعْلَمُونَ أَنَّ اللَّهَ هُوَ الْحَقُّ الْمُبِينُ (٢٥) الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ أُولَئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ (٢٦)

Allah s.w.t. berfirman,

"23. Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita bersih yang lengah yang beriman,"

Iaitu orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik, yang terpelihara kehormatannya, yang lengah lagi beriman berbuat zina. Lengah bermaksud lalai, tidak menyedari bahawa dia sedang dituduh dan tidak terniat melakukan perbuatan yang keji itu walaupun sekali.

"mereka dilaknat di dunia dan di akhirat,"

Allah s.w.t. mengancam bahawa mereka dilaknat di dunia dan di akhirat. Adanya laknat terhadap suatu perbuatan menunjukkan bahawa perbuatan itu adalah dosa besar.

"dan bagi mereka azab yang besar,"

Mereka akan mendapat azab yang besar di samping laknat di dunia dan akhirat.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa hal ini hanyalah khusus bagi Aisyah r.a. Dia adalah wanita yang menjadi penyebab turunnya ayat ini. Orang yang mencaci Aisyah r.a. sesudah turunnya ayat ini yang membersihkan kehormatan dirinya, lalu menuduhnya berbuat zina, maka orang tersebut adalah kafir kerana menentang Al Qur'an.

Pendapat lain mengatakan bahawa hal ini hanyalah khusus bagi Ummahatul Mu’minin (isteri-isteri Nabi s.a.w.) yang dituduh berbuat zina oleh orang-orang munafik. Maka Allah melaknat dan murka terhadap mereka. Mereka akan kembali dengan membawa murka dari Allah s.w.t.

Di dalam ayat ini tidak jelas disebutkan ketentuan hukumnya, dan tidak disebutkan bahawa taubat mereka diterima. Kemudian diturunkan firmanNya, "Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi." hingga firmanNya, "maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (An Nur 24:4-5)

Allah s.w.t. menurunkan ayat tentang masalah hukuman had dan taubatnya. Allah s.w.t. menjadikan bagi mereka jalan untuk taubat. Taubatnya diterima, tetapi kesaksiannya tidak diterima. Namun, bagi mereka yang menuduh isteri-isteri Nabi s.a.w., tiada jalan untuk taubat.

Pendapat yang lain lagi mengatakan bahawa hal ini umum bagi setiap wanita yang baik-baik. Orang yang menuduh mereka berzina mendapat laknat di dunia dan di akhirat. Aisyah r.a. saat itu dijadikan sebagai teladan dan contoh dalam masalah ini.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jauhilah tujuh macam dosa yang membinasakan.” Ketika ditanyakan, "Apakah itu, wahai Rasulullah? Rasulullah s.a.w. bersabda, "Mempersekutukan Allah, melakukan sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang, dan menuduh berzina wanita-wanita yang baik-baik, yang lalai lagi beriman."

Nabi s.a.w. bersabda, "Menuduh wanita yang baik-baik berbuat zina dapat menggugurkan amal (baik) seratus tahun."

"24. Pada hari jadi saksi atas mereka lidah mereka, dan tangan mereka, dan kaki-kaki mereka dengan apa yang mereka kerjakan."

Pada hari kiamat, anggota badan ini akan dijadikan dapat berbicara oleh Allah s.w.t. Lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. Maka mereka tidak akan dapat mengingkari semua perbuatan mereka semasa di dunia.

"25. Pada hari Allah menyempurnakan pembalasan mereka sebenarnya,"

Dinahum bermaksud hisab (perhitungan amal) mereka. Pada hari itu Allah s.w.t. akan memberi mereka balasan yang setimpal menurut semestinya. Mereka mendapatkan balasannya secara sempurna yang merupakan keadilan Allah.

"dan mereka mengetahui bahawasanya Allah Dia Yang Benar, Yang Menjelaskan."

Pada hari itu, tahulah mereka bahawa Allah Maha Benar lagi Maha Menjelaskan. Sifat-sifatNya yang agung, perbuatanNya, syari’atNya, beribadah hanya kepadaNya, pertemuan denganNya, janjiNya, ancamanNya, hisabNya dan balasanNya, semuanya adalah benar. 

Dia Maha Adil yang tidak pernah curang dalam hisabNya. Dia Maha Menjelaskan segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya. Oleh kerana itu, tidak ada satu pun kebenaran kecuali pada Allah dan berasal dari Allah.

"26. Wanita-wanita yang keji untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji untuk wanita-wanita yang keji;"

Wanita-wanita yang keji hanya layak untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji hanya layak untuk wanita-wanita yang keji. Perkataan yang keji hanya layak dilemparkan kepada orang yang berwatak keji. Orang yang keji hanyalah layak menjadi bahan pembicaraan perkataan yang keji. 

"dan wanita-wanita yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik."

Wanita-wanita yang baik hanya layak untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik hanya layak untuk wanita-wanita yang baik. Perkataan yang baik-baik hanya layak ditujukan kepada orang yang baik-baik, dan orang yang baik-baik hanyalah layak menjadi bahan pembicaraan perkataan yang baik-baik.

Tidak ada yang menjadi pendamping hidup manusia-manusia mulia seperti para nabi dan rasul kecuali wanita-wanita yang baik. Allah s.w.t. menjadikan Aisyah r.a. sebagai isteri Nabi s.a.w. kerana dia adalah wanita yang baik, sebab Rasulullah s.a.w. adalah manusia yang terbaik.

Seandainya Aisyah r.a. adalah seorang wanita yang keji, tentulah tidak layak baik menurut penilaian syari'at maupun penilaian martabat menjadi isteri Rasulullah s.a.w. Mencela isteri Nabi s.a.w. sama saja mencela Nabi s.a.w.

Kaum munafik yang menyebarkan berita dusta terhadap diri Aisyah r.a., sebenarnya merekalah yang keji. Mereka bermaksud mencelanya, agar Nabi s.a.w. terkena celaan juga, padahal dengan keadaannya sebagai isteri Nabi s.a.w. sudah dapat diketahui bahawa Aisyah r.a. sebenarnya lebih bersih dan suci daripada diri mereka.

"Mereka itu orang-orang yang terlepas dari apa yang mereka katakan."

Mereka yang dituduh itu, seperti Aisyah r.a. dan wanita mukminah yang baik lagi lengah itu bersih dan jauh sekali dari apa yang dituduhkan oleh mereka yang melancarkan tuduhan itu, iaitu para penyiar berita bohong dan musuh-musuh mereka.

"Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia."

Mereka mendapat ampunan yang menghapuskan semua dosa mereka disebabkan kedustaan yang dilemparkan terhadap diri mereka.

Mereka mendapat rezeki yang mulia di sisi Allah, iaitu syurga yang penuh dengan kenikmatan. Ayat ini menunjukkan kesucian 'Aisyah r.a. dan mengandungi suatu janji bahawa isteri Rasulullah s.a.w. pasti masuk syurga.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...