Jumaat, 25 Mei 2018

34:20-23 Tafsir Surah Saba’, ayat 20-23.

وَلَقَدْ صَدَّقَ عَلَيْهِمْ إِبْلِيسُ ظَنَّهُ فَاتَّبَعُوهُ إِلا فَرِيقًا مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (٢٠) وَمَا كَانَ لَهُ عَلَيْهِمْ مِنْ سُلْطَانٍ إِلا لِنَعْلَمَ مَنْ يُؤْمِنُ بِالآخِرَةِ مِمَّنْ هُوَ مِنْهَا فِي شَكٍّ وَرَبُّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ حَفِيظٌ (٢١) قُلِ ادْعُوا الَّذِينَ زَعَمْتُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ لا يَمْلِكُونَ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ فِي السَّمَاوَاتِ وَلا فِي الأرْضِ وَمَا لَهُمْ فِيهِمَا مِنْ شِرْكٍ وَمَا لَهُ مِنْهُمْ مِنْ ظَهِيرٍ (٢٢) وَلا تَنْفَعُ الشَّفَاعَةُ عِنْدَهُ إِلا لِمَنْ أَذِنَ لَهُ حَتَّى إِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوبِهِمْ قَالُوا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ قَالُوا الْحَقَّ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيرُ (٢٣)

Setelah menceritakan perihal negeri Saba' dan akibat yang mereka terima kerana mengikuti hawa nafsu dan syaitan, lalu Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal orang-orang yang serupa dengan mereka, iaitu orang-orang yang mengikuti iblis dan hawa nafsu, menentang kebenaran dan jalan petunjuk.

"20. Dan sungguh telah membenarkan mereka iblis sangkaannya, lalu mereka mengikutinya, kecuali segolongan dari orang-orang mukmin."

Sesungguhnya iblis telah dapat membuktikan kebenaran sangkaannya terhadap mereka, lalu mereka mengikutinya, kecuali sebahagian orang-orang yang beriman. Maka mereka tidak mengikutinya.

Ketika iblis membangkang tidak mahu sujud kepada Adam a.s., ia menyangka bahawa ia akan menjadikan sebahagian besar dari keturunan Adam sesat, memandang baik perbuatan maksiat dan tidak bersyukur (taat). Ia akan datang dari depan, belakang, kanan dan kiri.

Ketika Allah s.w.t. menurunkan Adam a.s. dan Hawa dari syurga, iblis merasa gembira dengan musibah yang menimpa keduanya. Lalu iblis menyangka bahawa keturunan Adam pasti lebih lemah dan mudah digoda.

Iblis berkata, "Aku tidak akan berpisah dari anak Adam selama di dalam tubuhnya masih terdapat roh. Aku akan mengumbar janji dan memberikan angan-angan kepadanya, dan akan kutipu dia."

Allah s.w.t. berfirman, "Demi Keagungan dan KemuliaanKu, Aku tidak akan menutup pintu taubatKu darinya selama nyawanya masih belum meregang, dan tidak sekali-kali dia berdoa kepadaKu melainkan Aku mencintainya, dan tidak sekali-kali dia meminta kepadaKu melainkan Aku memberinya, dan tidak sekali-kali dia meminta ampun kepadaKu melainkan Kuberikan ampunan baginya."

Oleh kerana itu, mereka yang kufur kepada Allah termasuk orang-orang yang membenarkan sangkaan iblis, terbawa bujukan dan rayuannya.

"21. Dan tidak ada baginya atas mereka dari kekuasaan,"

Sultan bermaksud hujah. Iblis tidak berkuasa terhadap manusia. Ia tidak memukul mereka dengan tongkat dan tidak memaksa mereka untuk mengerjakan sesuatu atau mengikuti keinginannya. Ia hanya dapat menggoda, menipu, membujuk, mengajak dan menghembuskan angan-angan kepada mereka untuk mengerjakannya, lalu mereka mengikutinya.

"kecuali agar Kami dapat mengetahui siapa yang beriman kepada akhirat dari siapa yang darinya dalam keraguan."

Allah s.w.t. menjadikan iblis sebagai ujian dan membiarkannya menggoda manusia agar nyata siapa yang beriman kepada adanya akhirat, dan siapa yang ragu-ragu tentang itu. Dengan itu, nyatalah siapa yang benar dan siapa yang berdusta, siapa yang baik dan siapa yang buruk.

Orang yang beriman kepada hari kiamat, hisab, pembalasan dan kehidupan akhirat, dia menyembah Tuhannya dengan baik di dunia. Imannya benar, teguh ketika mendapat ujian dan dapat melawan syubhat-syubhat syaitan. Orang yang dalam keraguan tidak teguh imannya dan mudah goncang oleh syubhat yang datang walaupun kecil.

"Dan Tuhanmu atas segala sesuatu Penjaga."

Allah Maha Memelihara segala sesuatu. Dia menjaga hamba, menjaga amal mereka, menjaga balasannya dan nanti Dia akan memberikan secara sempurna untuk mereka.

Walaupun Dia telah memelihara, tetapi masih ada juga yang sesat, iaitu orang-orang yang mengikuti jejak iblis. Dan berkat pemeliharaanNya, maka selamatlah orang-orang mukmin yang ditakdirkan selamat, iaitu mereka yang mengikuti jejak rasul-rasulNya.

Dialah Tuhan Yang Maha Esa, bergantung kepadaNya segala sesuatu, tiada yang menandingiNya, dan tiada sekutu bagiNya. Bahkan Dia mengatur sendirian tanpa ada yang menyekutuiNya dan tanpa ada yang menentang atau yang menyaingiNya dalam urusanNya.

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"22. Katakanlah, "Serulah orang-orang yang kalian anggap selain Allah,""

Katakanlah kepada orang-orang yang menyekutukan Allah, ""Serulah mereka yang kalian anggap sebagai tuhan dan kalian sembah selain Allah agar mereka memberi kalian manfaat."

Sekutu-sekutu itu lemah, tidak memiliki kekuasaan, tidak dapat memberi manfaat, tidak dapat menimpakan bahaya dan mereka tidak mampu mengabulkan doa. Maka beribadah kepadanya adalah batil.

"mereka tidak memiliki seberat zarrah pun di langit dan tidak di bumi,"

Sekutu-sekutu itu tidak memiliki apa-apa pun di langit dan di bumi walaupun seberat zarrah, baik secara menyendiri maupun secara persekutuan.

"dan tidaklah bagi mereka pada pencipta keduanya dari sekutu"

Sekutu-sekutu itu sama sekali tidak mempunyai peranan atau suatu saham pun dalam penciptaan langit dan bumi.

"dan tidak ada bagiNya di antara mereka dari pembantu.”

Sekali-kali tidak ada di antara sekutu-sekutu itu yang menjadi pembantu Allah s.w.t. dalam suatu urusan pun. Dia tidak memerlukan bantuan dari sesiapa pun dalam semua urusanNya, bahkan semua makhluk berhajat kepadaNya dan merupakan hamba-hambaNya. Maka berdoa kepada sekutu-sekutu itu tidak akan bermanfaat.

"23. Dan tidak berguna syafaat di sisiNya kecuali bagi orang yang Dia izinkan baginya,"

Sekutu-sekutu itu tidak dapat memberi syafaat bagi mereka di sisi Allah s.w.t. Syafaat (pertolongan) di sisi Allah hanya berguna bagi orang yang telah diizinkanNya mendapat syafaat itu. Demikian itu kerana kebesaran, kemuliaan dan keagunganNya. Tiada sesiapa pun berani memberikan syafaat di sisiNya terhadap sesuatu kecuali dengan izinNya.

Rasulullah s.a.w. penghulu anak Adam dan pemberi syafaat yang terbesar di sisi Allah s.w.t. Ketika Beliau berdiri di kedudukan yang terpuji untuk memohon syafaat buat semua makhluk, hendaknyalah Tuhan segera tiba untuk memutuskan peradilan di antara mereka. Maka Rasulullah s.a.w. bersujud kepada Allah s.w.t.

Allah s.w.t. membiarkan Beliau s.a.w. bersujud selama apa yang dikehendakiNya. Lalu Dia memuji Beliau s.a.w. dengan puji-pujian. Kemudian Dia berfirman, "Hai Muhammad, angkatlah kepalamu, dan katakanlah engkau didengar, dan mintalah engkau akan diberi, dan mintalah syafaat, engkau diberi izin untuk memberi syafaat."

"hingga apabila dihapus ketakutan dari hati mereka, mereka berkata, "Apakah yang difirmankan Tuhan kalian?" Mereka berkata, "Kebenaran.""

Sebahagian ulama menafsirkan bahawa ayat ini adalah berkenaan dengan para malaikat. Apabila Allah s.w.t. hendak memutuskan suatu perintah atau urusan di langit, maka Dia berfirman menyampaikannya. Maka semua langit dan penduduknya mendengar firmanNya.

Mereka bergetar mengepak-ngepakkan sayapnya atau bergoncang kuat kerana sangat takut terhadap Kebesaran dan KeagunganNya. Dari sayap mereka keluar bunyi seperti rantai yang jatuh di atas batu licin. Mereka bersujud kepada Allah dan menjadi seperti orang yang pengsan.

Malaikat yang mula-mula mengangkat kepalanya adalah Jibril a.s. Lalu Allah berfirman kepadanya menyampaikan perintah atau wahyu yang dikehendakiNya. Lalu Jibril a.s. turun menjumpai para malaikat.

Apabila dihilangkan ketakutan yang mencekam hati para malaikat, barulah mereka dapat berbicara. Setiap kali Jibril a.s. melintasi suatu langit, maka para penduduknya bertanya, "Apakah yang difirmankan Tuhan kalian?”

Maka Jibril a.s. menjawab, "Kebenaran." Iaitu Dia berfirman begini dan begini. Sampaikanlah firmanNya seadanya, jangan ditambah-tambahi atau dikurang-kurangi.

Para malaikat penyangga Arasy yang ada di sisi Tuhan menyampaikan berita itu kepada para malaikat yang ada di bawah mereka, lalu disampaikan kepada para malaikat yang ada di bawahnya, dan seterusnya hingga berita itu sampai kepada para malaikat yang ada di langit dunia.

Para malaikat saling bertanya, “Apa yang difirmankan Tuhan kalian?” Sebahagian mereka menjawab, “Kebenaran.” Mereka mengucapkan seperti yang disampaikan oleh Jibril a.s. Lalu Jibril a.s. membawa wahyu itu ke tempat yang diperintahkan oleh Allah, baik di langit atau di bumi.

Namun, jin atau syaitan mencuri dengar berita itu. Lalu ia menyampaikannya kepada temannya yang ada di bawahnya, lalu disampaikan kepada temannya yang ada di bawahnya, dan seterusnya hingga sampai berita itu kepada penyihir dan tukang tenung.

Ada syaitan dilempari dengan bintang menyala (meteor yang mengeluarkan sinar yang terang) sebelum ia sempat menyampaikannya kepada syaitan yang ada di bawahnya. Ada juga syaitan yang sempat menyampaikannya sebelum terkena lemparan bintang menyala itu.

Apa yang disampaikan oleh para jin itu dengan seadanya itu adalah benar, tetapi mereka sentiasa mencampuradukkannya dengan tambahan-tambahan atau seratus kedustaan dari mereka sendiri.

Syaitan itu berkata, "Bukankah telah disampaikan kepada kita bahawa hari ini akan terjadi ini dan ini," dan ia bersesuaian dengan kalimat yang didengar dari langit.

Sebahagian ulama lain menafsirkan bahawa ayat ini adalah berkenaan dengan kaum musyrik semasa meregang nyawa dan semasa mereka dibangkitkan pada hari kiamat nanti. Penutup telah dibukakan bagi mereka. Dihilangkan semua keraguan dan kedustaan dari hati mereka.

Syaitan keluar dari hati mereka dan meninggalkan mereka, tidak lagi memberikan angan-angan kepada mereka dan tidak lagi menyesatkan mereka. Maka akal sihat mereka kembali. Mereka menyedarinya keadaan mereka.

Lalu mereka bertanya, "Apakah yang telah difirmankan oleh Tuhan kalian?" Maka dikatakan kepada mereka, "Kebenaran." Lalu diceritakan kepada mereka pendustaan mereka kepada kebenaran para rasul dan semua hal yang telah dilalaikan oleh mereka ketika di dunia.

Mereka pun mengakui dosa-dosa mereka, pegangan mereka (kekafiran dan kesyirikan) adalah batil, apa yang difirmankan Allah dan dikhabarkan para rasulNya adalah hak. Ketika itu, jelaslah bagi mereka apa yang mereka sembunyikan sebelumnya dan yang benar adalah milik Allah.

Ada yang menafsirkan bahawa ayat ini menceritakan keadaan anak Adam di saat meregang nyawa. Saat itu mereka mulai mengakui kebenaran, akan tetapi sayang pintu taubat telah tertutup dan sudah terlambat.

Ada yang menafsirkan ayat ini sebagai permulaan wahyu Allah s.w.t. yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sesudah terputus dalam jarak masa antara Beliau s.a.w. dengan Nabi Isa a.s.

"dan Dialah Mahatinggi Mahabesar.""

Allah Mahatinggi dengan zatNya di atas seluruh makhlukNya, Dia berkuasa kepada mereka dan tinggi kedudukanNya kerana Dia memiliki sifat-sifat yang agung. Dia Mahabesar baik zat maupun sifatNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...