Rabu, 20 Jun 2018

3:169-171 Tafsir Surah Ali Imran, ayat 169-171.

وَلا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ (١٦٩) فَرِحِينَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِالَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا بِهِمْ مِنْ خَلْفِهِمْ أَلا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلا هُمْ يَحْزَنُونَ (١٧٠) يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍ مِنَ اللَّهِ وَفَضْلٍ وَأَنَّ اللَّهَ لا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُؤْمِنِينَ (١٧١) 

Rasulullah s.a.w. mengirim tujuh puluh orang sahabatnya dari kalangan Ansar kepada penduduk Bir Ma'unah (sumur Ma'unah). Sedangkan pemimpin penduduk tempat air itu adalah Amir ibnu Tufail Al Ja’fari.

Maka berangkatlah mereka hingga sampai di sebuah gua yang berada di atas sumur itu. Lalu mereka duduk berehat di dalam gua itu.

Kemudian sebahagian dari mereka berkata bertanya kepada yang lain, "Siapakah di antara kalian yang mahu menyampaikan risalah Rasulullah s.a.w. kepada penduduk sumur ini?"

Maka Abu Mulhan Al Ansari berkata, "Akulah yang akan menyampaikan risalah Rasulullah s.a.w." Lalu dia berangkat hingga sampai di sekitar rumah-rumah mereka.

Abu Mulhan berseru, "Hai penduduk Bir Ma'unah! Sesungguhnya aku adalah utusan Rasulullah s.a.w. kepada kalian. Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah hamba serta utusanNya. Maka berimanlah kalian kepada Allah dan RasulNya!"

Maka keluarlah seorang lelaki dari salah satu rumah itu dengan membawa tombaknya menuju kepadanya. Lelaki itu langsung menusukkan tombaknya ke rusuk Abu Mulhan hingga tembus ke sisi yang lain.

Abu Mulhan berseru, "Allahu Akbar! Aku beruntung demi Tuhan Ka'bah!" Kemudian seluruh penduduk Bir Ma'unah mengikuti jejak Abu Mulhan hingga bertemu dengan para sahabat Abu Mulhan di dalam gua tersebut. Maka Amir ibnu Tufail bersama kaumnya membunuh mereka semua dalam satu hari.

Rasulullah s.a.w. melakukan doa qunut untuk kebinasaan orang-orang yang telah membunuh mereka, dan Beliau melaknat mereka. Sehubungan dengan mereka itu, Allah s.w.t. telah menurunkan ayat Al Qur'an, "Sampaikanlah dari kami kepada kaum kami, bahawasanya kami telah menjumpai Tuhan kami, dan Dia ridha dengan kami serta kami pun ridha (puas) dengan (pahala)Nya."

Ayat tersebut berdasarkan keumumannya mengena kepada setiap orang yang mati syahid. Kemudian ayat tersebut dimansukh dan diangkat kembali sesudah mereka membacanya selama beberapa waktu.

Dalam Perang Uhud, Hamzah r.a. dan teman-temannya gugur. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Ketika saudara-saudara kalian gugur dalam peperangan Uhud, maka Allah menjadikan arwah mereka di dalam perut burung hijau yang selalu mendatangi sungai-sungai syurga dan memakan buah-buahannya, hingga pada lampu-lampu emas yang ada di bawah naungan Arasy.

Ketika mereka merasakan makanan dan minuman mereka yang sangat enak dan tempat mereka yang sangat baik itu, maka mereka mengatakan, "Aduhai, sekiranya teman-teman kita mengetahui apa yang dilakukan oleh Allah terhadap kita, agar mereka tidak enggan dalam berjihad dan tidak malas dalam melakukan peperangan." Maka Allah berfirman, "Akulah yang akan menyampaikan berita kalian kepada mereka.""

Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"169. Dan janganlah kalian menyangka orang-orang yang terbunuh di jalan Allah mati; bahkan hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki,"

Janganlah ada anggapan dalam hati kalian bahawa orang-orang yang terbunuh dengan maksud meninggikan Kalimatullah itu mati dan hilang kenikmatan hidup di dunia.

Bahkan para syuhada atau orang-orang yang mati syahid di jalan Allah itu tetap hidup di sisiNya, iaitu di alam yang lain yang bukan alam kita ini. Tingginya darjat mereka dan dekatnya mereka dengan Allah.

Mereka tetap mendapat rezeki di alam yang kekal, iaitu kenikmatan-kenikmatan yang lebih besar lagi daripada kenikmatan hidup di dunia. Hanya Allah sajalah yang mengetahui bagaimana keadaan sebenarnya hidup itu.

Para syuhada itu terdiri daripada berbagai macam. Ada yang berada di dalam perut burung hijau, baginya terdapat pelita-pelita yang bergantungan di bawah Arasy. Mereka terbang bebas di seluruh syurga menurut kehendaknya, kemudian hinggap pada pelita-pelita tersebut.

Ada juga yang tinggal di tepi sungai yang ada di pintu syurga, padanya terdapat kubah hijau, rezeki mereka dikeluarkan dari dalam syurga setiap pagi dan petang. Perjalanan mereka semua berakhir di sungai itu. Lalu mereka berkumpul di situ dan menyantap rezeki mereka. Setelah itu mereka berangkat lagi.

Mereka berbicara dengan Allah s.w.t. secara berhadapan, iaitu secara langsung tanpa hijab. Mereka menginginkan agar Allah mengembalikan roh mereka ke jasad mereka, supaya mereka dapat terbunuh lagi demi membela jalanNya sekali lagi, kerana merasakan keutamaannya mati syahid. Namun, Allah telah memutuskan bahawa mereka tidak akan dikembalikan lagi ke dunia.

Adapun roh setiap mukmin itu dalam bentuk burung yang bergantungan memakan buah-buahan di pepohonan di dalam syurga sebelum Allah mengembalikannya ke jasadnya pada hari Allah membangkitkannya.

Mereka terbang bebas dengan sendirinya, memakan buah-buahan, melihat-lihat keindahan yang ada di dalamnya yang hijau segar, kegembiraan yang meliputi suasananya, dan menyaksikan kemuliaan yang telah disediakan oleh Allah s.w.t. buat dirinya.

"170. Mereka bergembira dengan apa yang Allah berikan kepada mereka dari kurniaNya,"

Para syuhada itu dalam keadaan gembira kerana mendapat kebahagiaan dan kenikmatan yang sempurna. Allah s.w.t. memberikan kepada mereka rezeki yang baik bagi badan mereka dan kegembiraan bagi hati dan ruh mereka.

Ketika para syuhada masuk ke dalam syurga dan melihat semua yang ada di dalamnya berupa penghormatan yang diperoleh para syuhada, mereka berkata, "Aduhai, seandainya saudara-saudara kita yang berada di dunia mengetahui apa yang kita ketahui sekarang berupa penghormatan yang kita peroleh, nescaya apabila mereka menghadapi peperangan di jalan Allah, mereka langsung menghadapinya dengan mengorbankan diri mereka hingga mati syahid, lalu mereka segera memperoleh kebaikan seperti yang kita peroleh sekarang."

Kemudian Rasulullah s.a.w. diberi tahu perihal mereka dan kehormatan yang mereka peroleh di sisi Tuhannya. Allah s.w.t. memberitahukan kepada para syuhada, "Aku telah menyampaikan kepada Nabi kalian dan telah Kuberitakan kepadanya keadaan kalian dan apa yang sedang kalian lakukan sekarang." Kerana itu, mereka merasa gembira dengan berita tersebut.

"dan mereka gembira terhadap orang-orang yang tidak menemui dengan mereka dari belakang,"

Mereka bergirang hati, bahagia dan amat bangga kerana ada di antara saudara-saudara mereka sedang menyusul mereka kemudiannya dan akan dapat merasakan pahala yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t., iaitu mereka yang masih tetap berperang di jalan Allah sesudah mereka.

Disampaikan kepada orang yang telah mati syahid sebuah kitab yang di dalamnya bertuliskan, "Akan datang kepadamu si Fulan pada hari ini dan hari ini, dan akan datang kepadamu (menyusulmu) si Fulan pada hari ini dan hari ini."

Maka dia merasa gembira dengan berita tersebut sebagaimana penduduk dunia yang gembira bila bersua dengan orang yang telah lama berpisah darinya.

"bahawa tidak takut atas mereka dan mereka tidak bersedih hati."

Tidak ada kekhuatiran atas mereka dan mereka tidak bersedih hati. Janganlah kalian bersedih terhadap saudara-saudara kalian yang telah syahid. Bersemangatlah kalian untuk berperang di jalan Allah. Bersedialah kalian untuk syahid.

Janganlah kalian takut dalam menghadapi apa yang ada di depan kalian dan janganlah kalian bersedih hati atas apa yang akan kalian tinggalkan di belakang kalian nanti.

"171. Mereka bergembira dengan nikmat dari Allah dan kurnia, dan bahawasanya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang beriman."

Mereka bergirang hati dengan nikmat, iaitu pahala dan kurnia yang besar, iaitu tambahan terhadap pahala dari Allah. Dia tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang beriman, baik yang mati syahid atau pun yang tidak mati syahid.

Bahkan Dia akan memberikan mereka pahala dan menambahnya. Mereka merasa gembira ketika menyaksikan dan merasakan janji yang telah ditunaikan dan pahala yang berlimpah dari Allah s.w.t. kepada mereka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...