Sabtu, 23 Jun 2018

4:75-76 Tafsir Surah An Nisa, ayat 75-76.

وَمَا لَكُمْ لا تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَل لَنَا مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا وَاجْعَل لَنَا مِنْ لَدُنْكَ نَصِيرًا (٧٥) الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا (٧٦)

Allah s.w.t. berfirman ditujukan kepada kaum mukmin,

"75. Dan mengapa kalian tidak mahu berperang di jalan Allah dan orang-orang yang lemah, dari laki-laki, dan wanita-wanita, dan anak-anak"

Berjihadlah kalian di jalan Allah. Jihad fii sabilillah, keikhlasan dan sejauh mana ittiba' seseorang (mengikuti Nabi s.a.w.) bergantung kepada kadar keimanan seorang hamba. Jihad fii sabilillah merupakan pengaruh, hasil dan kehendak dari keimanan.

Lakukanlah jihad daf' (membela atau bertahan), iaitu berusaha untuk membela dan menyelamatkan orang-orang lemah lelaki, wanita dan anak-anak di Mekah. Mereka ditindas, disakiti dan ditahan oleh orang-orang kafir dari berhijrah.

"orang-orang yang berkata, "Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari ini negeri yang zalim penduduknya, dan jadikanlah bagi kami dari sisi Engkau pelindung, dan jadikanlah bagi kami dari sisi Engkau penolong!""

Mereka semuanya berdoa kepada Allah s.w.t. agar Dia mengeluarkan mereka dari Mekah yang zalim penduduknya. Mereka juga berdoa berdoa kepada Allah s.w.t. agar Dia memberikan kepada mereka pelindung dan penolong dari sisiNya.

Allah s.w.t. mengabulkan permohonan mereka dengan memudahkan sebahagian dari mereka berhijrah. Sebahagian lagi tetap tinggal di Mekah sampai tiba Fathu Makkah (penaklukkan Mekah).

Ketika Fathu Makkah, Rasulullah s.a.w. mengangkat 'Atab bin Usaid sebagai gabenor Mekah. Allah s.w.t. juga memberikan hak orang yang dizalimi dari orang yang menzalimi.

"76. Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan taghut."

Orang-orang mukmin berperang kerana taat kepada Allah dan mengharapkan ridhaNya. Mereka berpegang dengan tiang yang kuat, iaitu kebenaran dan bertawakkal kepada Allah.

Sedangkan orang-orang kafir berperang kerana taat kepada thaghut (syaitan). Mereka tidak mengharapkan ridhaNya.

"Maka perangilah kalian kawan-kawan syaitan, sesungguhnya tipu daya syaitan adalah lemah."

Sebab itu, hendaknya kalian bersabar, tabah, berani, teguh dan bersemangat dalam memerangi kawan-kawan syaitan itu. Hal itu, kerana mereka juga begitu, padahal mereka di atas kebatilan. Jika kalian menderita sakit, maka sesungguhnya mereka juga menderita sakit.

Tipu daya adalah cara tersembunyi yang ditempuh untuk menimpakan bahaya kepada musuhnya. Syaitan itu walaupun telah mencari cara untuk mengalahkan lawannya, namun jika berhadapan dengan kebenaran dan rancangan Allah, maka tipu dayanya lemah dan tidaklah bererti.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...