Ahad, 24 Jun 2018

5:32 Tafsir Surah Al Maidah, ayat 32.

مِنْ أَجْلِ ذَلِكَ كَتَبْنَا عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الأرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا وَلَقَدْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِالْبَيِّنَاتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرًا مِنْهُمْ بَعْدَ ذَلِكَ فِي الأرْضِ لَمُسْرِفُونَ (٣٢) 

Anak Adam a.s. iaitu Qabil pernah membunuh saudaranya Habil secara aniaya dan permusuhan. Allah s.w.t. berfirman,

"32. Dari sebab itu, Kami tetapkan atas Bani Israil,"

Kerana tindakan pembunuhan itu, Allah s.w.t. tetapkan suatu syariat atau hukum bagi Bani Israil dan Dia berlakukan terhadap mereka.

"bahawasanya orang yang membunuh seseorang,"

Barang siapa yang menghalalkan darah seseorang, iaitu membunuh dan menghalalkan membunuh seseorang tanpa sebab, tanpa dosa, dan diharamkan oleh Allah membunuhnya.

"bukan seseorang,"

Bukan kerana orang itu membunuh seseorang yang lain tanpa alasan yang benar dan dengan sengaja, iaitu membunuh orang bukan kerana qisas.

"atau kerosakan di bumi,"

Atau bukan kerana dia telah membuat kerosakan di muka bumi seperti merosakkan agama, murtad, zina setelah menikah, merompak, menyakiti badan manusia atau hartanya, dan sebagainya.

"maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya."

Maka seolah-olah dia telah menghalalkan darah atau membunuh seluruh manusia. Allah s.w.t. memandang bahawa tidak ada bedanya antara satu jiwa dengan jiwa yang lainnya. Seseorang adalah anggota masyarakat. Membunuh seseorang bererti membunuh juga keturunannya.

Melakukan pembunuhan merupakan dosa yang sangat besar. Dosanya seakan-akan dia telah membunuh seluruh manusia. Maka pembalasannya juga besar. Allah s.w.t. murka terhadapnya, melaknatinya, menyediakan neraka Jahannam dan azab yang besar baginya. Diwajibkan atas dirinya menjalani hukum qisas (pembalasan).

"Dan barang siapa yang menghidupkannya, maka seakan-akan dia telah menghidupkan manusia seluruhnya."

Barang siapa yang mengharamkan darah atau memelihara kehidupan seorang manusia, iaitu tidak pernah membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah membunuhnya, menahan diri dari membunuhnya, mengharamkan membunuhnya dan meyakini keharaman tersebut, kecuali dengan alasan yang benar, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan seluruh manusia.

Bererti kelestarian hidup manusia terpelihara darinya dan selamatlah seluruh manusia darinya berdasarkan pertimbangan ini. Maka pahalanya seakan-akan dia telah memelihara kehidupan seluruh manusia.

Begitu juga apabila pihak wali darah yang memaafkan si pembunuh dan seseorang yang menyelamatkan orang lain dari tenggelam, kebakaran atau kebinasaan.

"Dan sungguh telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan keterangan-keterangan,"

Sesungguhnya telah datang kepada mereka rasul-rasul Allah dengan membawa membawa hujah-hujah, bukti-bukti, dan keterangan-keterangan yang jelas lagi nyata, iaitu mukjizat yang membuat manusia tidak memiliki alasan untuk menolaknya.

"kemudian sungguh banyak dari mereka setelah itu di bumi benar-benar melampaui batas."

Setelah kedatangan rasul-rasul itu, ramai di antara mereka sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerosakan di muka bumi. Mereka tetap melakukan berbagai kemaksiatan, iaitu hal-hal yang diharamkan Allah seperti menyelisihi rasul, kekufuran, membunuh dan sebagainya, padahal mereka telah mengetahui keharamannya.

Hukum ini bukanlah ditetapkan kepada Bani Israil saja, bahkan ditetapkan untuk seluruh manusia. Tiadalah Allah s.w.t. menjadikan darah kaum Bani Israil lebih mulia daripada darah kaum lain.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...