Jumaat, 13 Julai 2018

17:83-87 Tafsir Surah Al Isra, ayat 83-87.

وَإِذَا أَنْعَمْنَا عَلَى الإنْسَانِ أَعْرَضَ وَنَأَى بِجَانِبِهِ وَإِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ كَانَ يَئُوسًا (٨٣) قُلْ كُلٌّ يَعْمَلُ عَلَى شَاكِلَتِهِ فَرَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَنْ هُوَ أَهْدَى سَبِيلا (٨٤) وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلا قَلِيلا (٨٥) وَلَئِنْ شِئْنَا لَنَذْهَبَنَّ بِالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ ثُمَّ لا تَجِدُ لَكَ بِهِ عَلَيْنَا وَكِيلا (٨٦) إِلا رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ إِنَّ فَضْلَهُ كَانَ عَلَيْكَ كَبِيرًا (٨٧)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w. tentang kekurangan dan tabiat manusia,

"83. Dan apabila Kami beri kesenangan atas manusia, dia berpaling"

Apabila diberi nikmat atau kesenangan, seperti harta, kesihatan, kemenangan, rezeki, pertolongan dan apa yang diinginkannya, dia sangat gembira dan bangga. Maka dia berpaling, membelakang, tidak mahu mengerjakan ketaatan kepada Allah dan tidak mahu menyembahNya.

"dan dia menjauhkan diri di sampingnya,"

Dia menjauhkan diri dari Allah dengan sikap yang sombong, tidak bersyukur kepadaNya dan tidak menyebutNya.

"dan apabila menimpanya kejahatan dia berputus asa."

Apabila dia ditimpa kesusahan atau kesengsaraan, seperti sakit, kemiskinan, dan sebagainya, nescaya dia berputus asa dari kebaikan atau rahmat Allah. Dia memutuskan harapannya kepada Tuhannya untuk dapat kembali normal, putus asa untuk mendapat kebaikan sesudah kesusahannya itu, tidak berterima kasih dan menyangka bahawa dia akan tetap terus seperti itu.

Adapun orang yang dipelihara dan diberi hidayah oleh Allah s.w.t., apabila mendapat nikmat, dia tunduk kepada Tuhannya dan mensyukuri nikmatNya. Apabila mendapat kesusahan, dia bersabar, merendahkan diri kepada Tuhannya, mengerjakan amal-amal soleh dan mengharap dihilangkan derita itu dariNya. Maka cobaan terasa ringan baginya. Mereka itu mendapat ampunan dan pahala yang besar.

"84. Katakanlah, "Tiap-tiap orang bekerja atas keadaannya.""

Setiap orang berbuat menurut niatnya, pengetahuannya, bidangnya, keyakinannya, pembawaannya dan keadaannya masing-masing, iaitu keadaan yang sesuai baginya. Termasuk dalam pengertian keadaan di sini adalah tabiat dan pengaruh alam sekitar.

Jika orang tersebut tergolong orang yang baik, maka amalan mereka dilakukan kerana Allah s.w.t. Jika orang tersebut tergolong orang yang buruk, maka amal mereka dilakukan kerana makhluk dan melakukan yang sesuai dengan keinginan makhluk. Ayat ini mengandungi ancaman terhadap orang-orang musyrik dan peringatan bagi mereka.

"Maka Tuhan kalian lebih mengetahui dengan siapa yang dia lebih mendapat petunjuk jalan.""

Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya di antara kami dan kalian. Dia mengetahui siapa yang sesuai mendapatkan hidayah dan siapa yang tidak. Kelak Dia akan membalas setiap orang yang beramal sesuai dengan amal perbuatannya. Sesungguhnya tiada sesuatu pun yang tersembunyi dari pengetahuanNya.

Abdullah ibnu Mas'ud r.a. berjalan mengiringi Rasulullah s.a.w. di sebuah ladang pertanian di Madinah. Saat itu Beliau s.a.w. berjalan dengan memegang pelepah kurma sebagai tongkatnya. Maka bersualah Beliau s.a.w. dengan beberapa orang Yahudi. Sebahagian dari mereka berkata kepada sebahagian yang lain, "Tanyailah dia oleh kalian tentang roh."

Salah seorang dari mereka berkata, "Apa perlunya kalian dengan dia?" Sebahagian yang lainnya mengatakan, "Jangan sampai dia menghadapi kalian dengan sesuatu yang kalian tidak menyukainya." Sebahagian dari mereka berkata, “Kami sungguh akan bertanya kepadanya.” Salah seorang di antara mereka bangun dan berkata, “Wahai Abul Qasim, apakah roh itu?”

Tetapi Nabi s.a.w. diam, tidak menjawab mereka sepatah kata pun. Beliau s.a.w. masih tetap bertopang pada pelepah kurmanya sambil berdiri. Ibnu Mas'ud yakin bahawa Beliau s.a.w. sedang menerima wahyu, maka dia diam di tempatnya. Setelah wahyu selesai, Nabi s.a.w. membacakan firmanNya,

"85. Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh."

Orang-orang Yahudi itu bertanya kepadamu tentang roh. Para ulama ada yang berpendapat bahawa roh dalam ayat ini bermaksud arwah Bani Adam. Ada yang mengatakan Malaikat Jibril. Ada yang mengatakan malaikat yang sangat besar, yang besarnya sama dengan semua makhluk Allah. Dan ada yang mengatakan malaikat.

"Katakanlah, "Roh dari urusan Tuhanku dan tidaklah kalian diberi dari kecuali sedikit.""

Roh itu termasuk urusan Allah. Hanya Dia sajalah yang mengetahuinya. Dia hanya memberikan kalian sedikit saja pengetahuan tentangnya. Pengetahuan kalian amatlah sedikit berbanding dengan pengetahuanNya. Tiada seorang pun yang menguasai sesuatu dari pengetahuanNya melainkan menurut apa yang dikehendakiNya. Mahasuci lagi Mahatinggi Dia.

Janganlah kalian bertanya dengan maksud memberatkan diri, ingin mengalahkan dan meninggalkan hal yang penting. Bertanya tentang roh, bererti bertanya tentang hal-hal yang samar. Tiada seorang manusia pun yang mampu menyifatkannya dengan tepat.

Jika seseorang bertanyakan sesuatu yang tidak bermanfaat kepada kamu, berpalinglah dari menjawabnya, tunjukkanlah kepadanya hal yang diperlukan dan arahkanlah dia kepada hal yang lebih bermanfaat baginya. Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"86. Dan sungguh jika Kami kehendaki, nescaya akan Kami hilangkan dengan yang Kami wahyukan kepadamu, kemudian kamu tidak mendapatkan bagi kamu dengan itu terhadap Kami penolong."

Sesungguhnya jika Kami menghendaki, nescaya Kami melenyapkan dan menghapuskan Al Qur'an yang telah Kami wahyukan kepadamu dari dadamu dan dari mushaf. Dengan pelenyapan itu kamu tidak akan mendapatkan seorang pembela pun untuk mengembalikannya kepadamu.

"87. Kecuali rahmat dari Tuhanmu. Sesungguhnya kurniaNya adalah atas kamu besar."

Al Qur’an itu tidak dilenyapkanNya adalah kerana rahmatNya kepadamu. Sesungguhnya kurniaNya kepadamu adalah besar. Dia telah menurunkan Al Qur’an kepadamu, memberikan kamu maqam mahmud dan memberikan keutamaan lainnya.

Oleh kerana itu, bergembiralah dengannya, tenteramkanlah hatimu kerananya, dan janganlah pendustaan dan olok-olokkan mereka membuatmu sedih. Sesungguhnya kepada mereka telah disodorkan nikmat terbesar itu, namun mereka menolaknya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...