Ahad, 1 Julai 2018

7:179 Tafsir Surah Al A'raf, ayat 179.

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالإنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالأنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ (١٧٩)

Allah s.w.t. berfirman,

"179. Dan sungguh Kami sediakan untuk neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia."

Allah s.w.t. ciptakan jin dan manusia, dan Dia jadikan kebanyakan untuk mengisi neraka Jahannam. Hanya amal ahli nerakalah yang dapat mereka kerjakan.

Sesungguhnya ketika Allah s.w.t. hendak menciptakan mereka, Dia telah mengetahui apa yang bakal mereka amalkan sebelum kejadian mereka. Lalu hal itu Dia catatkan di dalam suatu kitab (Lauh Mahfuz) yang ada di sisiNya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah telah mencatat takdir-takdir makhluk(Nya) sebelum Dia menciptakan langit dan bumi dalam jarak masa lima puluh ribu tahun, sedangkan A'rasyNya berada di atas air."

Nabi s.a.w. diundang untuk menghadiri pemakaman jenazah seorang bayi dari kalangan kaum Ansar. Lalu Aisyah r.a. berkata, "Wahai Rasulullah, beruntunglah dia, dia akan menjadi burung pipit syurga, dia tidak pernah berbuat keburukan dan tidak menjumpainya."

Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, "Hai Aisyah, tidaklah seperti itu. Sesungguhnya Allah telah menciptakan syurga dan Dia telah menciptakan juga para penghuninya, sedangkan mereka masih berada di dalam sulbi bapa-bapa mereka. Dan Allah telah menciptakan neraka, dan Dia telah menciptakan juga para penghuninya, sedangkan mereka masih berada di dalam sulbi bapa-bapa mereka."

Di dalam kitab Sahihain disebutkan, "Kemudian Allah mengirimkan malaikat kepadanya, malaikat diperintahkan untuk mencatat empat kalimat. Maka dicatatlah rezekinya, ajalnya, dan amalnya serta apakah dia orang yang celaka ataukah orang yang berbahagia."

Ketika Allah s.w.t. mengeluarkan anak-anak Adam dari sulbinya dan menjadikan mereka dua golongan, iaitu golongan kanan dan golongan kiri, maka Dia berfirman, "Mereka untuk menghuni syurga dan Aku tidak peduli. Dan mereka untuk menghuni neraka dan Aku tidak peduli."

"Mereka memiliki hati, tidak memahami dengannya. Dan mereka memiliki mata, tidak melihat dengannya. Dan mereka memiliki telinga, tidak mendengar dengannya."

Mereka mempunyai hati, mata dan telinga, tetapi hati, penglihatan dan pendengaran yang telah dikurniakan Allah itu tidak berguna sedikit pun bagi mereka. Mereka tidak memanfaatkan indera-indera itu untuk mendapatkan hidayah.

Mereka tidak menggunakannya untuk memahami, melihat dan mendengar ayat-ayat (tanda-tanda kekuasaan) Allah dan perkara yang hak. Maka syaitan sentiasa berada bersama mereka dan menghalangi mereka dari jalan yang benar. Sedangkan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk.

"Mereka itulah seperti binatang ternak,"

Mereka hanya memanfaatkan indera-indera tersebut terhadap hal keduniaannya saja, seperti binatang ternak yang dilepas bebas. Maka menyeru mereka kepada keimanan, sama seperti menyeru binatang ternak. Mereka tidak memahami apa yang diserukan.

"bahkan mereka lebih sesat."

Adakalanya binatang ternak memenuhi seruan penggembalanya, walaupun ia tidak memahami apa yang diucapkan. Binatang ternak melakukan perbuatan sesuai dengan apa yang diciptakan untuknya, adakalanya berdasarkan tabiatnya, adakalanya pula kerana ditundukkan. Binatang ternak mencari hal yang memberinya manfaat dan menghindarkannya dari bahaya.

Sedangkan orang-orang yang kafir hatinya sentiasa mengingkari, memalingkan diri dan tidak mahu menolong seruan kepada keimanan. Mereka diciptakan hanya semata-mata untuk menyembah Allah dan mengesakanNya, tetapi mereka kafir dan mempersekutukanNya.

Mereka lebih suka mendatangi bahaya, iaitu neraka. Padahal mereka memiliki hati, pendengaran dan penglihatan yang dapat digunakan untuk memahami ayat-ayat Allah, namun mereka tidak mahu menggunakannya. Mereka itu lebih sesat daripada binatang ternak.

"Mereka itulah orang-orang yang lalai."

Mereka yang seperti itulah orang-orang yang lengah. Barang siapa yang taat kepada Allah, maka dia lebih mulia daripada malaikat kelak di hari dia kembali ke alam akhirat. Dan barang siapa yang kafir kepada Allah, maka haiwan ternak lebih sempurna daripadanya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...