Sabtu, 25 Ogos 2018

3:172-175 Tafsir Surah Ali Imran, ayat 172-175.

الَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِلَّهِ وَالرَّسُولِ مِنْ بَعْدِ مَا أَصَابَهُمُ الْقَرْحُ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا مِنْهُمْ وَاتَّقَوْا أَجْرٌ عَظِيمٌ (١٧٢) الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ (١٧٣) فَانْقَلَبُوا بِنِعْمَةٍ مِنَ اللَّهِ وَفَضْلٍ لَمْ يَمْسَسْهُمْ سُوءٌ وَاتَّبَعُوا رِضْوَانَ اللَّهِ وَاللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَظِيمٍ (١٧٤) إِنَّمَا ذَلِكُمُ الشَّيْطَانُ يُخَوِّفُ أَوْلِيَاءَهُ فَلا تَخَافُوهُمْ وَخَافُونِ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ  (١٧٥)

Allah s.w.t. berfirman,

"172. Orang-orang yang memperkenankan kepada Allah dan Rasul setelah apa yang menimpa mereka luka."

Iaitu orang-orang yang menaati perintah Allah dan RasulNya, setelah mereka tercedera dalam Perang Uhud yang terjadi pada hari Sabtu pertengahan bulan Syawwal, tahun 3 Hijrah. Hal ini terjadi dalam Perang Hamra ul Asad.

Pada mulanya setelah kaum musyrik, iaitu Abu Sufyan ibnu Harb bersama pasukannya mendapat kemenangan atas kaum muslim dalam Perang Uhud lalu mereka kembali ke Mekah.

Ketika mereka sampai di pertengahan jalan, mereka merasa menyesal kerana tidak meneruskan pengejaran sampai ke Madinah, kemudian segala sesuatunya diselesaikan sehingga tidak ada masalah lagi bagi mereka.

Mereka mengatakan, "Muhammad tidak sempat kalian bunuh, dan kaki tangannya tidak kalian tawan. Alangkah buruknya apa yang telah kalian lakukan itu, sekarang kembalilah kalian."

Pada keesokan harinya, iaitu pada hari Ahad, Rasulullah s.a.w. mendengar berita tersebut, Beliau menyeru semua kaum muslim agar bersiap-siap mengejar kaum musyrik untuk menakut-nakuti mereka dan menunjukkan kepada mereka bahawa kaum muslim masih memiliki kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi mereka.

Nabi s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya mereka sekarang berangkat (pulang ke Mekah) untuk menunaikan hajinya. Dan mereka tidak akan mampu melakukan serupa dengan apa yang mereka lakukan dalam peperangan Uhud kecuali tahun depan nanti."

Akan tetapi, kaum muslim keberatan. Maka mereka tidak mahu mengikuti Nabi s.a.w. Beliau s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya aku tetap akan berangkat, walaupun tidak ada seorang pun yang mengikutiku untuk menggerakkan orang-orang yang mahu ikut."

Kali ini Rasulullah s.a.w. tidak memberi izin untuk tidak berangkat kepada seseorang pun di antara mereka yang mengikuti Perang Uhud. Lalu Jabir ibnu Abdullah r.a. meminta izin kepada Rasulullah s.a.w. untuk tidak ikut kerana terpaksa menjaga tujuh orang saudara perempuannya. Maka Rasulullah s.a.w. mengizinkan Jabir tetap tinggal di Madinah.

Rasulullah s.a.w. mengangkat Ibnu Ummi Maktum menjadi amir di Madinah selama pemergiannya. Maka kaum muslim pun bersiap-siap walaupun di antara mereka ada yang tidak mempunyai kenderaan, ada yang cedera dan keberatan. Mereka tidak mahu terlepas berperang bersama Rasulullah s.a.w.

Demi taat kepada Allah dan RasulNya, mereka berangkat juga. Maka ikutlah bersama Nabi s.a.w. Abu Bakar, Umar, Usman, Ali, Az Zubair, Sa'd, Talhah, Abdur Rahman ibnu Auf, Abdullah ibnu Mas'ud, Huzaifah ibnul Yaman dan Abu Ubaidah ibnul Jarrah bersama tujuh puluh orang.

Di dalam perjalanan, ada yang jatuh pengsan, lalu digendong hingga ke Hamra ul Asad yang jauhnya kurang lebih lapan batu dari Madinah.

"Bagi orang-orang yang berbuat baik di antara mereka dan mereka bertakwa pahala yang besar."

Bagi orang-orang yang berbuat kebaikan di antara mereka dan yang bertakwa ada pahala yang besar iaitu syurga. Peristiwa ini dianggap sebagai suatu peperangan (perang urat saraf). Sehubungan dengan peristiwa ini Allah s.w.t. menurunkan ayat ini.

Nabi s.a.w. bertemu dengan Ma'bad ibnu Abu Ma'bad Al Khuza'i dari kabilah Khuza'ah yang bersikap netral. Ma'bad mengucapkan takziah atas musibah yang menimpa kaum muslim dan mendoakan keselamatan mereka. Kemudian Ma'bad melanjutkan perjalanannya, sedangkan Rasulullah s.a.w. tetap berada di Hamra ul Asad,

Ma'bad bertemu dengan Abu Sufyan bersama pasukannya di Rauha. Ma'bad melarang Abu Sufyan dari menyerang kaum muslim dan dia menggambarkan kekuatan kaum muslim melalui syairnya kepada Abu Sufyan. Maka Abu Sufyan dan orang-orang yang bersamanya berterima kasih kepada Ma'bad atas berita itu.

Abu Sufyan bertemu dengan kafilah dari Abdul Qais yang hendak ke Madinah untuk mencari makanan. Abu Sufyan menyampaikan pesannya melalui mereka kepada Nabi Muhammad s.a.w. bahawa mereka telah bersiap-siap untuk menyerang Beliau dan sahabat-sahabatnya, dan mengikis habis sisa-sisa kekuatan mereka.

Sebagai imbalannya Abu Sufyan akan membawakan zabib buat mereka di Ukaz bila mereka bertemu nanti. Rombongan kafilah Abdul Qais itu bertemu dengan Rasulullah s.a.w. di Hamra ul Asad dan mereka menceritakan bahawa Abu Sufyan telah menghimpun pasukannya untuk menyerang kaum muslim. Kerana itu, hendaknya kaum muslim takut kepada mereka.

Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya menjawab, "Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Dialah sebaik-baik Pelindung." Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"173. Orang-orang yang mengatakan bagi mereka manusia, "Sesungguhnya manusia, sungguh telah mengumpulkan untuk kalian. Maka takutlah kepada mereka.""

Orang-orang yang menaati Allah dan Rasul diperingatkan dan ditakut-takuti oleh manusia bahawa ada pasukan musuh sedang mengumpulkan pasukan yang besar untuk menyerang mereka.

"Maka ia menambah mereka keimanan, dan mereka berkata, "Cukuplah Allah bagi kami dan sebaik-baik Pelindung."

Inilah kalimah yang diucapkan oleh orang-orang mukmin ketika ditakutkan dengan sesuatu selain Allah, dikalahkan oleh suatu urusan dan sebagainya. Mereka tidak menghiraukan berita tersebut. Bahkan perkataan itu menambah keimanan mereka. Mereka bertawakal kepada Allah dan meminta pertolongan kepadaNya.

Ibrahim a.s. ketika dilemparkan ke dalam api, doa atau ucapan terakhir ialah, "Cukuplah Allah menjadi Penolong kami, dan Allah sebaik-baik Pelindung."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaanNya, sesungguhnya aku telah memberi tanda buat mereka pada sebuah batu. Seandainya mereka pada pagi harinya berada di situ, nescaya keadaan mereka seperti kemarin yang telah lalu."

Ketika kaum musyrik sampai di Hamra ul Asad atau di Bi-r Abu Uyaynah (ragu dari pihak Sufyan), maka mereka berkata kepada sesama sendiri, "Kita kembali lagi tahun depan saja." Allah s.w.t. telah menanamkan ke dalam hati Abu Sufyan rasa takut. Kerana itu, dia kembali ke Mekah.

Nabi s.a.w. tinggal selama tiga hari di Hamra ul Asad, iaitu pada hari Isnin, Selasa, dan Rabu. Maka Beliau s.a.w. juga kembali ke Madinah.

"174. Maka mereka kembali dengan nikmat dari Allah dan kurnia, tidak menyentuh mereka keburukan,"

Ketika mereka bertawakal kepada Allah, maka Allah memberikan kecukupan kepada mereka dari semua masalah yang menyusahkan mereka. Akhirnya mereka kembali ke tempat tinggalnya dengan membawa nikmat dan kurnia yang besar dari Allah.

Nikmat bermaksud mereka kembali dengan selamat. Kurnia bermaksud mereka mendapat keuntungan besar. Mereka tidak mendapat bencana apa-apa. Allah menolak dari mereka rancangan musuh-musuh yang hendak berbuat makar terhadap mereka.

"dan mereka mengikuti keridhaan Allah. Dan Allah pemilik kurnia yang besar."

Ada yang mengatakan bahawa ayat 172, 173, dan 174 membicarakan tentang Peristiwa Perang Badar Sughra (Badar kecil) yang terjadi setahun setelah Perang Uhud. Sewaktu meninggalkan perang Uhud itu, Abu Sufyan mencabar Nabi Muhammad s.a.w. untuk bertemu kembali pada tahun berikutnya di Badar.

Tahun itu (4 H) musim kelaparan. Abu Sufyan sendiri merasa takut. Maka dia bersama tenteranya tidak jadi meneruskan perjalanan ke Badar. Tetapi Abu Sufyan mengirimkan Nu'aim ibnu Mas'ud dan kawan-kawannya ke Madinah untuk menakut-nakuti kaum muslim dengan menyebarkan khabar bohong seperti yang disebutkan dalam ayat 173.

Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat tetap memenuhi janji Abu Sufyan, hingga di Badar. Setiap kali bertemu dengan orang-orang musyrik, Beliau s.a.w. dan para sahabatnya bertanya kepada mereka apa yang dilakukan oleh orang-orang Quraisy.

Maka mereka yang ditanya menjawab, ”Orang-orang Quraisy telah menghimpun pasukan untuk menghadapi kalian," dengan maksud menakut-nakuti Nabi s.a.w. dan pasukan kaum muslim. Akan tetapi, orang-orang mukmin sentiasa menjawab, "Cukuplah Allah menjadi Penolong kami, dan Dialah sebaik-baik Pelindung."

Datanglah seorang lelaki kaum musyrik ke Mekah dan menceritakan tentang pasukan Nabi Muhammad s.a.w. melalui syairnya, "Aku terpisah dari teman-temanku kerana Muhammad, dan pasukan untanya yang dari Yasrib begitu banyak jumlahnya. Mereka membela agama ayahnya yang dahulu (Ibrahim a.s.), maka aku menjadikan Qadid sebagai tujuanku."

Kaum muslim turun istirehat di Badar yang pada waktu itu sedang musim pasar. Mereka mendapati pasar-pasarnya dalam keadaan aman, tidak seorang pun yang menyaingi mereka. Oleh kerana tidak terjadi perang, maka mereka berbelanja di pasar tersebut dan menjualnya kembali di Madinah hingga mendapat keuntungan besar seperti yang disebutkan pada ayat 174.

"175. Sungguh hanyalah mereka itu syaitan, ia menakut-nakuti pengikutnya."

Sesungguhnya mereka itu hanyalah syaitan yang menakut-nakuti kalian dengan teman-teman setianya (orang-orang musyrik Quraisy) dan memberikan kesan kepada kalian bahawa mereka adalah pasukan yang mempunyai kekuatan dan keperkasaan.

"Maka janganlah kalian takut kepada mereka; dan takutlah padaKu, jika kalian benar-benar orang yang beriman."

Kerana itu, janganlah kalian takut kepada mereka; tetapi takutlah hanya kepadaKu saja. Demikian itu termasuk bukti keimanan kalian. Takutnya seorang hamba kepada Allah sejauh mana keimanannya. Takut yang terpuji adalah takut yang menghalangi hamba dari berbuat maksiat kepada Allah Azza wa Jalla.

Jika syaitan menggoda kalian dan menakut-nakuti kalian dengan ilusinya, maka bertawakallah kalian kepadaKu dan mohonlah perlindungan kepadaKu, kerana sesungguhnya Aku pasti mencukupi kalian dan menolong kalian dari mereka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...