Rabu, 8 Ogos 2018

37:123-132 Tafsir Surah As Saffat, ayat 123-132.

وَإِنَّ إِلْيَاسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ (١٢٣) إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَلا تَتَّقُونَ (١٢٤) أَتَدْعُونَ بَعْلا وَتَذَرُونَ أَحْسَنَ الْخَالِقِينَ (١٢٥) اللَّهَ رَبَّكُمْ وَرَبَّ آبَائِكُمُ الأوَّلِينَ (١٢٦) فَكَذَّبُوهُ فَإِنَّهُمْ لَمُحْضَرُونَ (١٢٧) إِلا عِبَادَ اللَّهِ الْمُخْلَصِينَ (١٢٨) وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الآخِرِينَ (١٢٩) سَلامٌ عَلَى إِلْ يَاسِينَ (١٣٠) إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ (١٣١) إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ (١٣٢) وَإِنَّ لُوطًا لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ (١٣٣) إِذْ نَجَّيْنَاهُ وَأَهْلَهُ أَجْمَعِينَ (١٣٤) إِلا عَجُوزًا فِي الْغَابِرِينَ (١٣٥) ثُمَّ دَمَّرْنَا الآخَرِينَ (١٣٦) وَإِنَّكُمْ لَتَمُرُّونَ عَلَيْهِمْ مُصْبِحِينَ (١٣٧) وَبِاللَّيْلِ أَفَلا تَعْقِلُونَ (١٣٨)

Allah s.w.t. berfirman memuji hamba dan RasulNya Ilyas a.s.,

"123. Dan sungguh Ilyas benar-benar termasuk para rasul."

Sesungguhnya Ilyas a.s. adalah salah seorang daripada para rasul. Beliau adalah Ilyas ibnu Nissi ibnu Fanhas ibnul Aizar ibnu Harun ibnu Imran. Ilyas a.s. adalah seorang yang soleh dan taat menjalankan perintah Allah s.w.t.

Allah s.w.t. mengutus Ilyas a.s. untuk berdakwah tentang tauhid yang benar kepada kaum Bani Israil (bangsa Fenisia atau Punichia) yang tinggal di negeri Ba’labak (Kota Baalbek, di wilayah Lebanon) sesudah Hizqil a.s. (Hezkiel). Mereka merupakan bangsa pelaut terkenal.

Saat itu mereka menyembah berhala yang dinamakan Ba'l. Sampai sekarang masih ada sebuah bangunan altar bernama Heliopolis yang diyakini sebagai tempat penyembahan bangsa Fenisia kepada Dewa Ba'l. Nama kota Baalbek sendiri diambil dari nama Ba'l.

Ilyas a.s. melaksanakan perintah Allah dengan penuh kesungguhan dan kesabaran. Beliau berkali-kali menyeru mereka untuk menyembah Allah s.w.t., dan mencegah mereka dari menyembah kepada selainNya. Namun mereka tidak mempedulikannya.

"124. Ketika dia berkata kepada kaumnya, "Mengapa kalian tidak bertakwa?""

Ingatlah ketika Ilyas a.s. berkata kepada kaumnya, "Mengapa kalian tidak takut kepada Allah s.w.t. dan azabNya, kalian berani menyembah selainNya?"

"125. Apakah kalian menyeru Ba’l dan kalian tinggalkan sebaik-baik Pencipta?"

Patutkah kalian menyembah, berdoa dan beribadah kepada berhala Ba'l? Ia tidak mampu menimpakan madharrat, tidak mampu memberikan manfaat, tidak bernyawa, tidak mencipta, tidak memberi rezeki dan tidak mampu berbuat apa pun. Bukankah hal ini merupakan kesesatan dan kebodohan yang besar?

Ba'l adalah nama salah satu berhala orang Phunicia. Ada yang mengatakan bahawa Ba’l adalah berhala wanita. Ada yang mengatakan bahawa Ba’l adalah nama patung yang disembah orang Madinah, dinamakan Ba’labak terletak di sebelah barat Dimasyq.

Kalian meninggalkan beribadah kepada sebaik-baik Pencipta, Yang telah menciptakan kalian sebaik-baiknya, mengurus kalian dengan sebaik-baiknya dan melimpahkan nikmat-nikmatNya yang kelihatan maupun yang tersembunyi, iaitu,

"126. Allah Tuhan kalian dan Tuhan bapa-bapa kalian yang terdahulu?"

Allahlah Tuhan kalian dan nenek moyang kalian yang sebenarnya. Dialah Tuhan semesta alam. Dialah yang patut disembah semata, tiada sekutu bagiNya.

Pada mulanya raja mereka telah beriman, kemudian murtad dan hanyut dalam kesesatannya bersama kaumnya. Mereka tetap tidak menghiraukan seruan Ilyas a.s. sehingga tiada seorang pun dari mereka yang beriman. Mereka tetap menyembah berhala.

Ilyas a.s. tetap bersabar dan tidak berputus asa. Beliau terus-menerus menyeru kaum Bani Israil untuk menyembah Allah. Namun, mereka tetap menolak dakwahnya. Maka Ilyas a.s. berdoa kepada Allah untuk memberikan pelajaran terhadap kaumnya.

Maka Allah s.w.t. memperkenankan doanya dan menahan hujan dari wilayah mereka selama tiga tahun. Akibat dari kemarau panjang itu, banyak haiwan ternakan dan tumbuh-tumbuhan mati. Mereka mengalami banyak kesusahan. Mereka menyedari kesalahan mereka.

Akhirnya mereka meminta kepada Ilyas a.s. agar melenyapkan hal tersebut dari mereka. Mereka bersedia meninggalkan berhala dan berjanji tidak menyembahnya lagi. Mereka pun membuang berhala-berhala mereka.

Lalu Ilyas a.s. berdoa kepada Allah memohon hujan. Allah mengabulkan doa Ilyas a.s. dan menghilangkan kesusahan mereka. Maka turunlah hujan kepada mereka sebagaimana biasanya.

"127. Maka mereka mendustakannya, maka sungguh mereka pasti dihadirkan."

Akan tetapi, mereka tetap mendustakan Ilyas a.s. Setelah menikmati kemakmuran hidup, mereka kembali dalam kesesatannya dan bergelimang dalam kekafirannya.

Kerana itu mereka pasti akan dihadirkan di hari perhitungan amal perbuatan nanti dan akan diseret ke neraka. Azab Allah yang pedih akan menimpa mereka.

"128. Kecuali hamba-hamba Allah yang ikhlas."

Mereka dibersihkan atau disucikan oleh Allah dari dosa, diberiNya nikmat dengan mengesakan Allah dan mengikuti nabi mereka. Maka mereka akan dijauhkan dari neraka dan mereka akan mendapat pahala yang besar dari Allah s.w.t.

Ilyas a.s. memasuki rumah seorang kaum Bani Israil. Di rumah tersebut terdapat anak kecil yang sedang sakit. Ilyas a.s. berdoa kepada Allah agar anak kecil itu sembuh. Tidak lama kemudian, anak kecil itu sembuh. Anak kecil itu adalah Ilyasa' ibnu Akhtub, anak angkat Ilyas a.s.

llyasa' a.s. mengikuti ajaran Ilyas a.s. dan beriman kepada Allah. Beliau sering menemani Ilyas a.s. dalam melaksanakan tugasnya berdakwah, terutama ketika Ilyas a.s. sudah menginjak usia tua.

Kemudian Ilyas a.s. memohon kepada Allah s.w.t. agar Dia mencabut nyawanya kembali kepadaNya. Maka Allah s.w.t. memerintahkan Ilyas a.s. pergi ke suatu tempat. Apabila ada sesuatu yang datang kepadanya, janganlah dia takut, dan hendaknya dia menaikinya tanpa ragu-ragu.

Maka datanglah kepadanya di tempat tersebut seekor kuda api. Lalu Ilyas a.s. menaikinya, dan Allah s.w.t. memberinya pakaian cahaya dan sayap.

Sejak itu Ilyas a.s. terbang bersama para malaikat, menjadi manusia penghuni langit, adakalanya juga berada di bumi. Hanya Allah Yang Maha Mengetahuinya.

"129. Dan Kami tinggalkan atasnya orang-orang kemudian."

Allah s.w.t. abadikan untuk Ilyas a.s. pujian yang baik dan sebutan yang harum di kalangan orang-orang yang datang kemudian, iaitu,

"130. Kesejahteraan atas Ilyas.”

Kesejahteraan dilimpahkan atas Ilyas, iaitu penghormatan dari Allah s.w.t. dan dari hamba-hambaNya.

"131. Sungguh Kami demikianlah Kami memberi balasan orang-orang yang berbuat baik."

Begitulah Allah s.w.t. memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

"132. Sungguh dia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman."

Allah s.w.t. memuji Ilyas a.s. sebagaimana Dia memuji saudara-saudaranya yang lain dari kalangan para nabi ‘alaihimus salaatu was salam. Kemudian, Allah s.w.t. mengutus Ilyasa a.s. untuk menggantikan Ilyas a.s.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...